Kenyataan media Peguam Negara tentang isu rampasan Alkitab

YAB Menteri Besar Selangor dilaporkan telah memberi kenyataan media pada 4 Jun 2014 bahawa Kerajaan Negeri Selangor memberi tempoh satu bulan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan sama ada untuk memulangkan 300 Bible yang telah disita pada bulan Januari 2014 oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada Persatuan Bible Malaysia.

Jun 27, 2014



YAB Menteri Besar Selangor dilaporkan telah memberi kenyataan media pada 4 Jun 2014 bahawa Kerajaan Negeri Selangor memberi tempoh satu bulan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan sama ada untuk memulangkan 300 Bible yang telah disita pada bulan Januari 2014 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

YAB Menteri Besar dipetik turut berkata sejak tempoh enam (6) bulan Jabatan Peguam Negara belum membuat sebarang keputusan dan YAB Menteri Besar Selangor memberikan tempoh satu (1) bulan untuk Jabatan Peguam Negara membuat keputusan berhubung dengan perkara tersebut.

Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa kertas siasatan dirujuk pada kali pertama ke pejabat ini pada 6 Februari 2014 dan pejabat ini telah memberikan nasihat untuk melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kembali kertas siasatan tersebut pada 20 Februari 2014.

Pihak JAIS selanjutnya telah mengemukakan semula kertas siasatan tersebut pada 25 Februari 2014 dan Tan Sri Peguam Negara telah memberikan nasihat kepada JAIS supaya merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri berkaitan dengan Bible tersebut dan merujuk semula kertas siasatan tersebut.

Pada 15 Jun 2014, pihak JAIS sekali lagi mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk nasihat pejabat ini.

Jabatan Peguam Negara telah meneliti fakta dan keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan berhubung rampasan buku-buku tersebut dan mengambil kira peruntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam 1988) memutuskan bukubuku yang dirampas bukan merupakan tulisan yang diterbitkan di bawah seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan DiKalangan Orang Islam) 1988.

Keterangan menunjukkan bukubuku yang dirampas adalah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Alkitab Berita Baik adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian. Jabatan Peguam Negara juga turut mengambil kira keterangan Kementerian Dalam Negeri bahawa buku-buku tersebut tidak dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan tidak melibatkan isu keselamatan negara.

Oleh yang demikian, Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat dan kes tersebut ditutup. Berhubung dengan kitab-kitab yang dirampas, Jabatan Peguam Negara meminta pihak JAIS untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undangundang.

Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
11 Jun 2014

05.15 petang

Total Comments:0

Name
Email
Comments