Kemuncak PYOP 2014 di Paroki St Martin, Telupid

“Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari, terima, dengar, dan lihat pada-Ku – Fililpi 4:9” merupakan tema untuk Kemuncak Parish Youth Outstation Programme (PYOP) 2014 yang berlangsung pada 24hb – 26hb Oktober 2014.

Nov 14, 2014

TELUPID: “Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari, terima, dengar, dan lihat pada-Ku – Fililpi 4:9” merupakan tema untuk Kemuncak Parish Youth Outstation Programme (PYOP) 2014 yang berlangsung pada 24hb – 26hb Oktober 2014.

Seramai 126 para belia menyertai program ini yang dianjurkan oleh Tim Kerasulan Belia Paroki Telupid. Kemuncak PYOP ini dijalankan selama 3 hari 2 malam yang disertai oleh belia dari setiap lima (5) Zon di sekitar Paroki Telupid iaitu (1) Zon Jalan Sandakan, (2) Zon Jalan Sapi/Nangoh, (3) Zon Jalan Tongod, (4) Zon Jalan Ranau & (5) Zon Pekan.

Sebelum kemuncak ini dijalankan, Tim PYOP yang terdiri daripada 12 orang dari Tim PYA telah melakukan penjangkauan di zon-zon terpilih. Zon yang telah dipilih adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria iaitu (1) Kehendak ingin dilawati dan (2) Bilangan belia Katolik. Zon terpilih ini adalah;

1. St Joseph, Nangoh (Zon Jalan Sapi/Nangoh) – 15-17 Ogos 2014, Bilangan Belia: 56 Orang

2. St Joseph, Lumou (Zon Jalan Ranau) – 12-14 September 2014, Bilangan Belia: 102 Orang

Objektif PYOP adalah selari dengan objektif KBPT St Martin Telupid dan diselitkan dengan tema PYOP 2014 iaitu:

1. Menyampaikan Misi TIM KBPT kepada semua belia di Paroki Telupid iaitu:

--Pembaharuan dalam TIM Pelayanan lMerapatkan jurang di antara belia pusat dan juga luar stasi.
--Memperbaiki komunikasi dan mewujudkan perhubungan di antara belia pusat dan luar stasi.

2. Mengaktifkan kembali belia yang kurang berkecimpung dalam pelayanan

3. Mewujudkan ikatan yang teguh di kalangan belia dan juga umat dengan cara:

--Berkongsi informasi, pengalaman dan melakukan apa yang telah belia pelajari, dan terima dalam pelayanan serta pengetahuan iman.

Pendaftaran bermula pada jam 2 petang kemudian diikuti dengan Misa Harian pada jam 6 petang yang dirayakan oleh Fr Jasery. Dalam khutbahnya, beliau menerangkan tentang “Semua orang yang dibaptis dipanggil untuk bersaksi.” Fr Jasery memberi fokus kepada pelayanan belia serta menyeru belia memperolehi inspirasi dan sukacita untuk melayani gereja setempat.

Peserta berpeluang menonton video ‘Recap PYOP Siri 1 dan 2’ disusuli dengan ‘Youth’s Moment’ serta ‘Energizer’. Selesai sahaja sesi tersebut, peserta diperkenalkan dengan PYOP. Tujuan pengenalan ini dibuat adalah untuk mendekatkan lagi pengetahuan mereka berkenaan dengan aktiviti tahunan di Paroki Telupid.

Hari kedua, 25hb Oktober dipenuhi dengan aktiviti yang padat. Program dimulai dengan doa pagi dan ‘Lectio Divina’ oleh Sdra Warren Pierre Anun.

