Mamangkis laungkan kebebasan beragama

Kita berkumpul di Pitas pada hari ini, di daerah yang paling miskin di Malaysia, untuk Mamangkis. Mamangkis adalah laungan perang nenek moyang kita setiap kali musuh menceroboh dan cuba untuk mencabuli hak kesulungan kita.

Apr 17, 2014

KENYATAAN AKHBAR

Perpaduan Anak Negeri (PAN) Sabah - Native Solidarity of Sabah

P O Box 423, 89507 Penampang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Kita berkumpul di Pitas pada hari ini, di daerah yang paling miskin di Malaysia, untuk Mamangkis. Mamangkis adalah laungan perang nenek moyang kita setiap kali musuh menceroboh dan cuba untuk mencabuli hak kesulungan kita.

Tetapi pada hari ini apabila kita Mamangkis, kita memohon kepada Tuhan agar campur tangan di dalam ketidakadilan yang telah diperlakukan ke atas Anak-Anak Negeri di Sabah. Khususnya, para pelampau agama yang datang pada awal tahun ini di Pitas, telah menggunakan tipu helah untuk memperdayakan saudara dan saudari kita yang buta huruf untuk memeluk agama Islam. Tiga bulan sudah berlalu dan walaupun laporan polis telah dibuat, tidak ada tindakan yang konkrit di ambil.

Seakan-akan mereka menerima perlindungan dan sokongan daripada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, kami menuntut supaya pengislaman besar-besaran dengan cara penipuan ini dibatalkan tanpa berlengah- lengah lagi. Kita tidak dapat berdepan dengan “kuasa yang besar” ini bersendirian.

Namun kita tidak perlu takut kerana di dalam Mamangkis hari ini kita memohon kepada Tuhan. Firman Tuhan mengatakan, “Bukan dengan Keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku” (Zakharia 4:6). Pada masa yang sama kita harus mengingatkan diri kita sendiri apa yang telah diajar di Yeremia 7:23: “Dengarkanlah suara-Ku, maka Aku akan menjadi Tuhan mu dan kamu akan menjadi umat-Ku, dan ikutilah seluruh jalan yang Ku perintahkan kepada mu”.

Janganlah kita dibutakan oleh kebodohan dan manfaat sementara yang ditawarkan oleh dunia ini dan oleh tipu helah manusia! Kami tahu bahawa kamu telah diperdaya untuk memeluk agama Islam, namun kamu masih terus mengakui dan menyembah Yesus Kristus sebagai Tuhan yang mana menjadi bukti bahawa kamu masih mengamalkan kepercayaan Kristian. Di dalam Mamangkis kita hari ini mari kita memohon kepada Tuhan agar segala ketidakadilan akan diperbetulkan.

Contohnya, Anak-Anak Negeri Sabah yang mempunyai bin ataupun binti pada nama mereka, secara automatik disenaraikan sebagai orang Islam di dalam Mykad mereka. Ini merupakan pengislaman Bumiputera Kristian di Sabah menggunakan Mykad oleh Putrajaya. Aduan telah dibuat kepada JPN mengenai pengislaman melalui Mykad ini tetapi pengadu diberitahu untuk pergi ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan bahawa mereka bukan orang Islam.

Ini bukan sahaja merupakan satu penghinaan tetapi juga pencabulan ke atas hak kebebasan agama yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian 20 Perkara. Anak-anak kita juga di dalam bahaya kerana pelampau-pelampau yang diketahui mendapat persetujuan kerajaan sendiri juga sedang mengislamkan anak-anak kita seawal peringkat Taska dan Tadika sehinggalah ke sekolah-sekolah berasrama penuh dan kolej melalui cara-cara ancaman, penipuan ataupun pemberian di dalam berbagai bentuk. Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah memberi jaminan bahawa kita boleh menggunakan perkataan "Allah" kerana ia sudah digunakan sejak turun temurun. Tetapi Putrajaya tetap menegaskan bahawa kata ini adalah khas untuk Islam sahaja.

Kita tegaskan di sini bahawa tidak kira apa pun, kita akan terus menggunakan kata "Allah" seperti mana nenek moyang kita telah lakukan pada masa-masa dahulu. Anak-anak negeri bukan sahaja menjadi mangsa politik Islam tetapi juga mangsa polisi- polisi ekonomi berasaskan kaum yang mengabaikan serta merampas hak-hak Anak Negeri.

Tanah Orang Asal telah dicuri dan diberikan kepada mereka yang bukan Orang Asal. Hari ini kita menjadi miskin kerana kita tidak ada hak pun keatas tanah pusaka kita. Pendatang-pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan tidak sah sekarang ini sedang menikmati lebih banyak hak dan keistimewaan daripada kita Anak Negeri tanah ini. Ramai pendatang-pendatang asing telah membanjiri Sabah, kebanyakkan mereka adalah pendatang haram dan beragama Islam. Dan sekali lagi, kita, Anak-Anak Negeri seolah- olah di dalam pembuangan di tanah kita sendiri.

Sementara tangisan kita tidak kedengaran oleh mereka yang memegang kuasa, hari ini kita Mamangkis dan memohon kepada mahkamah Tuhan yang Maha Kuasa agar mendengar penderitaan kita. Namun dengan kasih anugerah Tuhan, pemimpin-pemimpin bumiputera Kristian telah bangkit sebagai jurucakap dan gembala kita. Mamangkis adalah pemohonan kita kepada Tuhan tanpa mengira denominasi dan ini telah menggalakkan sokongan yang kuat daripada saudara dan saudari kita dalam Kristus di Semenanjung.

Kita tidak bersendirian, umat-umat Tuhan di seluruh negara ada bersama-sama dengan kita. Sebagai kesimpulan, mari kita Mamangkis untuk kebebasan beragama. Namun pada akhirnya perjuangan itu milik Tuhan. Kemenangan juga milik Tuhan.

Oleh itu Mamangkis kita bukan sahaja laungan perang kita, ia juga adalah lagu kemenangan kita di dalam nama Tuhan Yesus Kristus. Hanya kepada-Nya kami berikan segala kemuliaan dan keagungan serta sembah kami yang tidak berkesudahan! AMEN. — Dirasmikan oleh Rev. Jensey Mojuin

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Perpaduan Anak Negeri (PAN) Sabah sempena perayaan “Mamangkis” di Gereja PCS Pitas, Sabah.Untuk maklumat lanjut sila hubungi ahli komiti PAN George Mikil 0138608285

Total Comments:0

Name
Email
Comments