Keluarga cara unik gereja untuk berkembang

KOMSOS Keuskupan Keningau sekali lagi telah berjaya menerbitkan satu lagi siri bual bicara dalam talian pada 17 Jun 2020, “Santai Dalam Iman” yang mengupas isu “Gereja Domestik dan Normal Baharu.”

Jul 03, 2020

KENINGAU: KOMSOS Keuskupan Keningau sekali lagi telah berjaya menerbitkan satu lagi siri bual bicara dalam talian pada 17 Jun 2020, “Santai Dalam Iman” yang mengupas isu “Gereja Domestik dan Normal Baharu.”

Bual bicara itu dijalankan dalam bentuk ‘santai’ iaitu dalam suasana relaks sambil merefleksi isu yang sedang berlaku pada masa sekarang iaitu pandemik Covid-19.

Empat orang panel telah dijemput bagi membincangkan beberapa tajuk. Dimudahcara oleh Sdra Patrick Marius, Uskup Cornelius Piong merupakan panel pertama yang mengajak audiens memahami fungsi dan peranan Gereja domesik, diikuti Sdra John Lainsin yang membincangkan tajuk “Normal Baharu”, kemudian Fr David Gasikol mengupas tajuk “ Mengungkap Iman Dalam Normal Baharu" diakhiri oleh Sdri Nancy Nelly Joneh yang menerangkan “SOP Dalam Gereja.” 

Uskup Cornelius dalam sesinya mengatakan, “Gereja bukan bangunan sebaliknya umat. Dari Perjanjian Lama hingga Perjanjian Baru, kita melihat Tuhan menggunakan keluarga bagi rencana penyelamatan-Nya. Dari keluarga Abraham, Musa, Anna dan Juakim sehinggalah Yosef dan Maria, akhirnya Tuhan mengutus putera-Nya yang tunggal ke dunia. 

“Pada masa sekarang, Tuhan dengan uniknya  menggunakan keluarga untuk memulakan KKD, beberapa KKD membangun KUK, beberapa KUK membangun zon, beberapa zon membangun beberapa paroki, dan beberapa paroki membangun keuskupan. Dan ini dipanggil gereja domestik (Lumen Gentium 11: Konstitusi tentang Gereja).

Membincangkan tajuk, “Normal Baharu”, Sdra John Lainsin mengatakan perkara ini sebenarnya bukan juga baharu, sebaliknya sudah lama diamalkan khususnya penjarakan sosial. Misalnya ibu bapa pada zaman dahulu mengamalkan ‘jarak sosial’ bagi anak perempuan agar tidak terlalu rapat dengan kaum lelaki bagi menjaga maruah dan kekudusan.

Sdra John juga mengatakan “Normal Baharu” ini membawa  beberapa unsur positif misalnya persekitaran yang lebih selamat, mengingatkan manusia agar lebih bertanggungjawab sosial dan memulihara alam. Begitu juga dengan tagline “Kita Jaga Kita” yang mengajak umat agar sentiasa prihatin. 

Dalam tajuk “Mengungkapkan iman dalam normal baharu”, sekali lagi peranan keluarga ditekankan bahawa ibu bapa merupakan katekis pertama dalam membimbing iman anak-anak mereka.

Fr David menegaskan hal ini bukan sahaja dilakukan pada masa pasca PKP sebaliknya membimbing iman anak-anak merupakan panggilan keluarga untuk memelihara serta memupuk iman anak-anak.

Perbincangan akhir adalah mengenai SOP dalam merayakan Misa Kudus umum. Sdri Nancy Nelly mengatakan SOP telah dipanjangkan kepada semua umat dan pematuhan SOP adalah perlu bagi memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.

Total Comments:0

Name
Email
Comments