K.I.T.A dedah cabaran iman kaum muda masa kini

Usaha Gereja dalam membantu dan membentuk para belia secara teratur bermula sejak tahun 1974 oleh Suruhanjaya Belia PAX semasa hanya ada sebuah Keuskupan sahaja di Sabah.

May 29, 2014

KENINGAU: Usaha Gereja dalam membantu dan membentuk para belia secara teratur bermula sejak tahun 1974 oleh Suruhanjaya Belia PAX semasa hanya ada sebuah Keuskupan sahaja di Sabah.

Apabila tertubuhnya dua lagi Keuskupan di Sabah, maka usaha itu dikendalikan oleh Komisi Belia dan Pejabat Pelayanan Kampus masing-masing.

Banyak program dan aktiviti pastoral telah dijalankan kerana Gereja mengambil berat terhadap perjalanan hidup belia. Usaha-usaha itu bertambah apabila cabaran dan kekeliruan yang mengancam mereka semakin meningkat.

Antara usaha yang utama adalah agar belia mengenal dan mengimani Tuhan Yesus Kristus dan seterusnya menjadi murid-murid-Nya yang setia.

Apabila peluang melanjutkan pelajaran di tahap IPTA/IPTS semakin terbuka luas, ramai belia Katolik juga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan peluang itu sama ada di dalam atau di luar negara.

Didapati pada masa inilah ada di antara mereka terpesong bukan saja dari segi hidup sosial mereka tetapi terutama dalam kehidupan rohani sehingga ada yang menukar agama.

Oleh itu, Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau telah mengadakan program KITA pada Mei 17, 2014 di dewan Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) Keningau, Sabah.

Seramai 20 orang belia telah mengikuti program yang bermatlamat utama untuk mewujudkan kesedaran di kalangan para pelajar tentang kehidupan di kampus serta bagaimana menghadapi cabarancabaran yang ada.

Program ini juga menyediakan forum untuk mendalami iman Katolik, dan mengongsikan kemahiran dan pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Antara sesi-sesi yang disampaikan ialah sesi “Pengenalan” oleh Amodd Deal Tingadon, “Kehidupan di Universiti” oleh Elfred, “Hak dan Tanggungjawab” oleh Seminarian Harry Dorisoh dan “Mendalami iman Katolik” oleh Seminarian Wilfred James.

Melalui sesi-sesi yang telah disampaikan sepanjang program KITA, para peserta didedahkan tentang pentingnya kesedaran iman serta mengetahui ajaran agama Kristian Katolik.

Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan pengetahuan dan pemahaman tentang hak asasi manusia terutamanya dalam undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia, hak dan kebebasan beragama di Malaysia. -- Amodd Deal Tingadon

Total Comments:0

Name
Email
Comments