Membangun harapan melalui pembinaan jambatan antara budaya

Paus Fransiskus menghabiskan sebahagian besar masa dalam Audiensi Umum untuk membicarakan kunjungannya ke Marocco baru-baru ini.

Apr 12, 2019

VATIKAN: Paus Fransiskus menghabiskan sebahagian besar masa dalam Audiensi Umum untuk membicarakan kunjungannya ke Marocco baru-baru ini.

Prelatus itu menggambarkan tema perjalanan, “Abdi Harapan,” dan menerangkan kepada umat beriman di Dataran Santo Petrus bahawa “memberi harapan di zaman kita adalah membangun jambatan antara budaya."

Dalam Audiensi Umum pada 3 April, Sri Paus mengambil kesempatan untuk bersyukur atas kunjungan apostoliknya ke Marocco pada 30-31 Mac lalu.

Secara khusus, Sri Paus berterima kasih kepada Raja Mohammed VI atas sambutan hangatnya. Di atas segalanya, beliau berterima kasih kepada Tuhan kerana “mengizinkan saya mengambil langkah maju di jalan dialog dan perjumpaan dengan saudarasaudari Muslim kita, sebagai ‘Abdi harapan’ di dunia saat ini.”

Sri Paus lalu mengatakan, “Memberi harapan di zaman kita bererti membangun jambatan antara budaya, dan itulah sukacita dan kehormatan yang dapat saya lakukan di kerajaan Marocco, dengan bertemu rakyat dan pemimpin politiknya.”

Sri Paus mengatakan bahawa beliau dan Raja Mohammed “menegaskan kembali peranan penting yang dimiliki agama dalam membela martabat manusia, dengan meningkatkan perdamaian dan keadilan, serta dengan merawat alam, rumah kita bersama.”

Tema lain yang sangat penting, kata Sri Paus, adalah persoalan migrasi. Bapa Suci melihat komitmen Gereja di Marocco terhadap kaum migran sehingga ramai migran dan pelarian memberi kesaksian bahawa “kehidupan kami, orang-orang migran, berubah dan kembali menjadi manusia kerana menemui komuniti yang menerima kami.”

Masih tentang tema migrasi, Bapa Suci meminta agar diperhatikan Perjanjian Global untuk Migrasi yang Aman, Tertib dan Teratur” yang telah dimaterai di Marrakech, Marocco, Disember lalu.

Mewakili Takhta Suci, Sri Paus mengatakan, “kami telah memberikan sumbangan yang merangkumi empat kata kerja: menyambut kaum migran, melindungi kaum migran, memajukan kaum migran, dan mengintegrasikan kaum migran. Ini bukan mengenai pemberian derma sebaliknya membuat jalan bersama melalui empat aksi ini, membangun kota-kota dan negaranegara yang, sambil menjaga identiti budaya dan agama masing-masing, terbuka terhadap perbezaan dan tahu cara menghargai mereka dalam tanda persaudaraan manusia.”

Dalam audiensi itu, tibatiba secara spontan Sri Paus mengatakan bahawa mungkin ada orang ingin tahu “mengapa saya menemui umat Muslim, bukan hanya umat Katolik? Mengapa di sana ada begitu banyak agama?”

Bapa Suci menjelaskan, “dengan umat Islam, kita adalah keturunan daripada bapa yang sama, Abraham.”

“Tuhan mengizinkan banyak agama kerana kehendak permisif-Nya; Dia ingin membenarkan kenyataan ini: “ada begitu banyak agama, beberapa agama lahir dari budaya, tetapi mereka selalu melihat ke langit, melihat Tuhan,” kata Sri Paus.

Pada akhir audiensi, Sri Paus mengingatkan bahawa 3 April dirayakan sebagai Hari Olahraga Sedunia PBB untuk Perdamaian dan Pembangunan VI. Olahraga, tegas Sri Paus, “adalah bahasa universal yang merangkul semua orang dan membantu mengatasi konflik serta menyatukan orang.” — VIS

Total Comments:0

Name
Email
Comments