Kesempatan yang disia-siakan

Alkisah seorang raja Saxon di zaman dahulu terpaksa meninggalkan takhtanya dan pergi ke medan perang untuk menghapuskan para pemberontak.

Dec 06, 2019

HARI MINGGU KEDUA ADVEN (A)
YESAYA 2:1-5; ROMA 13:11-14
INJIL MATIUS 24:37-44

Alkisah seorang raja Saxon di zaman dahulu terpaksa meninggalkan takhtanya dan pergi ke medan perang untuk menghapuskan para pemberontak. Sesudah peperangan berakhir, raja tersebut menempatkan lilin besar di pintu gerbang istana sementaranya, tempat dia dan askar-askarnya bermarkas. Dia menyalakan lilin tersebut sambil memberi titah di raja kepada semua orang yang telah memberontak melawannya dengan bertitah, “Sesiapa yang mahu menyerah diri dan bersumpah setia kepada beta sementara lilin masih bernyala, maka mereka akan diampuni.” Maka ramailah askar pemberontak bergegas menyerahkan diri dan bersumpah setia kepada sang raja sebelum api lilin tersebut padam sehingga mereka semua diampuni.

Nampaknya sesuai dengan pesan Injil hari ini, Tuhan pun demikian juga terhadap kita semua. Lilin itu sebagai lambang jangka kehidupan kita yang perlu segera diperbaiki, diperhalusi dan diperbaharui sesuai dengan kehendak Tuhan.

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Yohanes Pembaptis lebih kurang demikian, “Mengapa harus  tunggu kedatangan nabi Elia? Kenapa harus menunggu sampai Sang Mesias datang? Mengapa harus sampai Kerajaan Tuhan itu sudah ditubuh baru kita bertaubat?

Bila kita semua, khususnya selama masa Adven ini, peka dalam mendengarkan seruan Yohanes Pembaptis yang menyiapkan hati kita untuk menyambut kedatangan Kristus Almasih kita, kita jangan takut atau ragu-ragu, bahkan merasa tidak mampu melaksanakannya.

Sabda Tuhan yang harus kita dengarkan dan laksanakan bukanlah suatu beban yang menekan. Sebaliknya, sabda Tuhan merupakan kepastian dan jaminan, bahawa Dia yang memberikan sabda-Nya kepada kita juga akan selalu menyertai kita. Hari inilah masanya kita perlu mengubah hidup kita.

Hari inilah masanya bagi kita merubah sikap dan tindak tanduk kita, sebab mungkin besok sudah terlambat, lakukan sekarang juga!”

Lebih jelas lagi apa yang dimaksudkan oleh Yohens Pembaptis bagi kita di zaman ini adalah nasihatnya seperti, “Jika engkau mahu mengaku dosa, lakukan sekarang. Jangan sampai hari Krismas baru bersesak-sesak,  berebut-rebut pergi mengaku dosa.

Jika engkau bercadang untuk mengampuni musuh lama mu, sekaranglah masanya.” “Jangan tunggu lama-lama. Mungkin besok atau lusa kita sudah terlambat. “Jika ada keinginan untuk berbuat sesuatu yang baik demi sesama, keluarga atau diri sendiri, lakukanlah sekarang, jangan tunggu lamalama. Sekaranglah masanya!" Tetapi ramai orang suka katakata ini, “Ah, nanti saja, bukankah esok masih ada? Esok sajalah atau pada lain hari” — Mengapa orang suka bersikap demikian?

Konon ada sebuah cerita dongeng tentang tiga makhluk iblis yang bertengkar siapa yang mempunyai cara yang terbaik untuk membinasakan manusia di dunia ini:Iblis pertama berkata, “Marilah kita beritahu kepada semua manusia bahawa Alkitab itu adalah dongeng belaka.”

“Ah, cara mu itu tidak berkesan,” kata iblis yang kedua, “Biarkan saya pergi kepada mereka dan memberitahu bahawa syurga dan neraka itu tidak ada serta menghilangkan rasa takut mereka pada Tuhan agar mereka tidak percaya lagi kepada Tuhan.”

Kemudian Iblis yang ketiga ber kata dengan penuh keyakinan: “Beritahu pada orang-orang Kristian bahawa Tuhan itu ada, Alkitab itu memang betul, dan bahawa syurga dan neraka itu ada. Tetapi beritahu mereka secara halus bahawa tidak perlu tergesagesa datang kepada Tuhan kerana esok sentiasa ada.”

Kesemua iblis tersebut bersetuju dan mengutusnya ke dunia. Inilah strategi atau pelan tindakan iblis kepada manusia, “Tidak perlu tergesa-gesa, besok, lusa atau pada lain hari masih tetap ada.”

Jadi mana satu yang mahu kita ikut? Nasihat Yohanes Pembaptis atau iblis yang licik itu?  Apa pun, mengapa harus tunggu sampai tahun hadapan atau penyakit dan kesusahan datang baru kita megubah sikap kita yang tidak baik misalnya terlalu minum minuman keras, merokok, dadah,  memaki hamun sesama kita, menonton TV dan melayari siber keterlaluan hingga menjejaskan kesihatan pula?

Saya teringat kata-kata ini:  “Empat perkara yang tidak akan kembali — kata-kata yang diucapkan, mata panah yang dilepaskan, masa yang berlalu, kesempatan yang dilepaskan.”  Saya tertarik dengan kata-kata yang terakhir, “ Kesempatanyang dilepaskan.”Jangan lepaskan kesempatan yang baik.

Sekaranglah kesempatan yang baik untuk menerima Yesus ke dalam kehidupan kita.   Sekaranglah masanya untuk berbuat yang terbaik untuk Tuhan melalui sesama kita. Pendek kata, jangan suka menunda-nunda melakukan perkara yang baik.-- imankatolik / santapan rohani diocese of Keningau

Total Comments:0

Name
Email
Comments