Konsert amal untuk bantu bina Gereja di Tambunan

Konsert amal untuk bantu bina Gereja di Tambunan

Feb 01, 2019

TAMBUNAN: Uskup Cornelius Piong menyeru umat Kristian agar merayakan Krismas dengan penuh suasana yang bahagia.

“Krismas bukan kepunyaan kita semata-mata dan setiap kali merayakannya, kita menyanyikan Joy To The Lord dan sukacita kepada dunia. Ini bererti perayaan ini adalah kepunyaan semua tanpa mengira bangsa, agama dan budaya,” katanya semasa merasmikan Mini Konsert Natal sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu peringkat daerah Tambunan di Pisompuruan Square di sini pada Jumaat.

Bapa Uskup Cornelius berkata, sebenarnya Krismas adalah ungkapan terima kasih pada Tuhan melindungi dan menyelamatkan kepada umat manusia dari kejahatan. Katanya, ungkapan itu supaya dapat menyertai mereka dalam kehidupan harian dan kerana itulah lahirnya sukacita kepada mereka yang merayakan perayaan ini.

“Saya berharap mereka yang hadir pada majlis itu dapat berhibur melalui mini konsert yang menjadi saluran dan kehadiran sukacita antara kita,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Majlis itu, Basal Datuk Bullah dalam ucapannya berkata, tujuan mini konsert Natal itu dan Tahun Baharu 2019 yang julung kali diadakan di daer ah ini adalah bagi menghimpunkan semua umat dan rakyat jelata daerah ini untuk mengungkapkan rasa kesyukuran kepada Tuhan atas segalanya dengan cara pujian melalui persembahan nyanyian, sketsa, muzik dan tarian.

“Sesungguhnya setiap kita punya bakat-bakat yang telah diberikan Tuhan dengan percuma maka kita sesungguhnya harus mengembalikan pujian dan rasa syukur kepada Tuhan,” katanya.

Basal yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan berkata, program ini merupakan konsert amal untuk mengutip dana bagi pembinaan gereja baharu St Theresa Tambunan yang dalam perancangan memandangkan bangunan yang sedia ada sudah uzur dan tidak mampu menampung pertambahan bilangan umat.

Katanya, pembinaan gereja baharu ini dianggarkan akan menelan kos RM7 juta dan setakat ini kewangan yang terkumpul adalah sebanyak RM2 juta.

“Saya berharap melalui konsert ini, orang ramai dapat menderma seikhlas hati demi untuk membantu pembinaan gereja ini,” katanya.

Turut menyerikan majlis itu ialah persembahan tarian dari St Francis Cabrani Nambayan, Taridra dari belia Kristus Nokotungak Tombotuon, Tambunan, persembahan dari Tanak Jesus Band, Koir dari Gereja SDA, persembahan nyanyian solo dari penganjur sendiri iaitu En.Basal Bullah, persembahan nyanyian solo dari Martha Ginun, Rosario Bianis, Anjelica (Elica) Paujin dan diakhiri oleh persembahan oleh ajk penganjur La Valley charole.

Majlis berakhir pada jam 10.00 malam dengan pengumuman pemenang cabutan nama bertuah.

Lebih 1,000 telah menghadiri program itu termasuk Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rasinin Kautis, Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (PWS), Loretto S. Padua, Ketua Penerangan PWS Sabah, Datuk Jake Jikulin Nointin, Pegawai Daerah, Jumain Abdul Ghani, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Eddy Tan Sri RM Jasni, pemimpinpemimpin politik dari komponen PH, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan dan pemimpinpemimpin masyarakat. — Constantine Vitus

Total Comments:0

Name
Email
Comments