Misi membawa umat kembali ke jalan Yesus

Adalah konon seorang pemuda menemui seketul batu berlian yang mahal harganya. Setiap hari dia mengoreknya dari dalam tanah, tempat di mana dia menemukan berlian tersebut lalu melihatnya dengan penuh kemegahan berjam-jam lamanya, kemudian menguburkanya kembali.

Jan 12, 2019

HARI RAYA PEMBAPTISAN TUHAN (C)
YESAYA 40:1-5,9-11; TITUS 2:11-14, 3:4-7;
INJIL LUKAS 3:15-16,21-22

Adalah konon seorang pemuda menemui seketul batu berlian yang mahal harganya. Setiap hari dia mengoreknya dari dalam tanah, tempat di mana dia menemukan berlian tersebut lalu melihatnya dengan penuh kemegahan berjam-jam lamanya, kemudian menguburkanya kembali. Salah seorang temannya telah melihat apa yang dilakukannya setiap hari, lalu mencuri batu berlian tersebut. Sang pemuda tersebut tersangat sedih sehingga tidak mahu makan dan minum kerana berliannya telah dicuri orang. Lalu salah seorang sahabatnya yang baik hati menasihatinya, “Janganlah terlalu sedih, kuburkanlah seketul batu hitam sebesar berlianmu itu.

Tidak ada bezanya juga sebab walaupun engkau memperoleh berlianmu ini, engkau kuburkan juga sehingga sinarnya tidak dapat dinikmati oleh sesamamu.” Memang ada kebenarannya bahawa kita bagaikan berlian yang tertanam di dalam tanah, hitam dan tidak bercahaya disebabkan oleh dosa. Tetapi Kristus telah datang menyucikan kita melalui pengorbanan dan kematian-Nya di kayu salib. Atas sebab inilah, “…kita telah dikuburkan bersama-sama dengan Dia oleh baptisan dalam kematian supaya, sama seperti Kristus telah dibangkitkan dari antara orang mati oleh kemuliaan Bapa, demikian juga kita akan hidup dalam hidup yang baru” (Rm 6:14). Baptisan, iaitu Sakramen inisiasi, merupakan asas kehidupan kita sebagai pengikut Kristus. Maka oleh itu kita perlu berusaha untuk meningkatkan kehidupan iman kita terhadap Kristus, iaitu kehidupan iman yang semakin dewasa dari semasa ke semasa.

Bagaikan berlian yang terkubur di dalam tanah, kotor dan tidak bercahaya, seorang umat Kristian yang sudah dibaptis perlu sentiasa dibentuk ke arah kesempurnaan agar semakin bernilai di mata Tuhan dan sesamanya. Maka di dalam perjalanan iman kita setiap hari di dunia fana ini, kita sangat memerlukan empat keperluan asas berikut ini – Kristus, Gereja, pertaubatan dan belas kasih (= ikhsan). 1. Kristus Yesus adalah satu-satunya, “…yang akan menyelamatkan umat-Nya dari dosa mereka” (Mat 1:21). Sebab, “Keselamatan tidak ada di dalam siapapun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan” (Kis 4:12). Yesus merupakan dasar, permulaan dan pengakhiran kehidupan kita sebagai seorang Kristian. Dia membimbing kita kepada Tuhan serta telah mengaruniakan kita karuni Roh Kudus supaya kita mendapat bahagian daripada kebangkitan-Nya. Dan tentunya kita juga telah dikurniakan ibu-Nya sebagai ibu kita juga. Memang kita tidak sanggup meminta apa-apa lagi daripada-Nya namun kita disedarkan bahawa tanpa Dia, kita tidak boleh berbuat apa-apa (lih. Yoh 15:5). 2. Gereja. Melalui pembaptisan, kita bersatu dengan Tubuh Kristus, umat Tuhan dan kita mendapat bahagian di dalam kepaderian dan misi Kristus. Kita juga disegarkan oleh Gereja melalui Ekaristi dan sakramen-sakramen yang lain, melalui Sabda Tuhan serta bimbingan daripada para pengganti para rasul serta persatuan komuniti umat beriman. 3.

Pertaubatan. Kehidupan baru sesudah dibaptis, boleh menjadi lemah malah dicemari dengan dosa. Maka kita sentiasa dipanggil untuk bertaubat, mengubah sikap sebagaimana Kristus sentiasa memanggil kita untuk terus mengamalkan sikap bertaubat,

“Bertobatlah dan percayalah kepada Injil” (Mrk 1:15), berlian yang terdapat di dalam diri kita mungkin diselubungi oleh kekotoran lumpur dosa, tetapi pergerakan kita untuk kembali kepada Tuhan, menjadikan kita bersinar semula melalui kasih-Nya yang tidak berkesudahan itu. Maka mahu tidak mahu, Sakramen Pengakuan mengambil peranan yang sangat penting dalam hal ini. 4. Belas kasihan.

Di dalam Katekismus Gereja Katolik, belas kasihan ini dinyatakan sebagai: “Kebajikan Tuhan, dengannya kita mengasihi Tuhan di atas segalagalanya demi diri-Nya sendiri dan kerana kasih kepada Tuhan, kita mengasihi sesama seperti diri kita sendiri” (no.1822).

Ini bererti bahawa belas kasih merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya kerana ianya, “…menutupi segala sesuatu, percaya segala sesuatu, mengharapkan segala sesuatu, sabar menanggung segala sesuatu” (1Kor 13:7).

Di dalam Katekismus Gereja Katolik yang baru mengatakan bahawa orang yang dibaptis telah: “…dilahirkan kembali menjadi anakanak Tuhan, mereka wajib mengakui di muka orang-orang beriman, yang telah mereka terima daripada Tuhan melalui Gereja serta untuk mengambil bahagian dalam kegiatan apostolik dan misionari umat Tuhan” (no.1270).

Berdasarkan keterangan ini, saya teringat dengan seorang yang sudah berumur 75 tahun yang baru dibaptiskan. Setahun sesudah dibaptis, beliau terlantar sakit di rumah sakit. Apabila ditanya berapa umurnya, dia menjawab, “Saya masih bayi,” apabila ditanya mengapa demikian? Dia menjawab: “Saya baru berumur satu tahun.

Bagi saya hidup bermula sesudah saya dibaptis.” Apabila ditanya bagaimana dengan tahun-tahun sebelumnya, dia menjawab “Umur saya sebanyak 75 tahun itu tidak termasuk di dalam kiraan hidup saya. “Karunia pembaptisan yang kita terima adalah seperti berlian yang sangat mahal harganya.” Sebab seperti kata orang, berlian adalah untuk selamanya!

Maka pembaptisan kita juga merupakan suatu mercu tanda yang tidak boleh dihapuskan lagi dan bersifat kekal serta ianya merupakan kelahiran kembali bagi kita, sebab Yesus pernah berkata, “Jika seorang tidak dilahirkan dari air dan Roh, ia tidak dapat masuk ke dalam Kerajaan Tuhan” (Yoh 3:5). — santapan rohani, keningaudiocese.net

Total Comments:0

Name
Email
Comments