Kemuncak Tahun Misi Keuskupan Keningau : Aku siap diutus!

Pada 18 Oktober, Misa Kudus sempena dengan kemuncak Tahun Misi dan permulaan Seminar Evangelisasi telah diadakan di Dewan Solidariti Keuskupan Keningau.

Nov 10, 2019

KENINGAU: Pada 18 Oktober, Misa Kudus sempena dengan kemuncak Tahun Misi dan permulaan Seminar Evangelisasi telah diadakan di Dewan Solidariti Keuskupan Keningau.

Misa Kudus disempurnakan oleh Romo Sabinus Lohin, turut dihadiri   Fr. Joseph Gapitang, Fr. Boniface Kimsin dan Fr. Lazourus Uhin. Seminar bertemakan “Dibaptis dan Diutus” ini diadakan di Dewan Solidariti Keuskupan Keningau bermula 18 -20 Oktober,.

Seminar Evangelsasi yang berlangsung selama tiga hari ini merupakan kemuncak sambutan Tahun Misi 2019 oleh Keuskupan Keningau. Tahun Misi dilancarkan di Malaysia pada 6 Januari 2019. Manakala Keuskupan Keningau  melancarkan Tahun Misi pada 27 Januari, 2019. 

Kira-kira 600 orang perwakilan sekitar Keuskupan Keningau yang hadir dalam seminar ini.

Sdra Joseph Masri, salah seorang penceramah yang diterbangkan daripada negara jiran, Indonesia turut bersama-sama dalam menjayakan seminar ini. Beliau telah memulakan sesi yang pertama dengan tajuk  “Sedikit Sahajakah Orang yang Diselamatkan?”

Sesi diteruskan pada hari kedua  dengan ceramah yang disampaikan oleh Romo Sabnius Lohin dan juga Sdra Joseph Masri. Turut diadakan dalam seminar ini ialah perbincangan  dan pembentangan mengenai seni dan kreativiti dalam penginjilan. Peserta seminar diberikan soalan sebagai panduan perkongsian mengikut kumpulan yang dibentuk.

Perkongsian itu bukan sahaja menjadi sumber refleksi kepada diri  peserta sendiri tetapi juga sesama dan seterusnya kepada pemimpinpemimpin yang menjadi teladan  kepada umat.

Program pada hari ke dua diakhiri dengan Adorasi di hadapan Sakramen Maha Kudus. Dalam  Adorasi ini, umat diajak memelihara keharmonian alam ciptaan Tuhan dan membuat refleksi perjalanan iman masing-masing sehingga ke hari ini. Sesi terakhir disampaikan oleh Sdra Joseph Masri yang bertajuk "Aku siap diutus” pada hari berikutnya.

Sesi ini membakar semangat peserta seminar untuk terus menjadi saluran kehadiran Tuhan kepada mereka yang belum dan ingin mengenal Yesus Kristus.

Misa pengutusan disempurnakan oleh Bapa Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh lapan orang paderi di altar.

“Pembaptisan itulah perutusan dan penginjilan kita. Dengan tema “Dibaptis dan diutus” dalam seminar kali ini, kita dibantu oleh Romo Sabinus dan Sdra Joseph Masri untuk memahami evangelisasi kita.

“Dalam menjalankan perutusan kita, mintalah Roh Kudus untuk membimbing dalam perjalanan iman dan perbuatan sehari-hari. Percaya kepada kerja dan kuasa Roh Kudus untuk menolong kita. Marilah kita agar mahu diutus,” ujar Bapa Uskup seraya mengajak umat supaya berani diutus untuk Yesus. -- Komsos K’gau  TELUPID

Total Comments:0

Name
Email
Comments