Klerus perbaharui komitmen imamat dalam Misa Krisma

Pada petang 14 Julai, para paderi dari Keuskupan Melaka-Johor berhimpun di Pusat Majodi buat pertama kalinya selepas PKP dan PKPB. Selepas dua hari rekoleksi, para klerus memperbaharui janji kepaderian mereka dalam Misa Krisma.

Jul 24, 2020

PLENTONG, Johor: Pada petang 14 Julai, para paderi dari Keuskupan Melaka-Johor berhimpun di Pusat Majodi buat pertama kalinya selepas PKP dan PKPB. Selepas dua hari rekoleksi, para klerus memperbaharui janji kepaderian mereka dalam Misa Krisma.

Selain pembaharuan janji imamat, pemberkatan tiga minyak penting untuk digunakan dalam pelayanan sakramen sepanjang tahun juga diadakan dalam Misa ini.

Minyak-minyak suci itu ialah minyak Krisma, minyak untuk para Katekumen dan minyak untuk Orang Sakit. Misa Krisma yang dirayakan uskup besama para imam dan pada saat yang sama dikonsekrasikan minyak suci, ini memanifestasikan persekutuan para imam dengan uskup, dalam imamat dan pelayanan Kristus yang sama. Para imam datang ke Misa ini dari pelbagai paroki. Dengan demikian ia menjadi saksi dan kesediaannya bekerjasama dengan uskup. Hal ini sama seperti dalam pelayanan sehari-hari, di mana mereka adalah pembantu dan penasihatnya (bdk PS art.35).

Misa Krisma yang mengikut SOP ini dipimpin oleh Uskup Bernard Paul. Prelatus itu dibantu oleh Msgr Peter Ng  dan Michael Mannayagam, Diakon Gilbert James OFM Cap dan Leslie Petrus. Turut hadir ialah Uskup Emeritus James Chan dan Paul Tan. 

Pada pembukaan Misa, Uskup Bernard mengimbas semula perhimpunan para klerus sempena pembukaan Misa pelancaran ulang tahun Keuskupan MJD ke-di Bukit St Paul Melaka. Perhimpunan para klerus sempena Misa Krisma adalah penting kerana ia menyeru sebuah permulaan baharu dengan janji baharu dan pemberkatan minyak-minyak baharu. 

Prelatus itu juga menekankan bahawa Misa Krisma yang biasanya dirayakan sebelum Paskah, kini hanya dapat dirayakan pada masa ini akibat pandemik. Misa Krisma juga menandakan bermulanya kembali Misa, bermulanya kembali para paderi menjalankan tugas, memberikan pelayanan-pelayanan sakramen dan menghidupi aktiviti kehidupan Gereja yang tertangguh selama beberapa bulan akibat Covid-19. 

Uskup Bernard menggalakkan para paderi untuk mewartakan kepada umat betapa agungnya kesetiaan, cinta dan harapan Tuhan kepada umat-Nya. Beliau juga berharap para paderi agar terus tabah dan disegarkan melalui Misa Krisma itu untuk menjadi “para lelaki tertahbis yang beriman kuat,  harapan dan cinta kerana Tuhan yang  Agung berada di dalam diri mereka, bukan berada di luar.

“Berhubung dan sentuhlah Tuhan, muliakan Dia kerana Dia telah memanggil kalian.”

Selepas homili, upacara pembaharuan janji imamat para klerus diteruskan. Selepas doa Komuni, Uskup Bernard memberkati minyak-minyak suci. Gembala itu berterima kasih kepada Tuhan di atas kurniaan imamat dan para paderi, kerana tanpa para paderi, tidak ada pelayanan sakramen untuk para umat. Uskup Bernard juga memohon kepada Tuhan untuk memberkati keuskupan yang sedang dalam persiapan merayakan ulang tahun jublinya pada tahun 2022.

Sr Susan Dulang SSFS, ketua Kerasulan Bahasa Malaysia menyatakan rasa gembi ranya kerana dapat melihat para paderi dan diakon berhimpun bersama, lebih-lebih lagi dalam upacara yang sungguh bermakna, selepas tiga bulan gereja ditutup dan segala aktiviti kerohanian yang melibatkan umat, ditangguhkan.

Alfred Micheal, jurutera bunyi yang sudah lama berkhidmat dan mempersembahkan kepakarannya untuk kegunaan Gereja berkata, adalah cabaran besar baginya untuk menyiarkan Misa Kudus Krisma dalam talian kerana isyarat Internet di dewan yang tidak pantas. Dia tidak berhenti mencari penyelesaiannya kerana tahu betapa pentingnya Misa Krisma. Maka beliau telah memuat turun Point to Pont Outdoor Wifi Extender yang membantu kelancaran siaran langsung di saluran Youtube dan Facebook.

Total Comments:0

Name
Email
Comments