Paroki KSFX anjur Kursus Pelayan Sabda

Pelayan Sabda sesungguhnya merupakan satu keperluan dalam perjalanan Misa Kudus dan Ibadat Sabda. Pelayan Sabda merupakan pewarta kepada khabar gembira mengenai Yesus.

Jul 12, 2019

KENINGAU: Pelayan Sabda sesungguhnya merupakan satu keperluan dalam perjalanan Misa Kudus dan Ibadat Sabda. Pelayan Sabda merupakan pewarta kepada khabar gembira mengenai Yesus.

Pada 7 Jun lalu, Komiti Kerasulan Alkitab telah menganjurkan Kursus Asas menjadi Pelayan Sabda di Dewan Katedral St. Francis Xavier (KSFX).

Antara yang menyampaikan sesi ialah Sdra Fredoline Umis dari Pusat Pastoral Keuskupan Keningau dan Sr Patricia Limun FSIC, Pengerusi Liturgi Paroki KSFX.

Dalam kursus ini, peserta didedahkan dengan kemahiran dan teknik mewartakan firman dalam Misa Kudus dan Ibadat Sabda. Selain itu, peserta turut diberi peluang untuk mempraktikkan etika yang baik semasa melayani sebagai pelayan sabda.

Dalam sesinya, Sr. Patricia Limun menyampaikan pengetahuan mengenai perjalanan liturgi dalam Misa Kudus dan Ibadat Sabda.

Ini penting bagi pengetahuan para pelayan sabda demi kelancaran perayaan Misa Kudus ataupun Ibadat Sabda. Turut diselitkan juga penggunaan warna yang sesuai dalam Liturgi.

Manakala Sdra Fred mengendalikan sesi, “Pengenalan, Teologi Tahun Liturgi” dan “Spritulitas Lektor”.

Para peserta diberi penekanan bahawa mereka adalah pengaku iman (confessor). Oleh itu, agar dapat menjalankan tugas perutusannya, seorang pelayan sabda dituntut lebih dulu untuk mengakui Tuhan dan kebenaran Sabda- Nya dalam Kitab Suci.

Melalui suaranya, pelayan sabda hendaklah mampu menampilkan Roh Tuhan yang tersembunyi di balik kata-kata Kitab Suci yang penuh daya.

Pelayan Sabda juga hendaklah percaya bahawa dalam Liturgi Sabda Tuhan sungguh hadir melalui Sabda yang dibacakannya. Bahkan, mereka diundang untuk percaya akan kehadiran Tuhan sepanjang Perayaan Misa Kudus.

Dari kesedaran ini diharapkan pelayan Sabda mampu melaksanakan tugas pembacaan Sabda Tuhan sebagai sarana mengekspresikan imannya. — KOMSOS K’GAU

Total Comments:0

Name
Email
Comments