Mencintai Ekaristi mengubati kepahitan hati

Syabas kepada Ruangan Katekesis bersama Father Nicholas Stephen yang terus bersiaran secara langsung melalui media sosial Facebook Cahaya Kinabalu dan Youtube.

Aug 08, 2020

RANAU: Syabas kepada  Ruangan Katekesis bersama Father Nicholas Stephen yang terus bersiaran secara langsung melalui media sosial Facebook Cahaya Kinabalu dan Youtube.

Rancangan yang mempunyai tiga segmen itu merupakan salah satu usaha Komisi  dan Komiti Kateketikal di Sabah untuk menjangkau para pelajar Pertemuan Minggu Gembira (PMG) dan para Katekumen (IKD) dan pelajar lain yang duduk di rumah memperdalamkan pengetahuan agama mereka.

Ruangan bersama Fr Nicholas diadakan tiga kali seminggu bermula jam 7.00 malam pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat dan mempunyai tiga segmen iaitu Ruangan Hati ke Hati Seorang Gembala, Ruangan Keluarga dan Ruangan Bersama Kanak-kanak. Pada awal bulan Ogos 2020, Ruangan Dari Hati ke Hati Seorang Gembala telah mencapai Siri ke-20. Dalam segmennya yang disiarkan secara langsung di Youtube dan Facebook: Cahaya Kinabalu, pada 28 Julai, Siri ke-19, Fr Nicholas mengucap syukur kepada Tuhan kerana sentiasa memberinya kekuatan bagi meneruskan siaran langsung itu.

Menjawab soalan, yang ada kaitannya dengan "norma baharu" di mana ada umat yang menyatakan perasaan takut atau agak janggal kembali merayakan Misa di  Gereja selepas tiga bulan ditutup demi memutuskan penularan coronavirus. Menurut Fr Nick, perasaan bimbang, takut atau tidak selesa adalah perasaan yang normal. Tidak perlu rasa terkejut, katanya.

Beliau mengatakan umat perlu menerima norma baharu ini dengan perlahan-lahan dan hati terbuka. SOP yang dikenakan adalah untuk keselamatan semua orang, khususnya umat dan paderi. Dalam krisis pandemik ini, jangan mementingkan diri  kerana semua orang terjejas dan peraturan yang dikenakan oleh Kerajaan serta gereja adalah demi keselamatan untuk semua orang.

Beliau juga mengingatkan bahawa umat Katolik adalah Bait Gereja yang hidup. Jadi jika ada orang yang mengatakan Gereja tidak ada hala tuju atau membuang masa, bermakna ia merujuk kepada umat itu sendiri. Gereja bukanlah bangunan sebaliknya umat.

Mengenai sikap dalam pelayanan, Fr Nick menyeru umat agar meneladani Bonda Maria. Paderi itu menegur sikap sesetengah umat yang mengambil kesempatan melayani kerana mahu “melarikan diri” sebagai contoh seorang pelajar menggelak dari tanggungjawab mengulang kaji lalu menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti Gereja.

“Jangan lakukan pelayanan sebagai pekerjaan sebaliknya sebagai kebaktian yang merendahkan diri. Kita melayani kerana Tuhan dan sesama. Kita melayani kerana Dia amat mencintai kita dan mahu semua orang mengetahui Khabar  GembiraNya.  Melayani Tuhan bermakna, kita juga memberikan diri kita dibimbing oleh Tuhan dan seperti Yesus yang mengutamakan orang yang miskin dan memerlukan.”

Fr Nick juga menjawab pertanyaan mengenai pemakaian pelitup muka di kalangan paderi dan pewarta. Fr Nick menjelaskan bahawa peraturan SOP dari Keuskupan Agung mewajibkan paderi dan pewarta mememakai pelitup muka, kecuali pada bahagian Liturgi tertentu.

Pewarta tidak perlu memakai pelitup muka semasa membaca Kitab Suci tetapi perlu memakai pelitup muka semula selepas membaca. Lagipun jarak di antara ambo dan umat adalah jauh.

Begitu juga dengan paderi bahawa mere ka tidak perlu memakai pelitup muka ketika membacakan Injil, menyampaikan homili serta ketika makan roti dan minum anggur dalam Liturgi Ekaristi.

Dalam segmen ke-19 ini juga, disiarkan video nyanyian belia yang diketuai oleh Sr Tauria, “Make me a channel of Your peace”. Video itu turut menampilkan Rey Kimara, bekas juara Bintang RTM 2007 dan kini merupakan seorang penyampai radio Vokfm. Sebagai seorang yang mengenali Rey secara peribadi iaitu sejak Fr Nick bertugas di Paroki Tuaran, beliau mengatakan Rey memberikan contoh yang baik dalam mewartakan Khabar Gembira Tuhan melalui populariti dan bakatnya, sejak beliau masih belum dikenali, sehinggalah sekarang.

Melalui Slaid, Fr Nick juga memaparkan kepentingan dan kekuasaan Ekaristi menurut pandangan beberapa orang Sri Paus dan orang kudus.

Antaranya, Santo Sri Paus Yohanes Paulus II, seorang influencer dan inspirasi ber juta belia untuk kembali ke Gereja. Santo itu sangat mementingkan Ekaristi kerana baginya, Yesus benar-benar hadir dalam Ekaristi dan kesegaran serta kekuatan yang mengalir dari Ekaristi dapat meneguhkan jiwa umat dari tipu daya kuasa kejahatan.

Menurut, kesaksian Fr Nick, semasa mula bertugas di Ranau, dia mempromosikan Saat Teduh kerana sedar, umat mempunyai pelbagai kesukaran dan beban.

Dengan Saat Teduh, mereka dapat hening, berbicara dengan Tuhan dan mendapat penghiburan serta penyembuhan. Mukjizat dari Saat Teduh ini, Fr Nick melihat semakin ramai umat dan kanak-kanak mencintai Ekaristi dan kedatangan ke Gereja juga semakin bertambah.

Dalam salah satu slaidnya juga, Fr Nick memperkenalkan seorang muda yang bakal menjadi Santo iaitu Carlo Acutis. Fr Nick mendapat inspirasi oleh calon Santo ini kerana Carlo merupakan pewarta Khabar Gembira dan Ekaristi yang sangat aktif  melalui Internet.

Total Comments:0

Name
Email
Comments