Sesi pertama dikendalikan oleh Sdra Warren Pierre Anun bertajuk ‘Dosa dan bagaimana ia terjadi?. Rumusan di dalam ceramahnya itu, mengaitkan kepada 7 jenis dosa yang selalu kita tidak sedari kita lakukan. Selepas itu, peserta memberi perkongsian berkenaan dengan pengalaman mereka berkenaan dengan sesi ini. Sesi yang seterusnya disampaikan oleh Sdra Hildy Albert yang bertajuk ‘Muzik dan Liturgi’. Dalam sesinya, Hildy membentangkan tentang muzik dan peranan muzik di dalam gereja. Tajuk ini dipilih bagi mendedahkan kepada para peserta berkenaan dengan fungsi muzik, kesesuaian muzik, serta tatacara muzik di dalam Misa Kudus. Sdra Hildy juga menyelitkan penggunaan ‘Gregarius’, apa yang harus belia tahu di dalam koir, antaranya mempelajari sejarah dan nilai-nilai lagu tersebut agar mampu menghidupkan suasana rohani dalam diri serta umat semasa menyanyikannya.

Pada petangnya, para belia dibahagikan pada lapan kumpulan dan dibawa ke satu tempat di mana mereka akan merasai dan merenung di mana tahap iman mereka di dalam sesi ‘7 Tahap Iman’. Iman Katolik terdiri dari 7 tahap iaitu (1) Tahap Iman Kanak-Kanak, (2) Tahap Iman Ikut-Ikutan, (3) Tahap Iman Komuniti, (4) Tahap Iman Personal, (5) Tahap Iman Para Murid, (6) Tahap Iman Para Rasul, dan (7) Tahap Iman Para Martir. Peserta telah dibawa ke dalam aktiviti agar mereka dapat menjurus lebih kepada jenis tahap Iman tersebut. Aktiviti sesi ini dikendalikan oleh Sdra Javy Jimmy.

Misa Senja dijalankan pada jam 6 petang. Dalam khotbahnya, Rev Fr Jasery mengingatkan para peserta agar meneliti diri sendiri untuk mengetahui tahap iman mereka. Aktiviti ‘7 Tahap Iman’ memberi ruang kepada peserta untuk mencari jalan untuk berkembang dan tumbuh dalam iman.

Sesi malam, bermula dengan refleksi, di mana para peserta mengimbas semula apa yang telah mereka terima dalam sesi 3, “7 Tahap Iman.” Refleksi ini dikendalikan oleh Sdra Valentine Tony.

Program hari kedua diakhiri dengan ‘Adorasi dan Taize Prayer’ yang dikendalikan oleh Sdra Warren P Anun.

Ahad, 26hb Oktober merupakan hari akhir Kemuncak PYOP 2014. Para peserta turut hadir dalam Misa Kudus bersama umat pada 8.00 pagi yang dipimpin oleh Rev Fr Jasery Emmanuel. Dalam khotbahnya, beliau menerangkan kaitan salib, darah, dan tubuh Kristus dengan kasih-Nya terhadap keluarga, komuniti dan rakan-rakan.

Selepas Misa Kudus, peserta menghadiri sesi ‘Youth’s Question and Church’s Answer.’ Sesi ini bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk bertanyakan aspek-aspek tentang Gereja Katolik.

Program selanjutnya diteruskan dengan sesi “How Deep is Your Faith?” yang dikendalikan oleh Sdra Evaristus Francis. Dalam aktiviti ini, iman peserta akan diasak dan hasil input adalah perisai untuk menyangkal apa sahaja anasir yang boleh mempengarui mereka serta melemahkan iman mereka. Melalui asakan ini, peserta akan belajar bagaimana untuk mengatasi kelemahan tersebut apabila berada dalam situasi duniawi.

Sesi ‘How Special You Are’ dijalankan pada sebelah tengahari, dikendalikan oleh Sdri Mizy Mizearly Malek di Asrama PRIDE St Martin. Peserta akan menulis apa yang istimewa pada orang lain melalui kad yang diberikan. Ini secara tidak langsung mampu menambahkan keyakinan kepada peserta tersebut dan peserta dapat mengetahui apa yang istimewa pada diri mereka.

Sesi akhir Kemuncak PYOP adalah sesi ‘Doa Harapan’ dijalankan di Gereja yang dikendalikan oleh Sdri Myvaly Jimmy. Dalam sesi ini, peserta akan menulis doa harapan masing-masing mengenai apa yang mereka harapkan setelah selesainya program Kemuncak ini. -- Oleh Javy James dan Bertram Lansing, SOCCOM Telupid

Total Comments:0

Name
Email
Comments