Mengapa Yesus perlu menderita?

Mengapa Yesus perlu menderita?

Mar 28, 2019

Soalan: Setiap kali mengikuti ibadat jalan salib, saya ikut merasakan penderitaan Yesus yang luar biasa. Tetapi, mengapa semua penderitaan itu diperlukan untuk menebus dosa kita? Apakah Tuhan sedemikian kejam membiarkan Anak-Nya menderita? — Sally

Jawaban: Pertama, perbuatan dosa Adam dan semua umat manusia adalah penghinaan terhadap Tuhan. Dosa Adam tidak mengakui Tuhan dan tidak menghormati Tuhan sehingga manusia terpisah dari pada Tuhan.

Selain itu, dengan berbuat dosa, manusia terperosok ke dalam kuasa dan penindasan setan, sehingga kehilangan martabat sebagai anak Tuhan dan menanggung hukuman kekal. Inilah hutang dosa manusia.

Menebus bererti mengenakan kerugian yang disebabkan oleh penghinaan dan memulihkan hubungan dengan Tuhan (atonement), atau “membeli kembali” dengan melakukan pembayaran, sehingga menghapus hukuman kekal dan memulihkan martabat sebagai anak Tuhan (redemption).

Kedua, kerana belas kasihan Tuhan, boleh sahaja Tuhan menempuh jalan pembebasan hutang tanpa tebusan, atau menerima kita kembali ke dalam persekutuan- Nya begitu sahaja. Tetapi kebijaksanaan Tuhan menuntut bahawa kebebasan manusia dan prinsip keadilan harus dijunjung tinggi.

Prinsip keadilan mengatakan, kerana manusia yang berdosa, maka manusia pulalah yang harus membayar hutang dosa itu.

Jika Tuhan membebaskan begitu sahaja pelanggaran itu, maka Tuhan akan merosak kebebasan manusia. Ini bererti, manusia yang telah mengenyam kenikmatan dosa dan melumuri seluruh diri dengan noda dosa, haruslah dimurnikan seluruh dirinya dari kenikmatan yang salah itu sekaligus dibersihkan seluruh dirinya dari lumuran dosa. Tindakan yang memadai untuk tujuan ini ialah penderitaan sukarela. Kenikmatan dosa yang sudah merasuki diri manusia hanya dapat dicabut bersih tuntas oleh penderitaan sukarela.

Di sinilah kita mengerti mengapa penderitaan hebat daripada Putera Tuhan di salib diperlukan dan menjadi penebusan bagi Adam dan semua manusia. Penderitaan sukarela ini juga yang membebaskan Adam dan semua manusia sesudahnya dari perhambaan syaitan.

Jadi, bukan Tuhan yang menghendaki dan “menyukai” penderitaan manusia, tetapi kedosaan manusia itu sendiri yang menuntut ada penderitaan untuk mengenakan hutang dosa. Kerana itu, kita tidak boleh mengatakan bahawa Tuhan menikmati penderitaan Yesus di salib. Tuhan bukanlah masochist.

Ketiga, mengapa harus Sang Sabda yang menjadi manusia, yang membayar hutang? St Tomas dan banyak teolog lain mengajar bahawa dengan melakukan dosa, manusia telah melukai, menghina Tuhan yang tidak terbatas.

Ukuran penghinaan itu ditentukan oleh martabat peribadi yang dihina. Kerana sasaran dosa manusia adalah Tuhan yang tidak terbatas, maka hutang dosa itu juga menjadi tidak terbatas. Pelunasan hutang yang tidak terbatas ini hanya mungkin dilakukan peribadi yang tidak terbatas. Namun demikian, kerana yang melakukan dosa adalah manusia, prinsip keadilan menyatakan bahawa manusialah yang harus membayar hutang dosa itu.

Jadi, hutang dosa manusia hanya mungkin dilunaskan oleh seorang peribadi yang adalah Tuhan. Sebagai manusia, Dia akan bertindak mewakili seluruh umat manusia untuk melunasi hutang dosa, dan sebagai Tuhan, Dia dapat melakukan pelunasan hutang tidak terbatas itu. Inilah alasan mengapa harus Yesus Kristus yang melunasi hutang dosa kita.

Pelunasan hutang dosa oleh Yesus ini menunjukkan bahawa “Tuhan adalah kasih. Dalam hal inilah kasih Tuhan dinyatakan di tengah-tengah kita, iaitu bahawa Tuhan telah mengutus AnakNya yang tunggal ke dalam dunia, supaya kita hidup oleh- Nya.” (1 Yoh 4:8-9). “Tuhan yang kaya dengan rahmat, oleh kerana kasih-Nya yang besar, yang telah dilimpahkan kepada kita, telah menghidupkan kita bersama-sama dengan Kristus, …” (Ef 2:4-5). — Father Dr Petrus Maria Handoko CM, hidupkatolik. com

Total Comments:0

Name
Email
Comments