Kunjungan Sri Paus ke Tanah Suci, erat kesatuan

Pada Mei 28 lalu, Paus Fransiskus menyatakan bahawa kunjungannya ke Tanah Suci telah memberi semangat dan sokongan kepada kesatuan Kristian serta menggalakkan umat Katolik untuk berdoa agar Tuhan dapat membantu “menyembuhkan luka-luka” yang telah memecahbelahkan umat beriman.

Jun 06, 2014

VATIKAN: Pada Mei 28 lalu, Paus Fransiskus menyatakan bahawa kunjungannya ke Tanah Suci telah memberi semangat dan sokongan kepada kesatuan Kristian serta menggalakkan umat Katolik untuk berdoa agar Tuhan dapat membantu “menyembuhkan luka-luka” yang telah memecahbelahkan umat beriman.

“Saya bersyukur kepada Tuhan. Dia telah membimbing saya ke tanah terberkati itu dan melihat kehadiran Yesus yang bersejarah, di mana asas wujudnya agama Yahudi, Kristian dan Islam,” kata Paus semasa Audiensi dengan umat Awam di Dataran Sto Petrus.

Prelatus itu juga menceritakan kepada ribuan penziarah yang ada pada hari tersebut tentang pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin Ortodoks Kristian di Holy Sepulchre, Yerusalem.

Di makam di mana tubuh Yesus Kristus diletakkan dan bangkit, “kami sama-sama merasai kepahitan dan penderitaan akibat pemisahan yang terus berlaku di kalangan pengikut-pengikut Kristus. Malah ia juga telah menimbulkan banyak huru-hara serta kelukaan dalam hati.”

Bapa Suci Fransiskus menyatakan bahawa pertemuannya dengan Patriak Ortodoks, Bartholomew of Constantinople sebagai "kemuncak kunjungannya' ke Tanah Suci. Mereka berdoa di Holy Sepulchre bersama Patriak Ortodoks Yunani, Theopilos III, Patriak Aemenian Apostolik, Nourhan, para Uskup Agung dan Uskup dari pelbagai Gereja serta umat beriman.

“Kita masih terpecah belah; semasa berada di tempat itu, di mana pewartaan Kebangkitan bergema, di mana Yesus memberikan kita kehidupan — tetapi kita masih terpisah- pisah. Namun, dalam perayaan yang sangat meriah itu, dapat dirasai semangat persaudaraan, saling mengambil berat antara satu dengan lain dan mengasihi.

“Kami dikuatkan oleh suara Gembala Baik yang telah bangkit, yang mahu kita bersatu sebagai domba-domba gembalaan-Nya. Kami merasai keinginan untuk disembuhkan dan berusaha untuk bersatu dalam sebuah kesatuan.”

“Seperti para pendahulu saya, saya mohon keampunan atas segala yang telah kita lakukan sehingga terjadinya perpecahan itu. Saya berdoa agar Roh Kudus dapat membantu kita untuk menyembuhkan luka-luka akibat perbuatan kita di kalangan saudara-saudari seiman kita,” sambung Sangti Papa lagi.

“Kita semua adalah saudara dan saudari dalam Kristus. Dan dengan Patriak Bartholomew, kita adalah bersahabat, bersaudara; kita berkongsi keinginan untuk berjalan bersama, untuk melakukan apa yang kita mampu lakukan pada masa ini iaitu berdoa bersama, bekerja sama demi umat Tuhan, sama-sama berusaha mewujudkan keamanan, melindungi alam sekitar dan banyak lagi."

Paus Fransikus juga bercakap mengenai usaha-usaha mengembalikan keamanan di wilayah itu. Katanya, keamanan datangnya dari pemberian daripada Tuhan serta komitmen daripada manusia.

“Orang-orang asal di Tanah Suci telah hidup dalam keadaan sukar terlalu lama. Oleh itu, sebagai umat Kristian, sentiasalah memilih persaudaraan, perdamaian dan kerendahan hati agar keamanan dapat dipulihkan di Tanah Suci.”

Prelatus itu juga memuji usaha Yordan yang menerima para pelarian dari Syria serta turut menyuarakan persetujuan mereka untuk menggalakkan keamanan di Syria serta penyelesaian kepada konflik Israel- Palestin.

Bapa Suci turut bersyukur dan terharu kepada umat Kristian di Tanah Suci dan Timur Tengah. “Mereka adalah saksi-saksi Tuhan yang berani, saksi harapan dan kemurahan hati, ‘terang dan garam’ di tanah tersebut.” --CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments