Mencari ‘palungan Yesus’ kalangan kanak-kanak pelarian

Krismas 2017. Setiap tahun, majalah Time mengiktiraf seseorang yang digelar sebagai “Tokoh Tahunan".

Jan 05, 2018

Krismas 2017. Setiap tahun, majalah Time mengiktiraf seseorang yang digelar sebagai “Tokoh Tahunan". Pengiktirafan itu tidak semestinya sebuah penghormatan, anugerah itu diberikan kepada seseorang yang dinilai oleh majalah tersebut sebagai kerap atau menjadi tumpuan media sepanjang tahun — dari sisi baik atau tidak baik.

Pada tahun ini, selain memilih seorang individu untuk diiktiraf sebagai tumpuan media sepanjang tahun, ia mengiktiraf kategori seseorang, dinamakan “Pemecah Kesunyian”, iaitu seorang wanita yang telah bersuara mengenai pengalaman pencabulan dan keganasan seksual.

Sebahagian dari cabaran Krismas ialah untuk mengenal di mana Kristus dilahirkan dalam dunia pada hari ini, di mana dua ribu tahun selepas kelahiran Yesus, kita sekali lagi, boleh melawat kandang di Betlehem, melihat seorang anak yang baru lahir dan kuasa keilahian yang amat suci itu boleh menggerakkan serta menyentuh hati kita meskipun Dia seorang Bayi yang lemah.

Bagi Krismas pada tahun lalu, saya mencadangkan kita menghormati seorang anak yang menjadi pelarian sebagai “Anak Kristus Tahun 2017”.

Anak-anak pelarian itu umpama palungan sebenar di Betlehem, di mana anak-anak pelarian ini adalah gambaran tepat palungan sejati di Betlehem pada hari ini, kerana keadaan mereka sama seperti Yesus dua ribu tahun lalu, tidak ada penginapan atau bilik untuk-Nya.

Kelahiran Yesus, sama seperti kematian-Nya, disimpulkan dalam satu paradoks: Dia datang sebagai jawapan Tuhan akan keinginan terdalam kita, sangat-sangat dirindui dan diingini, tetapi pada masa kelahiran dan kematian-Nya, Dia adalah orang asing. Hakikatnya ialah Yesus lahir di luar kota dan Dia juga wafat di luar kota. Ini bukannya kesilapan atau kebetulan.

Dia tidak dilahirkan sebagai Anak yang ‘diingini’ dan Dia juga bukan Anak yang diterima. Syukurlah, Bonda-Nya, Maria, dan mereka yang beriman sejati benar-benar menerima- Nya, tetapi bukan dunia ini, apatah lagi dengan cara ‘kedatangan- Nya’ ke dunia yang memilih untuk lahir sebagai Bayi yang lemah.

Jika Yesus menjadi seorang bintang terkenal, berkuasa, tokoh yang berpengaruh, lutut manusia mungkin secara automatik berlutut di hadapan- Nya, tetapi inilah gambaran penyelamat oleh imaginasi manusia, di mana jika Dia bintang popular atau tokoh terkenal, semua penginapan akan membuka pintu kepada- Nya, bukan sahaja pada hari kelahiran- Nya malah sepanjang hidup- Nya.

Tetapi Kristus bukanlah Mesiah seperti yang kita jangka. Dia datang sebagai seorang bayi, lemah, tidak dikenali, tidak diketahui tanpa status, tidak diingini, tidak dimahukan. Thomas Merton, seorang penulis terkenal menjelaskan kelahiran Yesus seperti ini: Dia datang ke dunia ini, iaitu penginapan yang gelap, di mana tidak ada kamar untuk-Nya sama sekali, Kristus datang tanpa dijemput.

Namun hanya kerana Dia tidak ada tempat di dunia ini, meskipun Dia tidak diterima di dunia ini, Dia harus berada di dunia ini, tempat- Nya ialah dengan mereka yang tidak diterima, dengan mereka yang tidak berumah.

