Kidung Belia: Bersoraklah, bangkitlah, wartakanlah!

Kidung Belia: Bersoraklah, bangkitlah, wartakanlah!

Nov 16, 2018

KUALA LUMPUR: Pada 13 Oktober 2018 yang lalu, ministri belia KUBM daripada Gereja Good Shepherd Setapak dan kerjasama daripada ministri belia Gereja St. Anthony Kuala Lumpur, dengan jayanya telah menganjurkan konsert rohani yang disebut sebagai “Kidung Belia”.

Program seumpama ini julung kalinya diadakan dan telah berlangsung di Function Hall Gereja Good Sherperd, Setapak, bermula dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam, dengan tema, “Bersoraklah, bangkitlah dan wartakanlah."

Konsert ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada semua belia KUBM terutamanya di sekitar Kuala Lumpur. Purata peserta yang hadir adalah seramai 76 orang.

Acara dimulakan dengan pendaftaran, seterusnya sesi pembukaan dengan iringan muzik dan lagu bertenaga daripada barisan pemuzik ministri belia.

Kemudian sesi diteruskan dengan acara suai kenal, upacara pentakhtaan Alkitab dan tayangan video singkat tentang aktiviti dan pelayanan belia oleh Sdra Karltwin Kerol iaitu Pengerusi Belia Gereja St. Anthony dan Pengerusi Belia KUBM Good Shepherd, Sdra Roy.

Selepas sesi-sesi ucapan, acara diteruskan dengan sesi pujian, diikuti perkongsian Injil daripada Sdra Karltwin yang menyeru belia untuk mengisi kehidupan sebagai orang muda Tuhan yang penuh dengan sorakan, bangkit dan menjadi pewarta kerajaan Tuhan kepada semua orang.

Para belia semakin bersemangat memasuki acara kemuncak iaitu sesi pujian dan penyembahan, di mana tanpa segan dan silu, mereka menari, bersorak, melompat dan bertepuk tangan bangkit memuji Tuhan dengan semangat yang luar biasa.

Majoriti para belia menyuarakan pendapat mereka bahawa mereka sangat suka akan program seumpama ini, kerana menarik dan berkesan untuk mengeratkan persahabatan antara sesama dan sekaligus membangkitkan kembali jiwa mereka yang merindui kasih Yesus.

Para belia mahu program ini diteruskan pada tahun hadapan. Acara diakhiri dengan doa penutup dan sesi bergambar berkumpulan. Kaum muda ini kembali ke tempat masing-masing dengan jiwa yang telah diperbaharui, damai dan sukacita. — Caroline SAC

Total Comments:0

Name
Email
Comments