Mari bergabung untuk menjaga keharmonian Negara

Sempena Hari Kebangsaan ke-60 dan Hari Malaysia ke-54, Persekutuan Kristian Malaysia CFM) telah menyeru umat Kristian agar terus bersatu dan bergabung, serta menjaga keharmonian semua komuniti di negara ini.

Sep 10, 2017

KUALA LUMPUR: Sempena Hari Kebangsaan ke-60 dan Hari Malaysia ke-54, Persekutuan Kristian Malaysia CFM) telah menyeru umat Kristian agar terus bersatu dan bergabung, serta menjaga keharmonian semua komuniti di negara ini.

“Perpaduan adalah kekuatan. Walaupun banyak cabaran bagi negara kita untuk maju dan makmur, namun kita boleh mencapai hidup yang lebih baik apabila kita bersatu padu.

Tuhan kita Yesus Kristus memanggil kita untuk “mengasihi sesama kita seperti diri kita sendiri,” ini adalah sebuah panggilan untuk kita meninggalkan gaya hidup yang mementingkan diri sendiri,” demikian antara seruan dalam kenyataan akhbar tersebut.

Selain itu, CFM juga memberi peringatan kepada umat beriman agar tidak sesekali menggunakan kaedah keganasan dan mengajak umat untuk melindungi mereka yang lemah.

Berikut merupakan pesan penuh Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia CFM:

Dalam beberapa hari akan datang, rakyat Malaysia akan merayakan dan memperingati ulang tahun ke-54 Malaysia dan telah pun merayakan ulang tahun kemerdekaan yang ke-60. Meskipun muncul pelbagai tekanan dan ketegangan, namun kita dipanggil untuk mengingati semula sifat alamiah Persekutuan, hak-hak dan kebebasan rakyat kita yang majmuk.

Sesungguhnya ramai yang bimbang akan beberapa perkara yang berlaku dalam negara tercinta ini, sama ada ia mempunyai kaitan antara kerajaan persekutuan dan negeri mengenai cukai, kebebasan badan kehakiman, pengurangan berterusan sifat sekular Perlembagaan dan Persekutuan, pertolongan politik terhadap satu agama menentang agama lain (menjadikan masyarakat Kristian sebagai sasaran konflik), kebolehan para pemimpin politik, dakwaan-dakwaan tertentu terhadap tuntutan rasuah, penarikan kembali kerajaan akan ketentuan yang melarang penukaran agama kanak-kanak oleh salah seorang ibu bapa, pilihan raya umum yang akan berlaku menjelang tahun depan atau beban kewangan yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah namun sebenarnya semua orang terkena kesan yang buruk.

Kekhuatiran ini menunjukkan bahawa kita terus mahu menjaga kepentingan masyarakat kita dengan sungguh-sungguh dan menyedari bahawa kesinambungan prinsip asas, nilai dan kepercayaan tidak lagi boleh dianggap seperti sebelumnya. Ia juga menunjukkan bahawa kita terus mencari apa yang terbaik sebagai satu bangsa, apa yang terbaik bagi semua yang hidup dalam negara tercinta ini, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama, asal usul sejarah atau status imigresen, atau kedudukan sosio-ekonomi atau pendidikan.

Kita semua telah menyumbang dengan cara sendiri atau pada masa lalu dalam membina negara ini, dan kita semua akan terus memainkan peranan dalam membentuk dan menentukan masa depannya.

Sejajar dengan moto negara kita yang menyatakan, "Bersekutu Bertambah Mutu" - "Perpaduan adalah Kekuatan". Walaupun banyak cabaran bagi negara kita untuk maju dan makmur, kita boleh mencapai hidup yang lebih baik bagi semua, baik dari segi material dan spiritual, tetapi hanya apabila kita bersatu padu. Tuhan kita Yesus Kristus memanggil kita untuk "mengasihi sesama kita seperti diri kita sendiri," ini adalah sebuah panggilan untuk kita meninggalkan gaya hidup yang mementingkan diri sendiri dan berorientasikan gaya hidup sendiri.

Komuniti dan negara terbina apabila orang ramai bekerjasama dan hidup bersama dalam kesatuan. Iman mengajar kita bahawa menggunakan kaedah keganasan dan memaksa adalah tidak betul. Oleh itu, menyayangi sesama kita seperti diri kita sendiri mungkin melibatkan pandangan orang lain yang tidak setuju, atau membuat upaya khas untuk melindungi golongan minoriti atau golongan terpinggir yang terlantar di tengah-tengah kita dan mereka yang diperdagangkan secara tidak berperikemanusiaan. Ia juga memerlukan kita untuk mencintai orangorang yang mengungkapkan kata-kata tidak menyenangkan bahkan membenci kita.

Perayaan dan peringatan tahunan ini mengingatkan kita bahawa kita dipanggil untuk mengutamakan orang lain dan mencari kebaikan bersama. Dalam perjalanan kita bersama sebagai satu negara, marilah kita menjunjung doa dengan sungguh-sungguh, secara kolektif dan secara individu, agar kejujuran, integriti dan keadilan dalam kehidupan seharian kita dan di institusi negara, serta kesopanan dan penghormatan dalam hubungan kita terus kekal serta baik antara satu sama lain.

Marilah kita terus berdoa untuk semua pemimpin, sivil, politik, kehakiman dan religius: agar mereka sentiasa tekun menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dan berusaha untuk menegakkan semangat dan makna sebenar sumpah jawatan mereka dan keadilan untuk semua boleh dilakukan dan dapat dilihat diamalkan di tanah kita yang tercinta ini.

Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Malaysia. Semoga Tuhan Maha Kuasa memberi, menyegarkan dan memberkati bangsa kita.










Total Comments:0

Name
Email
Comments