Menjadi ‘mikrofon’ Tuhan

Sempena Hari Komunikasi Sosial Sedunia ke-54, beberapa orang jurnalis Katolik memberikan perkongsian mereka bagaimana mereka berjuang menjadi 'mikrofon' Tuhan yang menjadi suara bagi kaum miskin dan lemah serta menggunakan suara kebenaran Tuhan dalam dunia sekular.

May 23, 2020

Sempena Hari Komunikasi Sosial Sedunia ke-54, beberapa orang jurnalis Katolik memberikan perkongsian mereka bagaimana mereka berjuang menjadi 'mikrofon' Tuhan yang menjadi suara bagi kaum miskin dan lemah serta menggunakan suara kebenaran Tuhan dalam dunia sekular.

Menjadi mikrofon Tuhan dalam dunia berita sekular
Salam damai dalam kasih Kristus. Sebagai wartawan Katolik yang juga bertugas dalam syarikat sekular, ‘worldview’ saya berbanding rakan-rakan journalis yang lain sudah tentu agak berbeza.

Ini kerana saya memandang setiap insiden dari biji mata seorang Katolik. Ia sudah tentu mempengaruhi laporan atau artikel yang saya buat.

Memang sebagai wartawan kita dipinta agar jangan bias dalam laporan kita, tapi saya percaya setiap laporan akan menyelitkan sedikit nada prejudis identiti si penulis.

Sebagai seorang Kristian kita percaya bahawa nilai-nilai Injil adalah landasan hidup yang paling ideal untuk kesejahteraan se jagat. Justeru di sinilah ruang bagi saya untuk menjadi ‘mikrofon Tuhan’ dan cuba untuk membuka hati dan minda si pembaca terhadap kebenaran dan kasih Tuhan jika keadaan mengizinkan. Selain itu, saya juga terlibat dalam Komiti SOCCOM di St Peter Claver Ranau, di mana kami giat melaporkan aktiviti-aktiviti kerohanian yang berlaku di paroki ini melalui pelbagai saluran media massa.

Selamat menyambut Hari Minggu Komunikasi Sedunia tahun 2020, semoga Tuhan memberkati. --Clarence GD, Daily Express

Menjadi mikrofon Tuhan dengan memperjuangkan bahasa ibunda
Saya seorang yang sangat mencintai bahasa ibunda iaitu bahasa Dusun. Sejak kecil ibu bapa berkomunikasi dengan saya dan adik beradik dalam bahasa ibunda. Maka saya teruskan tradisi bercakap dalam bahasa Dusun ini kepada anak-anak saya.

Di rumah dan di tempat awam, saya tidak segan bercakap bahasa Dusun. Ramai yang memberi reaksi positif dan negatif apabila mendengar saya menggunakan bahasa ibunda dengan anak-anak.

Bagi yang positif, mereka menggalakkan saya agar terus berbangga dengan bahasa ibunda manakala bagi yang negatif, mereka mengatakan anak-anak saya kelak sukar bergaul atau mendapatkan kawan di sekolah.

Saya sendiri sudah membuktikan meskipun saya berbahasa Dusun sejak kecil, saya tidak ada masalah pergaulan atau pelajaran! Begitu juga dengan anak-anak saya.

Lihatlah para misionari dan paderi berbangsa asing datang menyebarkan Khabar Gembira di  Sabah, mereka begitu fasih berbahasa Kadazan Dusun, malah mereka jugalah yang selalu menasihati orang-orang Kadazan Dusun untuk mempertahankan bahasa   ibunda.

Malah, ramai orang asing yang datang ke Sabah dan belajar bahasa tempatan kerana mereka tertarik dengan kelembutan dan kekayaan bahasa ibunda kita.

Menjadi 'mikrofon' untuk mempromosi dan memperjuangkan bahasa ibunda tidak mudah, namun jika bukan kita, bahasa ibunda ini pasti akan pupus. --Jennifer Tining, St Hilary, Timbang, K.B

Menjadi mikrofon suara Tuhan yang adil dan berkuasa
Pada mulanya, tidak terlintas di fikiran saya untuk bekerja dalam bidang pelayanan komunikasi. Bidang ini bukanlah kepakaran saya dan saya tidak ada pengalaman menulis berita, apatah lagi pengalaman membuat liputan acara dan membuat laporan tentangnya.

Saya memikirkan (atau takut) bagaimana menulis, mengambil gambar dan perkara-perkara teknikal. Namun setelah beberapa tahun, saya menyedari bahawa apa yang saya perlukan ialah mendengar dengan tekun agar saya dapat menyalurkan maklumat dengan betul.

Sama ada dalam Misa pentahbisan, majlis kesyukuran, ulang tahun, majlis Krismas untuk warga emas, isu-isu migran, pertemuan isu-isu alam sekitar, seminar kateketikal atau acara kecil agama, Tuhan sentiasa bercakap di mana-mana, melalui manusia dan kisah-kisah mereka.

Dan sempena Hari Komunikasi Sosial Sedunia yang bertema, Hidup ini adalah   pada penghujung hari, melalui kisah dari acara dan orang-orang yang saya temui,  saya yakin, dengan rahmat-Nya, saya telah memperoleh pesan-Nya, untuk dikongsikan dengan semua orang. --Linda Edward, Catholic Sabah

Menjadi mikrofon cerita cinta Tuhan kepada manusia
Saya seorang yang suka berkongsi cerita terutama pengalaman hidup.

Bagi saya, dengan berkongsi pengalaman kepada orang lain,  saya bukan saja membawa diri saya untuk melihat dan merenung perjalanan hidup saya sendiri tetapi juga membantu orang lain dalam perjalanan ini. Saya melibatkan diri sebagai Pembimbing Pelajar Sekolah Minggu selama hampir 15 tahun. Saya berusaha menjadi ‘mikrofon’ Tuhan dengan cara mengongsikan cintakasih Tuhan kepada mereka.

Melayani sebagai pembimbing memberikan saya semangat dan kegembiraan yg sukar diungkapkan.

Hari Ahad adalah hari yang sentiasa saya nantikan untuk bersama-sama dengan pelajar saya. Walaupun dalam situasi yg sukar sekarang ini, namun saya berusaha untuk melakukan sesuatu supaya pembelajaran pelajar PMG tetap diteruskan.--Christina David, Catholic Sabah

Total Comments:0

Name
Email
Comments