Mata rakyat tertumpu pada Manifesto PH — ringankan beban rakyat dalam masa 100 hari

Pemansuhan GST adalah antara manifesto Pakatan Harapan dan ia dijanjikan dibuat dalam 100 hari pertama pentadbirannya.

May 18, 2018

SHAH ALAM: Pemansuhan GST adalah antara manifesto Pakatan Harapan dan ia dijanjikan dibuat dalam 100 hari pertama pentadbirannya.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan pimpinannya akan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang dijanjikan.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan baharu akan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum ini.

10 Janji Pakatan Harapan (PH) bermula sejak kemenangan besar parti itu pada 9 Mei lalu.

Dalam 100 hari itu juga Pakatan Harapan mahu mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk menyiasat dan menangani isu-isu yang menimbulkan kontroversi, termasuk 1MDB dan Perjanjian Malaysia 1963.

1.Menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat. 2.Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar. 3.Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

Pakatan Harapan juga akan melaksanakan 4 perkara lain menyasarkan hutang yang ditanggung peneroka dan lepasan universiti dan perlindungan untuk suri rumah dan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40):

1.Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
2.Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.
3.Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
4.Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Dalam 100 hari, Pakatan Harapan akan mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk mengkaji dan menangani isu-isu kontroversi:

1.Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.
2.Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
3.Melancarkan kajian terperinci mengenai projek- projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Tun Dr Mahathir, selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei lalu memberi jaminan bahawa kerajaan mahu terus kekal sebagai negara mesra perniagaan, satu konsep persyarikatan Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan.

“Kita berhasrat membina ekonomi Malaysia dengan bantuan pelabur dari dalam dan luar negara. Kita juga mahu melihat peningkatan permodalan pasaran saham. Kita mahu memberi tahu ahli perniagaan yang mereka boleh menaikkan harga (saham) mereka dalam pasaran saham,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga berkata bahawa kerajaan akan berusaha untuk menjadikan ringgit sekukuh mungkin. “Kita tidak mahu menyebabkan penurunan nilai ringgit yang akan menjadikan mata wang itu tidak kompetitif. Kita akan berusaha menjadikan ringgit kompetitif,” kata beliau.

Pada 12 Mei, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan yang bertindak menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.

Mereka adalah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

“Majlis ini yang diketuai oleh Tun Daim Zainuddin berkenaan akan membantu kerajaan membentuk dasar dan program bagi mencapai janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) untuk ditunaikan kepada rakyat.” — FMT/MK/Bernama

Total Comments:0

Name
Email
Comments