Kunjungan belas kasih ke PUSPEN

“Retaknya hubungan saya dan isteri merupakan permulaan perubahan hidup yang akhirnya menempatkan saya di Puspen,” luah seorang penghuni PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) yang berumur sekitar 60-an.

Apr 12, 2019

KIMANIS: “Retaknya hubungan saya dan isteri merupakan permulaan perubahan hidup yang akhirnya menempatkan saya di Puspen,” luah seorang penghuni PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) yang berumur sekitar 60-an. Luahan ini diperkongsikan bersama semasa lawatan oleh kumpulan gereja — Komiti Pastoral Umat Katolik St Sabina, Titimboungon dan Komiti Alam Sekitar Holy Rosary Limbahau, pada 28 Mac yang lalu.

Menurutnya lagi, selepas berpisah dengan isteri, dia kemudiannya menjadi ‘kaki botol’ yang kemudian menjurusnya kepada penagihan dadah. Setelah ditahan dan ditempatkan di PUSPEN Kimanis selama beberapa bulan, kini dia semakin sedar akan kesilapannya. Beliau juga bersyukur kerana masa yang diluangkan di pusat tahanan tersebut diisinya dengan doa dan renungan peribadi, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Seorang lagi penghuni yang berumur sekitar lewat 20 tahun dari daerah Keningau berkongsi bahawa perjalanan hidupnya yang kini menempatkan dia di Pusat Pemulihan tersebut, bermula dengan kegagalan dalam percintaan.

Beliau yang dulu seorang yang aktif dalam kegiatan gereja, telah ditinggalkan oleh teman wanitanya menyebabkan dia cuba melupakan kekecewaan hati dengan minuman alkohol. Bermula dengan minuman beralkohol, dia kemudiannya terjerumus ke dalam penagihan dadah. Dalam perkongsiannya, dia melahirkan rasa rindunya untuk turut serta dalam perayaan Misa Kudus.

Lawatan tersebut merupakan yang julungkalinya bagi komiti gereja dari St Sabina, Titimboungon dan juga oleh Komiti Alam Sekitar, Gereja Holy Rosary, Limbahau.

Walaupun terdapat beberapa ahli kumpulan yang pernah datang ke pusat tersebut bagi tujuan tertentu, pengalaman mendengar perkongsian dari penghuni pusat tersebut merupakan pengalaman yang membukakan minda mereka. Lawatan tersebut juga merupakan pengalaman rohani bagi mempergiatkan amal kebajikan sempena dengan musim Pra-Paskah.

Total Comments:0

Name
Email
Comments