Kembali merayakan Misa di Gereja, umat beri pelbagai reaksi

George Juli, seorang Guru Besar dan Katekis, sangat bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberi kesempatan dapat berkumpul bersama untuk memuji dan memuliakan nama Tuhan serta mengubat kerinduan menyambut Tubuh Kristus sejak lebih tiga bulan Gereja ditutup dan menangguhkan semua aktivitinya.

Jul 11, 2020

George Juli, seorang Guru Besar dan Katekis, sangat bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberi kesempatan dapat berkumpul bersama untuk memuji dan memuliakan nama Tuhan serta mengubat kerinduan menyambut Tubuh Kristus sejak lebih tiga bulan Gereja ditutup dan menangguhkan semua aktivitinya.

Baginya, selama tiga bulan ini, beliau dan keluarga hanya dapat ‘menyambut Tubuh Yesus secara batin’ melalui Misa dalam talian. Justeru, peluang yang diberikan oleh Gereja dengan mempersilakan beliau dan rakan-rakan sepelayanan menghadiri Misa pertama dalam fasa PKPP ini tidak disia-siakan. Didorong dengan kekuatan doa dan bimbingan Roh Kudus,  beliau semakin berkeyakinan untuk meneruskan pelayanan sebagai Pemimpin Ibadat Sabda di Paroki St. Peter Bundu walaupun agak sibuk dengan tugas sebagai Guru Besar. Bagi George,  mengikuti Misa umum secara fizikal lebih memberi kesan mendalam berbanding Misa dalam talian. Walau bagaimanpun, Misa dalam talian tetap membawa berkat dan kebaikan bagi golongan yang tidak dapat memasuki Gereja kerana syarat SOP.

Katanya, Norma Baharu ini, memberi peluang kedua buat umat yang menghadapi masalah untuk hadir ke Gereja disebabkan tinggal jauh, tiada kenderaan, sakit dan sebagainya lebih-lebih lagi mereka yang disenaraikan tidak boleh menghadiri Misa di Gereja iaitu warga emas, kanak-kanak dan umat yang ada masalah kesihatan.

Saya sangat gembira kerana kebanyakan Gereja di Keuskupan Keningau khususnya di Paroki KSFX telah mula dibuka dan membenarkan umat menghadiri Misa Kudus.

Saya juga turut bersyukur juga setelah tiga bulan mengikuti Misa Kudus secara online, kami akhirnya dapat menghadiri Misa Senja dan melayani umat di Gereja St. Mary Bingkor pada 20 Jun lalu. Sebagai pelayan di Gereja, saya  m e l i h a t SOP yang diamalkan di Gereja sangat memenuhi peraturan dan buat masa ini SOP tersebut mudah diikuti dan diterima oleh umat yang datang untuk menghadiri Misa Kudus. -- Jenevy Diew, KSFX

Jesicca May Josephone, seorang pemazmur di Gereja St Peter Bundu, Kuala Penyu, berasa janggal kerana tidak dapat menghadiri Misa umum selama lebih13 minggu kerana penularan pandemik coronavirus.

Setelah berita pembukaan kembali Gereja, Jesicca amat bersyukur dan gembira. Meskipun harus mematuhi SOP di mana wajib menjaga jarak, menjaga kebersihan dan memakai topeng kesihatan, Jesicca percaya bahawa di dalam Yesus, semua ini akan kembali normal. Jesicca juga berdoa agar rantaian pandemik Covid-19 segera berakhir dan keadaan kembali normal seperti sedia kala agar Gereja kembali meriah seperti sebelum ini.

Selepas dua minggu Gereja dibuka, barulah saya dapat merayakan Misa di Gereja. Ini disebabkan pada kali pertama ia dibuka, saya tidak yakin untuk beribadat. Saya berasa bimbang untuk berada di tempat umum.

Namun saya kembali berasa yakin dengan penerapan dan pematuhan SOP yang dikenakan oleh Gereja. Selain itu, pihak-pihak berwajib juga selalu memantau dan memeriksa keadaan.  Oleh itu, pada minggu kedua Gereja kembali dibuka, saya telah mendaftarkan diri. Suasana Liturgi agak kaku  pada masa PKPP ini. Tidak ada nyanyian dan semua umat terus pulang ke rumah selepas Misa.

Gereja juga agak kaku kerana tidak ada gelak tawa kanak-kanak Saya juga berasa sedih kerana saya tidak dapat duduk bersama dengan isteri dan anak-anak. Isteri saya berada di rumah dan mengikuti Misa dalam talian kerana bayi kami masih kecil. Marilah kita samasama berdoa agar keadaan kembali pulih agar anak-anak dan warga tua dapat kembali memuliakan Tuhan dalan Perayaan Ekaristi. --Joseph, Seremban

Pada 20 Jun 2020 Katedral St Francis Xavier (KSFX) telah memulakan kembali Misa Senja di Dewan Solidariti, Dataran Keuskupan Keningau setelah lebih 13 minggu ditutup.

Secara peribadi, saya berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat kembali untuk melayani. Sebelum Misa dimulakan, saya bersama beberapa belia daripada Kerasulan Belia KSFX telah ditugaskan untuk mengambil data, suhu dan mensanitasi tangan sebelum Paderi, para petugas Misa dan umat dibenarkan masuk untuk menghadiri Misa Kudus. Syukur kerana mereka yang hadir Misa memberi kerjasama dan jujur dalam mengisi data mereka di kaunter saringan suhu. 

