Menyelami Bonda Maria sebagai Bonda Berbelas Kasihan

Rekoleksi ini dihadiri seramai 50 orang ahli Legionaries, pada 14 Ogos lalu.

Sep 02, 2016

TAWAU : Sempena dengan Tahun Jubli Belas Kasihan dan Pesta Kenaikan Bonda Maria ke Syurga, Kuria Legionaries Bahasa Malaysia Paroki Holy Trinity telah mengadakan rekoleksi singkat yang bertemak “Tahun Kerahiman dan Bonda Maria Bonda Kerahiman.”

Rekoleksi ini dihadiri seramai 50 orang ahli Legionaries, pada 14 Ogos lalu. Ia dimulakan dengan doa dan perkongsian para Legionaries tentang pengalaman dan kesaksian mereka terhadap Bonda Maria.

Salah seorang yang memberikan perkongsian, Sdri Hermin, mengungkapkan rasa syukurnya kepada Bonda Maria.

Pada mulanya beliau berasa tidak layak dan tidak mampu memegang tanggungjawab sebagai presiden tetapi sehingga hari ini dia masih bertahan. Dia percaya ketabahan itu datangnya daripada berkat dan penyertaan Bonda Maria dalam hidupnya. Katanya lagi, dengan berbakti dan mendekati Bonda Maria kita tidak akan pernah dikecewakan.

Selepas itu, Sr Liza Augustine FSIC menyampaikan ceramah berkaitan tema rekoleksi tersebut. Beliau yang juga Pembimbing Rohani kepada Legionaries Kuria Bahasa Malaysia menyatakan bahawa Paus Fransiskus mengadakan Tahun Luar Biasa Belas Kasihan kerana keadaan dunia sekarang yang semakin melupakan Tuhan, acuh tak acuh, mempunyai idea bahawa kebahagiaan hanya boleh diperolehi melalui wang. Selain itu, manusia juga cenderung mengutamakan hal duniawi daripada mempertahankan ajaran Kristus yang melindungi dan menghargai kehidupan.

Turut ditekankan dalam ceramah ini adalah maksud moto Jubli Tahun Belas Kasihan iaitu, “Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu yang berbelas Kasihan” (Luk 6:36). Ini adalah jemputan untuk mencontohi Bapa yang selalu berbelas kasihan, meminta kita untuk tidak menghakimi sebaliknya mengalualukan dan mengasihi tanpa syarat.

Sempena Tahun Belas Kasihan ini juga, para Legionaries juga dicabar untuk meneladani Bonda Maria, Bonda Berbelas Kasihan.

Maria adalah ikon Gereja yang sangat tabah, mengampuni orang-orang yang membunuh Yesus malah setia berada di sisi Yesus sehinggalah Dia disalibkan.

Berpandukan teladan Bonda Maria, para Legionaries juga dipanggil untuk menyalurkan belas kasih dan pengampunan Tuhan yang berlimpah ruah kepada sesama, terutama kepada setiap anggota keluarga mereka. Seperti Bonda Maria yang suci dan tidak bernoda, para Legionaries juga dipanggil untuk hidup dalam kekudusan serta mengambil bahagian dalam pewartaan kerajaan Tuhan.--Sr Liza Augustine FSIC

Total Comments:0

Name
Email
Comments