Padamkan kebisingan dunia ... dengarkanlah Dia

Padamkan kebisingan dunia ... dengarkanlah Dia

Mar 15, 2019

HARI MINGGU KEDUA
PRA-PASKAH (C)
KEJADIAN 15:5-12. 17-18
FILIPI 3:17 – 4:1
INJIL LUKAS 9:28b-36

Pra-Paskah merupakan suatu musim pusingan liturgi yang sangat istimewa. Sebab pada musim ini kita disedarkan untuk melakukan sesuatu yang lebih demi iman kita dengan cara yang lebih intensif dan boleh dilihat. Misalnya kita diajak untuk berpuasa, berdoa dan bertaubat. Kita diajak untuk memeriksa diri dan merubah tingkah laku kita yang negatif. Kita diajak bermeditasi dan kemudian beraksi sosial dengan memberi derma kepada sesama yang memerlukan.

Jika kita fikirkan dengan teliti segala kejadian dan aktiviti pada musim Pra-Paskah, kita akan menyedari bahawa kita sebenarnya dibimbing untuk mengamalkan prinsip mengurangkan segala sesuatu yang kita rasakan mesti ada dalam hidup kita setiap hari.

Pada masa yang sama pula, kita disedarkan bahawa sekurangkurangnya sekali setahun, iaitu sepanjang masa Pra-Paskah perkaraperkara yang kita anggap penting itu, boleh dikurangkan atau malah ditiadakan sama sekali. Ini bererti kita perlu mengurangkan makanan, mengurangkan keselesaan, mengurangkan merokok dan minuman keras, kurangkan menonton TV, kurangkan ini dan kurangkan itu… senarai untuk dikurangkan boleh berlarutan.

Idea sepenuhnya adalah mengurangkan sahaja. Bukan hanya demi mendisiplinkan diri, membuktikan bahawa kita boleh melakukannya atau melakukannya untuk mengurangkan berat badan dan saiz badan agar lebih berpotongan gitar atau saiz pakaian kembali ke L atau M.

Dan tentunya bukan kerana ini adalah arahan Gereja sehingga wajib dituruti. Saya berpendapat pasti ada sebab yang penting mengapa kita perlu mengurangkan segala sesuatu. Di sini pulalah letak perbezaan antara puasa masa Pra-Paskah dengan kegiatan berdiet (mengurangkan makanan untuk menguruskan badan).

Mengurangkan segala sesuatu ini dilakukan agar membolehkan hati kita terbuka bagi sesama, dan mudah-mudahan terbuka pula bagi Tuhan. Mungkin masa Pra-Paskah adalah masa yang paling sesuai untuk bersantai dan bertenang sambil menikmati perhubungan yang mesra dengan teman-teman.

Dengan kata lain pada masa inilah sebenarnya masa yang terbaik menumpukan lebih masa untuk sesama dengan cara “berjalan bersama sambil bercakap-cakap agar hubungan silaturahim semakin intim.”

Namun seperkara lagi yang lebih penting dalam masa Pra-Paskah ini adalah menyahut cabaran Injil tadi, iaitu kesanggupan untuk “mendengar”. Di dalam Injil tadi kita mendengar tentang peristiwa penampakan Kristus dalam kemuliaan-Nya bersama-sama dengan Musa dan Elia. Namun apa yang menarik di akhir penampakan tersebut adalah suara kedengaran dari syurga: “Inilah Putera kesayangan-Ku, dengarkanlah Dia.” Kemudian keadaan kembali tenang dan kelihatan hanya Yesus yang masih ada di sana. Ini bererti mengingatkan kita untuk melupakan segala sesuatu termasuk perkaraperkara yang remeh temeh buat seketika dan menumpukan segala perhatian hanya pada Yesus. Mendengarkan-Nya dengan telinga yang terbuka dan penuh perhatian. Buat seketika hendaknya kita melupakan segala kebimbangan kita untuk mendengar lebih teliti.

Selain mendengarkan Yesus, Injil mengajarkan kita juga untuk mendengar sesama dan menyedarkan kita betapa seringnya kita gagal mendengarkan dengan penuh perhatian.

Perkara ini terjadi kerana kita terlalu membiarkan rasa prasangka menghantui fikiran kita sehingga menjauhkan tumpuan kita terhadap sesama yang perlu didengarkan.

Memang kadang-kadang kita bercakap-cakap dengan sesama tetapi seringkali kita tidak sesungguhnya mendengarkan mereka sebab mendengar bukannya memberi nasihat (memang kita lebih suka memberi nasihat daripada diberi nasihat), tetapi membiarkan sesama kita memberitahu kita di mana dia, dan bukan di mana dia harus berada.

Apabila seseorang betul-betul mendengarkan kita, maka terciptalah sebuah jambatan dan jurang yang dalam dapat diseberangi. Ketelitian mendengar merupakan sesuatu yang sungguh hebat dan menarik. Tetapi sayangnya perkara ini sering kali dilupakan.

Nampaknya menjadi jelas bagi kita sekarang mengapa kita perlu mengurangkan segala sesuatu, mengapa kita perlu berpantang, berpuasa, bertaubat dan mendisiplinkan diri semasa PraPaskah ini adalah supaya kita dapat menenangkan hati, minda dan jasmani kita.

Dengan berbuat demikian, mudahmudahan hati kita tergerak untuk mendengarkan sesama kita dan mendengar suara Tuhan.

Kita semua mengalami bahawa apabila muzik berkumandang dengan kuat, apabila TV menayangkan tayangan-tayangan yang menarik, apabila telefon bimbit sentiasa berbunyi dengan pelbagai bunyi setiap minit dan di mana terdapat 1001 macam kebimbangan yang menghantui kita, dan jarum jam seakan-akan begitu ligat berputar, apabila kita digoda untuk membeli ini dan itu, makan ini dan minum itu, nampaknya terlalu banyak kebisingan di dalam hati kita.

Dan tentunya kebisingan yang pelbagai itu menyumbat pendengaran kita sehingga tidak dapat mendengar suara-suara hati sesama dan Tuhan.

Marilah pada ketika ini kita mengambil sikap yang tenang untuk mendengar-mendengarkan suara angin, burung-burung yang berkicau, suara-suara kerusi yang ditarik, suara nafas kita sendiri. Diamlah dan tenanglah semasa ibadat kita berjalan dan nikmatilah kehadiran dan suara Tuhan, sebab Tuhan pernah berkata: “Dengarkanlah Dia” (Luk 9:35) agar kita dapat meminta hikmat dan berkat daripada-Nya. — santapan rohani, keningaudiocese.net

Total Comments:0

Name
Email
Comments