Mengabaikan orang miskin bermakna membenci Tuhan

Jika kita tidak berbelas kasihan kepada orang lain, maka janganlah berharap untuk mendapatkan belas kasihan daripada Tuhan, tegas Paus Fransiskus semasa audiensi dengan umat awam pada 18 Mei lalu.

May 27, 2016

KOTA VATIKAN: Jika kita tidak berbelas kasihan kepada orang lain, maka janganlah berharap untuk mendapatkan belas kasihan daripada Tuhan, tegas Paus Fransiskus semasa audiensi dengan umat awam pada 18 Mei lalu.

“Ketika di dunia, memang mudah untuk memejamkan mata melihat penderitaan orang lain atau mengabaikan tangisan mereka yang memerlukan bantuan anda. Tetapi, selepas kita beralih ke dunia yang kekal, keadaan ini pasti berbeza.”

“Mengabaikan orang miskin, samalah membenci Tuhan. Kita harus ingat hal ini baik-baik! Mengabaikan Tuhan adalah membenci Tuhan,” ujar Sri Paus kepada puluhan ribu penziarah yang berhimpun di Dataran Sto Petrus. Bapa Suci meneruskan katekesis bertema belas kasihannya dengan merujuk kepada pembacaan Injil pada hari tersebut, Orang Kaya dan Lazarus.

Semasa hidup, Lazarus yang miskin sering meminta sisa-sisa makanan daripada si Kaya tetapi si Kaya sering tidak mengendahkannya. Akhirnya kedua-dua lelaki itu mati tetapi Lazarus diangkat oleh malaikat-malaikat dan dibawa ke syurga serta dihiburkan di situ. Manakala, si kaya yang telah mengabaikan Lazarus, terus-terusan diseksa oleh api dan kehausan yang tidak dapat dipuaskan.

Menurut Sri Paus, Lazarus mewakili tangisan terpendam orang miskin di seluruh dunia, di mana penderitaan mereka tidak dapat didengar kerana ditenggelami oleh timbunan harta dsi kaya. Tetapi, pada suatu hari nanti, semua orang, tidak kira miskin atau kaya, akan mati juga.

Fransiskus menjelaskan bahawa selepas kedua-dua orang kaya dan miskin itu mati, si Kaya meminta bantuan Abraham kerana dia juga adalah umat Tuhan. Tetapi pada masa hidupnya, dia tidak menunjukkan belas kasihan kepada Tuhan dan kekayaan adalah tuhannya.

Bapa Suci juga menjelaskan bahawa di dalam perumpamaan itu, si Kaya tidak mempunyai nama, hanya dirujuk sebagai orang kaya, manakala Lazarus, si miskin, namanya telah disebut sebanyak lima kali.

Lazarus merupakan peringatan kepada yang masih hidup agar mengingati Tuhan, tetapi si orang kaya tidak mengalu-alukan dia, tidak menggunakan peluang itu untuk melayani Tuhan dan menutup pintu rumahnya kepada Lazarus. “Orang kaya itu dihukum bukan kerana kekayaannya tetapi kerana mengabaikan suara hatinya untuk berbelas kasihan dan membantu Lazarus.”

Paus Fransiskus juga menceritakan betapa azabnya lelaki kaya itu diseksa oleh api yang tak pernah padam, dan apabila melihat Lazarus sedang dihibur oleh Abraham, orang kaya itu segera meminta Abraham agar menghantar Lazarus untuk mencelup jarinya di dalam air bagi menyejukkan lidahnya kerana si kaya sangat menderita dengan kepanasan api.

Namun, Lazarus tidak memenuhi permintaan lelaki kaya itu kerana semasa hidup, si kaya berpura-pura tidak melihat Lazarus yang menderita. Di sini, Bapa Suci menyeru kepada umat beriman, betapa kisah perumpamaan Lazarus dan Orang Kaya ini masih dan terus berlaku pada masa sekarang. Mereka yang berkelebihan berpura-pura tidak melihat orang yang miskin. "Bagi mereka, orang miskin tidak wujud."

“Belas kasihan kita kepada orang lain adalah sangat berkaitan dengan belas kasihan Tuhan. Sekiranya semangat belas kasihan ini diabaikan dalam sikap kita maka belas kasihan Tuhan juga tidak ada ruang di dalam hati kita yang tertutup.

Sri Paus juga menjelaskan bahawa orang kaya itu bertanya sekiranya dia dapat kembali ke dunia untuk memperingatkan rakan-rakan dan saudara-saudaranya, namun Abraham menjawab bahawa mereka di dunia, mempunyai Musa dan nabi-nabi untuk mengingatkan mereka.

Jelas Bapa Suci, “Jika kita mahu bertobat, jangan tunggu sehingga ada kejadian 'ajaib' sebaliknya buatlah keputusan untuk membuka hati kita kepada Sabda Tuhan yang memanggil kita untuk mencintai Tuhan dan sesama.” -- CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments