Kita adalah umat Tuhan yang komited, efektif melayani kerajaan-Nya

Yesus menggunakan banyak perumpamaan untuk memperkenalkan kerajaan Tuhan agar dapat dialami dan difahami oleh kita umat-Nya.

Jul 31, 2020

Rev. Fathers, Religius — Brothers dan Sisters, Seminarians, Komuniti ISKB, Katekis, Pengerusi dan ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komuniti,  Komiti dan Saudara Saudari yang saya kasihi dalam Kristus,

Sudah dua Hari Minggu berturut-turut kita mendengar Yesus melalui Injil-Nya memberi perumpamaan tentang Kerajaan Tuhan. Apa itu Kerajaan Tuhan dan apa kaitannya dengan kita?

Yesus menggunakan banyak perumpamaan untuk memperkenalkan kerajaan Tuhan agar dapat dialami dan difahami oleh kita umat-Nya. Kerajaan Tuhan itu pada dasarnya adalah perwujudan kuasa dan pemerintahan Tuhan di dalam hati dan kehidupan semua orang yang percaya kepada Kristus. Itulah sebab mengapa Yesus mengajak, “bertobatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Tuhan akan memerintah” (Mat. 4:7). Ini bermakna bahawa hanya apabila ada sikap taubat, rendah hati dan tidak sombong seseorang itu akan dapat mengenal dan mengalami kehadiran Tuhan dan kuasa-Nya.

Yesus sendiri pernah berkata dalam doaNya kepada Bapa, “Aku bersyukur kepada-Mu kerana apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak pandai, Engkau tunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar” (Mat. 11:25).

Sebenarnya Tuhan telah melengkapi setiap kita dengan mata, telinga dan hati supaya kita sentiasa peka dan dapat melihat, mendengar dan merasai kehadiran Tuhan pada sesama kita, alam ciptaan Tuhan dan apa yang berlaku dalam keluarga, komuniti serta sekeliling kita, kecuali jika kita berkeras hati (Mat.13:10-17).

Saudara saudari, kita bersyukur kerana sebagai pengikut dan murid Yesus kita sentiasa dipimpin oleh Roh Kudus dalam perjalanan hidup dan iman kita. Roh Kudus sentiasa mendorong kita hidup dalam semangat kesatuan dan kekitaan. Roh Kudus menerangkan akal budi kita agar kita sentiasa bangga dengan identiti kita sebagai anggota-anggota Kerajaan Tuhan, komited kepada misi kita sebagai saksi-saksi kerajaan-Nya dan yakin dengan destinasi hidup ini menuju ke rumah Bapa di syurga mela lui Yesus (Yoh.14:6).

Sebagai Paderi, Religius, Katekis dan para Pemimpin Umat perjalanan iman dan pelayanan kita perlu berpandu dan berlandaskan kepada Visi-Misi-Matlamat Keuskupan agar kita sentiasa fokus dan bersama dapat memainkan peranan kita sebagai saksi-saksi yang komited dan efektif melayani Kerajaan-Nya (Mat. 6:33).

Berikut beberapa perkara yang perlukan perhatian kita bersama:

1. Poor Clare Sisters akan merayakan hari Santa Clare pada 11 Ogos 2020  dengan mengadakan Misa Kudus kesyukuran pada jam 6.00 petang di RRKKT. Tema Perayaan: “St.Clare’s Spirit of Prayer unifies the different faces of the earth”. Program perayaan dapat dilihat dalam Risalah Mingguan KSFX.

2. Pesta Bonda Maria diangkat ke Syurga adalah pada 15 Ogos. Untuk menyambut Pesta ini ada dua peristiwa akan kita rayakan (dengan mematuhi SOP yang sudah ditetapkan seperti yang kita semua sedia maklum dalam masa PKPP ini):

a)Penghormatan Bonda Maria di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon (PZKKNS) dengan Doa Rosari di hadapan Ikon Our Lady of Lourdes pada jam 6 petang disusuli dengan Misa Kudus.

b)Kesyukuran Ulang Tahun ke-13 Adorasi harian di Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT). Kesyukuran ini akan  kita isikan dengan Misa Kudus jam 8 pagi dan disusuli dengan Adorasi pada 15/8.

3. Radio Online “Kekitaan FM”. KOMSOS Keuskupan Keningau akan melancarkan usaha-usaha Evangelisasi dalam masa PKPP  ini melalui Radio Online “Kekitaan FM”. Kita bawa dalam Doa agar usaha kita ini diberkati dan dilindungi oleh Tuhan. Jika tidak ada aral melintang pelancarannya akan diumumkan nanti.

“Umat Tuhan Berjalan Bersama Dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus”

Kebahagiaan Adalah Kekitaan
+Bishop Datuk Cornelius Piong

Total Comments:0

Name
Email
Comments