Tidak ada bilik untuk-Nya di rumah-rumah penginapan! Para sarjana Kitab Suci memberitahu kita dan menggambarkan betapa kejamnya tuan punya rumah penginapan yang menolak Maria dan Yosef pada malam Krismas. Namun sebenarnya, Injil bukan menekankan mengenai sikap tuan punya rumah penginapan di Betlehem yang kejam, tidak prihatin dan pasangan pelarian, Yosef dan Maria yang miskin, orang asing, tidak dilayan dengan adil.

Perkataan “tidak ada bilik dalam rumah penginapan” di sini membawa makna yang lebih besar, di mana Thomas Merton menjelaskan seperti berikut: Hakikatnya, tidak pernah ada bilik atau ruang di dalam dunia kita ini untuk Kristus sebenar, tidak ada tempat atau ruang di dalam hati kita bagi seseorang yang di luar jangkaan dan keinginan kita.

Kristus sebenar mengejutkan dan bukan seperti yang kita jangka, kita hampa dan kecewa kerana Dia bukan seperti yang kita sangka selama ini, Dia datang tanpa dijemput, tetapi Dia benar-benar ada dan hadir di tengahtengah kita tetapi kita meletakkan- Nya di luar kehidupan kita, Dia tidak ada dalam imaginasi dan Dia umpama hadiah yang hanya terletak di luar rumah kita. Kristus yang sebenar adalah selama-lamanya mencari rumah untuk didiami di dunia tetapi tidak ada bilik untuk-Nya.

Jadi, siapa yang paling layak untuk dinobatkan sebagai “Anak Kristus” tahun 2017? Pada pendapat saya, “Jutaan kanak-kanak pelarian” paling layak untuk menerima anugerah Anak Kristus kerana realiti ini begitu jelas pada hari ini. Ratusan ribu kanak-kanak pelarian, bersama ibu bapa, malah ada yang seorang diri, terpaksa meninggalkan rumah kelahiran mereka akibat peperangan, keganasan, kelaparan, penghapusan etnik, kemiskinan, tribalisme, rasisme dan penganiayaan agama. Mereka dan

Keluarga mereka, paling sesuai menjadi gambaran Yosef dan Maria, yang mencari sebuah bilik, mereka orang asing, tidak dialu-alukan, tidak berumah, tidak ada orang yang menawarkan perlindungan untuk mereka, mereka orang terpinggir, pendatang dan dilabel sebagai "makhluk asing".. Tetapi, merekalah Keluarga Kudus pada hari ini dan anak-anak mereka merupakan Anak Kristus bagi kita dan dunia kita.

Di mana palungan Betlehem pada hari ini? Di mana kita dapat mencari anak Yesus untuk menyembah-Nya? Kita boleh melihat palingan itu di kebanyakan tempat, di setiap bilik bersalin, tetapi kebanyakan mereka berada di kem-kem pelarian, di bot dan perahu, cuba merentasi lautan Mediteranean, palungan itu ialah para migran yang cuba bertahan dari kelaparan, dahaga dan situasi cemas; palungan itu berada di kalangan orang-orang yang menunggu untuk diproses, berharap agar dapat diterima di suatu tempat, palungan itu berada di kalangan orang yang tiba di beberapa sempadan selepas menempuh perjalanan yang panjang tetapi mereka diusir kembali, palungan itu berada di pusat-pusat tahanan, di kalangan ibu-ibu yang memegang anak-anak mereka dan berharap, dan palungan itu jelas tergambar pada wajah kanak-kanak pelarian yang tak terhitung jumlahnya.

Wajah Tuhan pada hari Krismas begitu jelas dilihat pada wajah kanak-kanak yang tidak terdaya berbanding kuasa duniawi pada masa ini. Maka, pada hari ini, jika kita mahu, seperti gembala dan tiga orang bijak, dalam mencari palungan di Betlehem kita perlu mencari di tempat- tempat yang penuh penderitaan, di mana kanak-kanak tidak terdaya, kelaparan, miskin ... berada.--Hakcipta Terpelihara @ Fr Ron Rolheiser 1999-2018

Total Comments:0

Name
Email
Comments