Lembutkan hati, biarkanRoh Kudus bekerja

Saya pernah mengenali seorang sahabat yang sejak masa bujangnya sentiasa mencari erti kehidupannya. Anehnya kawan saya ini mempunyai empat nama: nama Cina, nama kampung (pagan) nama Islam dan nama Kristian.

Jun 06, 2014

HARI MINGGU
PENTAKOSTA (A)
PEMBACAAN
KISAH PARA RASUL: 2:1-11;
1 KORINTUS 12:3-7,12-13;
INJIL YOHANES 20:19-23

Saya pernah mengenali seorang sahabat yang sejak masa bujangnya sentiasa mencari erti kehidupannya. Anehnya kawan saya ini mempunyai empat nama: nama Cina, nama kampung (pagan) nama Islam dan nama Kristian. Saya pernah bertanya mengapa dia mempunyai nama yang banyak itu. Jawapannya mudah saja. Demi keselamatan, katanya. Namun dia tetap tidak puas. Dia masih tetap mencari erti kehidupan ini.

Akhirnya dia bertemu dengan seorang wanita katolik. Jatuh cinta lalu berkahwin. Kebetulan wanita tersebut seorang yang rajin ke gereja. Pada mulanya kawan saya ini rajin ke gereja bersama dengan isterinya. Maklum, masih pengantin baru.

Tetapi apabila masa berbulan madu sudah berakhir, hidup sudah kembali seperti sedia kala, tabiat kawan saya ini kembali seperti waktu bujang.

Terjadilah perselisihan di antara mereka. Manisnya hanya semasa waktu berkenalan dan bulan madu tidak berkekalan. Ia cepat bertukar menjadi pahit yang tiada tandingnya.

Perkara ini semakin hebat apabila sang isteri mendapat tahu bahawa kawan saya ini bermain kayu tiga. Dia sungguh tidak percaya suaminya tergamak berbuat demikian terhadap dirinya.

Sang isteri lari dari rumah, komplin sana komplin sini, minta kaunseling di sana sini. Tetapi yang baik terjadi, si isteri dan si suami mulai rajin berdoa. Sungguh-sungguh berdoa, tidak seperti dulu, hanya ala kadar saja.

Perselisihan tersebut tidak lama apabila ada teman yang dekat mengajak mereka menghadiri Seminar Hidup Baru Dalam Roh. Dalam seminar tersebut mereka kembali ke dalam diri mereka masing-masing dan merasakan betapa mereka saling memerlukan. Lebih-lebih lagi apabila mereka menyerahkan diri untuk dibaptis dalam Roh Kudus.

Pada saat itu segala saat-saat yang membebankan mereka kembali menjadi ringan sehingga terbuka antara satu dengan yang lain. Malah perasaan cinta kasih lebih kuat lagi daripada masa mereka berbulan madu.

Demikian pengalaman hebat teman saya dengan pasangannya. Sebenarnya anda dan saya juga mempunyai pengalaman-pengalaman hebat. Mungkin lebih hebat daripada cerita Bollywood di TV atau filem Tan Sri P. Ramlee dan Holywood. Bagi para Rasul, perjalanan hebat mereka adalah apabila Roh Kudus turun ke atas mereka pada hari Pentakosta.

Seperti para Rasul, kita pun sebenarnya dicurahi Roh Kudus sewaktu kita dibaptis dan apabila menerima Sakramen Penguatan. Tapi mengapa Dia tidak mengubah kehidupan kita seperti yang terjadi pada para Rasul? Mengapa agaknya sikap kita masih seperti orang yang belum dibaptis?

Seperkara yang perlu kita ingat! Roh Kudus tidak dapat mengubah hati kita jika kita sendiri tidak mahu diubah oleh Roh Kudus.

Sama seperti kisah kawan saya tadi, hatinya begitu keras, egois dan mahu menang sendiri. Dia tidak mahu terbuka. Hatinya tertutup rapat. Namun dia berubah seratus peratus apabila dia membiarkan Roh Kudus mengubahnya.

Saya berpendapat Roh Kudus tetap memberi kita semangat. Dia sentiasa mengetuk pintu hati kita. Terserah pada diri kita masingmasing sama ada menerimanya atau menolaknya. Apa yang jelas, Dia tetap ada di samping kita, menegur kita untuk mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.

Ambil contoh misalnya selama ini kita hidup dalam keadaan berdosa. Betapa kita berkeinginan untuk tidak kaki botol, mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain dan lain-lain lagi tetapi kita tetap melawan suara hati kita. Kita tetap mahu melakukannya. Apakah kita tidak merasa dan mendengar suara dari dalam diri kita yang menggema mengatakan kita salah?

Roh Kudus dapat mengubah kita seperti yang dialami oleh para Rasul pada hari Pentakosta serta yang dialami oleh kawan saya dan isterinya itu waktu menghadiri seminar Hidup Baru Dalam Roh. Karya Roh Kudus biasanya lemah lembut. Namun akhirnya terserah pada kita untuk menerima-Nya atau sebaliknya.

Jika kita menerima-Nya, maka buah-buah Roh akan kelihatan dalam diri kita dan sesama iaitu: “Cinta kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemah-lembutan dan penguasaan diri” (Gal 5:22). Inginkah anda buah-buah Roh tersebut? Caranya mudah saja. Lembutkan hati dan biarkan Roh Kudus bekerja.-- JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments