Keuskupan Sandakan pastikan yang susah tidak bersendirian

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh Kerajaan pada 18 Mac 2020, ramai orang yang terkesan dengan situasi ini, terutama para migran (Indonesia dan Filipina) serta orang tempatan yang kurang berkemampuan atau terputus pencarian nafkah hidup.

May 16, 2020

SANDAKAN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh Kerajaan pada 18 Mac 2020, ramai orang yang terkesan dengan situasi ini, terutama para migran (Indonesia dan Filipina) serta orang tempatan yang kurang berkemampuan atau terputus pencarian nafkah hidup.

Oleh itu, Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan telah mengadakan perkongsian singkat berkenaan hal ini seterusnya tindakan selanjutnya dilakukan oleh Komiti Pembangunan Insan Paroki di setiap Paroki.

Di Katedral St Mary, Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) telah mengadakan perbincangan dengan Paderi Paroki, Father  David A. Garaman berkenaan bantuan yang perlu disalurkan kepada keluarga yang memerlukan. Misi bantuan ini adalah untuk meringankan beban mereka.

Maka dengan itu, satu usahasama dengan KPIP Sandakan dan Sandakan Rotary Club (NGO) telah dijalinkan demi menjalankan misi bantuan tersebut. Sandakan Rotary Club bersetuju menjadi penyumbang dana bantuan manakala KPIP Sandakan pula membentuk tim penyelaras atau pelaksana. Segala maklumat telah disalurkan melalui Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI)  dan Keluarga Kristian Dasar (KKD).

Kumpulan mereka mengenal pasti para migran dan rakyat tempatan yang kurang berkemampuan, di beberapa kawasan dalam Daerah Sandakan,  khususnya yang belum  menerima bantuan dari mana-mana pihak setakat ini.

Bantuan yang diberikan berupa makanan asas. Pada 24 April 2020, misi bantuan per tama telah menjangkau dan membantu 45 buah keluarga.

Tim Penyelaras / Pelaksana juga telah mendapati bahawa masih ada keluarga yang belum menerima bantuan dari mana-mana pihak, maka bantuan fasa kedua akan dirancang dan dilaksanakan secepat mungkin. Ibu tunggal atau orang tua yang tinggal bersendirian, yang masih memerlukan bantuan  juga adalah yang disasarkan untuk menerima bantuan seterusnya nanti.

Pihak Gereja Katolik di Paroki Katedral St. Mary, Sandakan dan Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan amat menghargai sumbangan dana yang diterima daripada Sandakan Rotary Club. Mereka juga berterima kasih kepada semua pihak lain yang terlibat menjayakan misi bantuan ini.

Total Comments:0

Name
Email
Comments