Selain itu, umat dilihat amat mematuhi segala SOP yg telah ditetapkan oleh pihak gereja.

Walaupun pada masa kini, kita melalui banyak Norma Baharu, tetapi tetaplah percaya bahawa dengan doa yang kita satukan pasti penularan wabak Covid-19 ini akan berakhir. Apa yang penting ialah harus sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling. Ingatlah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. --  Shirley_ Persatuan Hospis SFX (Komiti Kecemasan )

Melanie seorang guru yang berasal dari Penampang tetapi sudah menetap di Kuala Penyu lebih 10 tahun, berkongsi betapa perasaannya teramat sedih kerana tidak dapat hadir ke rumah Tuhan sejak PKP diumumkan pada bulan Mac lalu.

Beliau merasakan seolah-olah kehidupannya tidak lengkap kerana selama ini beliau sentiasa hadir mengikuti Misa kudus sama ada  di gereja St. Peter Bundu dan sekiranya pulang ke kampung asal akan mengikuti Misa Kudus di Penampang atau Ranau.

Semasa PKP hinggalah PKPP, Melanie dan keluarga mengikuti Misa dalam talian. Walaupun, mengikuti Misa dalam talian membuatnya tidak kelam-kabut untuk bersiap tetapi rasa ingin bersama umat yang ramai membuatkan beliau merindui kebersamaan dengan komuniti yang besar serta terkenang betapa meriahnya kalau keadaan sebelum kita menghadapi musibah pandemik Covid-19. Bagi Melanie, Misa online ada positifnya kerana ada keselesaan berkumpul bersama keluarga, tetapi mempunyai kerinduan mendalam kerana hanya dapat menyambut Tubuh Yesus secara rohani.

Setelah pembukaan kembali Gereja, Melanie mengharapkan umat sentiasa mengikuti SOP yang dikeluarkan oleh Gereja bagi menggelakkan wujudnya kluster baharu Covid-19. Melanie juga gembira dengan keputusan Gereja yang tetap menyiarkan Misa Kudus online bagi golongan yang tidak dapat mengikuti Misa Kudus di Gereja.

Pada mulanya saya berasa waswas untuk ke Gereja kerana sedar kita masih belum bebas dari cengkaman coronavirus.

Selagi vaksin belum ditemui, selagi itulah kita tidak boleh leka. Namun, saya gembira dengan penerapan SOP yang dikenakan oleh Gereja.

Walaupun saya tidak dapat berbual-bual dengan umat lain mahupun berjabat tangan dengan umat lain. Terasa lucu kerana dengan memakai pelitup muka, kami juga sukar mengenali sesama tetapi rasa kesatuan dengan Yesus dan sesama itu amat kuat. Saya juga gembira apabila mendapat tahu seminar untuk pra-perkahwinan dan persia pan untuk pembaptisan para pilihan IKD juga akan bermula. Saya mengucapkan syabas kepada pasukan sukarelawan yang menjaga pendaftaran, mengambil suhu, memastikan keselamatan dan kebersihan— mereka melayani dengan tabah dan mesra.

Kepada para klerus dan religius, mereka memberikan teladan yang luar biasa di mana mereka membelakangkan rasa takut untuk demi memberi pelayanan kasih kepada umat.

Semoga seluruh Gereja Katolik di Malaysia terus dapat menambah bilangan umat datang ke Gereja secara berperingkat. --Randy Allen, Tampin

Apabila diumumkan bahawa gereja sudah mula membuka pintunya untuk Misa Kudus, saya berasa sangat teruja kerana akhirnya dapat mengubati kerinduan untuk berjumpa dengan Tuhan dan menyambut Tubuh dan Darah-Nya.

Namun, disebabkan kesihatan yang kurang baik menyebabkan saya tidak dapat menghadiri Misa Kudus yang pertama yang diadakan di Gereja St Yohanes Yohanes Penginjil, Panui, pada 28 Jun yang lalu.

Saya tetap bersyukur walaupun saya kurang sihat tetapi masih berkesempatan mendengar Sabda Tuhan dan menyambut Tubuh Yesus secara rohani melalui Misa Kudus dalam talian.

Saya juga ingin mengajak semua umat agar tidak sekadar menunggu pandemik ini berakhir sebaliknya berdoa agar krisis kesihatan ini segera dibendung.

Siapa yang tidak rindu untuk merayakan Misa di Gereja? Kerinduan untuk menyambut Tubuh dan Darah Yesus sangat mendalam. Setiap kali mengikuti Misa dalam talian, saya sering tertanya-tanya, bila akhirnya saya dan keluarga dapat menyambut Komuni?

Setelah mendengar pengumuman Perdana Menteri bahawa rumah ibadat bukan Islam sudah boleh dibuka pada bulan Jun lalu, saya turut berasa tidak sabar.

Namun begitu, keinginan untuk kembali beribadat di Gereja terpaksa ditangguhkan kerana  menjaga anak-anak yang kecil dan ibu saya yang sudah lanjut usia.

SOP tidak membenarkan kanak-kanak 12 tahun dan warga emas 70 tahun ke atas untuk mengikuti Misa Umum. Ada juga keluhan di kalangan ahli-ahli KED saya yang tidak dibenarkan memasuki premis Gereja kerana gagal memenuhi syarat SOP misalnya mempunyai tanda demam. Namun, kita perlu tegas dalam mematuhi SOP kerana tidak mahu wujudnya kluster baharu Covid-19.  — Rebecca Rachel, KL

Total Comments:0

Name
Email
Comments