KWK Sandakan, para wanita sembilan basis KBKI, berjalan bersama dalam kerukunan
Kerasulan Wanita Katolik Paroki telah mengadakan program “Lawatan Muhibah” bersama dengan wanita-wanita daripada sembilan basis Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI). Program ini telah diadakan pada 31 Mac 2019 di dewan serbaguna Gereja St. Mark Batu 12, Sandakan.
Apr 26, 2019
SANDAKAN: Kerasulan Wanita Katolik Paroki telah mengadakan program “Lawatan Muhibah” bersama dengan wanita-wanita daripada sembilan basis Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI). Program ini telah diadakan pada 31 Mac 2019 di dewan serbaguna Gereja St. Mark Batu 12, Sandakan.
Basis-basis yang terlibat adalah Basis Maria Ratu Damai (Bt. 8), Basis Maria Immaculata (Bt. 11), Basis Maria Bintang Timur (Bt. 12), Basis Salib Suci (Bt. 12), Basis Materdolorosa (Bt. 14), Basis Maria Bintang Laut (Bt. 16), Basis Reihnya Rosary (Bt. 16), Basis Kristus Raja (Comsa) dan Basis St. Gabriel (Bt. 20).
Program dimulakan pada jam 11.00 pagi dengan ketibaan para tetamu jemputan dan wanita daripada setiap basis.
Sdra Pilis Malim selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Sandakan dalam ucapannya menyatakan sokongannya terhadap program seperti ini diadakan dan menegaskan betapa pentingnya kesatuan dalam setiap pelayanan yang ditubuhkan agar berjalan sejajar dengan visi dan misi gereja. Beliau berpuas hati melihat ahli-ahli KWK terdiri daripada pelbagai kaum dan menjadi sebuah komuniti yang melakukan apa jua aktiviti. Harapan beliau agar kesatuan seperti ini akan dapat diteruskan dalam KWK.
Encik Dimeh Koyopo selaku Pengerusi Komiti Pastoral St. Mark dalam ucapannya berbangga dengan penglibatan KWK yang berusaha menjangkau para wanita terutama wanita-wanita dari basis KBKI. Bagi beliau ini adalah satu kemajuan dalam pelayanan KWK yang mana selama ini hanya dilihat sebagai membantu dalam aktiviti seperti memasak sahaja.
Program diteruskan dengan sesi penerangan tentang Objektif dan Garis Panduan Kerasulan Wanita Katolik oleh Puan Cecelia Polo D’Souza, iaitu Ketua Penyelaras KWK peringkat Paroki dan Keuskupan.
Dalam sesi itu, beliau turut memperkenalkan Ahli Jawatankuasa Penyelaras (AJP) peringkat Paroki kepada tetamu yang hadir. Kemudian, beliau menerangkan tentang garis panduan KWK dan objektif KWK. Pn Cecelia juga mengalualukan wanita-wanita daripada semua basis untuk menyertai KWK, berjalan bersama dan melakukan aktiviti gereja selaras dengan Visi dan Misi gereja. “To Journey Together with other Church Groups”. Mengakhiri sesi, Pn Cecelia menjemput semua yang hadir untuk menyanyikan lagu “Bahasa Cinta”.
Dalam sesi perkongsian daripada Sr. Regina Kimung FSIC selaku Ahli Kehormat KWK Keuskupan Sandakan yang bertajuk “Peranan Wanita Dalam Gereja”, menyatakan perubahan masa membuatkan peranan wanita semakin diterima di mata umum.
Wanita sekarang mempunyai pangkat yang sama dengan kaum lelaki. Begitu juga pelayanan di dalam gereja, wanita dapat memberikan kerjasama yang baik kepada semua komuniti dan bersama-sama bersatu dengan komuniti yang lain melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dalam pelayanan. Sesi Sr. Regina diakhiri dengan nyanyian lagu bertajuk “Persembahan Ku”.
Pada akhir program ini, gabungan wanita basis telah membuat persembahan koir dalam bahasa suku Lamaholot bertajuk “Ina Maria” yang bermaksud Bonda Maria. Seterusnya, persembahan koir dari KWK Paroki yang bertajuk “We Are Women Of Faith”.
Sesi program diakhiri dengan doa penutup oleh Sr. Regina Kimung dan bergambar beramairamai. — Paula Dennis
Total Comments:0