Paderi harus sentiasa bersama Yesus

“Apakah konsep seorang Paderi di dalam Perjanjian baru? Dia haruslah sentiasa bersama Yesus dan memenuhi misinya di dunia,” tegas Uskup Agung Emeritus Murphy Pakiam semasa memimpin Misa Kudus Krisma di Katedral St John pada April 10 lalu.

Apr 17, 2014

KUALA LUMPUR: “Apakah konsep seorang Paderi di dalam Perjanjian baru? Dia haruslah sentiasa bersama Yesus dan memenuhi misinya di dunia,” tegas Uskup Agung Emeritus Murphy Pakiam semasa memimpin Misa Kudus Krisma di Katedral St John pada April 10 lalu.

Turut memimpin bersama Misa bersamanya ialah Uskup Agung Emeritus Anthony Soter Fernandez dan Uskup Agung Joseph Marino iaitu duta Vatikan ke Malaysia. Pakiam menyeru kepada para Paderi agar mencari dan menghayati erti kepaderian. Beliau menasihati para Paderi agar memenuhi dua peranan Yesus iaitu mengenal Yesus terlebih dahulu seta hidup mengikut Yesus iaitu melihat, mendengar dan bertumbuh dengan Kristus.

“Paderi juga mempunyai kelemahan dan dosa tetapi sekiranya kita setia melakukan adorasi dan pengakuan, kita dapat menjadi berbeza, lebih mencintai Yesus dan menjadi Paderi yang kudus.”

Prelatus itu juga berpesan bahawa perhubungan akrab dan ketaatan terhadap Kristus adalah mutlak serta harus berfikir seperti Hati Kudus Yesus yang berbelas kasihan. “Kita merupakan ‘barisan hadapan’ di Paroki masing-masing. Janganlah hanya mementingkan doktrin sehingga mengabaikan aktiviti jangkauan dan mendekati umat.

Berusahalah untuk beramah mesra, mengenal masalah umat dan membantu mereka yang susah, lemah serta terabai melalui KKD,” pesan Uskup Pakiam lagi. Minyak Krisma, Katekumen dan Orang Sakit dibawa oleh Fr Clarence Devadass, Fr George Harrison dan Fr Sebastian Koh SJ. Selepas Misa Kudus, para Paderi dan umat dijamu dalam majlis persaudaraan.

Total Comments:0

Name
Email
Comments