Misa Kudus Hari Malaysia di Kuala Penyu

Seorang Paderi Katolik menggesa umat agar menunaikan tanggungjawab sosial mereka demi kesejahteraan bersama.

Sep 26, 2020

KUALA PENYU: Seorang Paderi Katolik menggesa umat agar menunaikan tanggungjawab sosial mereka demi kesejahteraan bersama.

Paderi Paroki Kuala Penyu itu berkata demikian semasa memimpin perayaan Ekaristi sempena Hari Malaysia. Cuaca buruk yang melanda Kuala Penyu sejak beberapa hari tidak menghalang umat datang ke gereja untuk mengikuti Misa Kudus sempena Hari Malaysia pada tahun ini.

Walaupun dalam norma baharu dan dalam kehangatan suasana kempen pilihanraya Negeri Sabah, umat tetap bersemangat meraikan peristiwa penting tersebut bersama Paderi Paroki, Father Clement Abel dan pembantunya, Father Claudius Andrew.

Misa Kudus sempena Hari Malaysia  tahun ini jatuh pada hari peringatan Hari Bonda Maria Berdukacita.

Seperti Bonda Maria berdukacita melihat anaknya Yesus wafat di kayu salib, gereja seluruh dunia juga menurut selebran itu masih berdukacita kerana pandemik Covid-19 masih belum dapat dikawal sepenuhnya malah menyebabkan umat Katolik belum bebas melakukan ibadat di Gereja.

Fr Clement dalam homilinya juga menyeru umat supaya tetap setia kepada kerajaan dan tetap melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang telah diamanahkan oleh kerajaan sama ada sebagai pekerja kerajaan, swasta, bekerja sendiri dan sebagainya. Sebagai seorang Katolik yang baik katanya, harus menunaikan tanggungjawab untuk kesejahteraan sesama.

Sempena pilihanraya DUN Sabah pada  26 Sept, Paderi itu mengingatkan umat Katolik untuk membuat pilihan yang tepat dan berdoa memohon bantuan Roh Kudus bagi membuat undian.

Pada masa sama juga, sebagai seorang Katolik harus sentiasa peka kepada keperluan gereja, sentiasa bersemangat dalam pelayanan dan rajin berdoa serta beramal kasih.

Fr Clement juga menyeru umat agar meneladani Bonda Maria yang tabah dan kuat dalam melaksanakan kehendak Tuhan.

Walaupun kehilangan anak kandungnya, tetapi Bonda Maria terus berandalkan Tuhan dan tidak pernah berputus asa.

Selesai Misa, Fr Clement dan Fr Claudius bersama semua umat menyanyikan lagu Kebangsaan Negaraku dan lagu negeri Sabah Tanahairku. — Marcus Angang  Sebelum

Total Comments:0

Name
Email
Comments