Paus dukacita Yesuit terbunuh di Syria

“Pembunuhan rakan saya, seorang Paderi Yesuit di Syria sangat mendukacitakan saya dan menyebabkan saya menngingati semua orang yang menderita serta diambang maut di Negara matir tersebut,” kata Paus Fransiskus setelah mendapat khabar bahawa Fr Frans ver der Lugt, telah terbunuh di Syria.

Apr 17, 2014

VATIKAN: “Pembunuhan rakan saya, seorang Paderi Yesuit di Syria sangat mendukacitakan saya dan menyebabkan saya menngingati semua orang yang menderita serta diambang maut di Negara matir tersebut,” kata Paus Fransiskus setelah mendapat khabar bahawa Fr Frans ver der Lugt, telah terbunuh di Syria.

“Fr Frans tiba di Syria kira-kira 50 tahun lalu dan sentiasa berusaha melayani semua orang dengan kelembutan serta cinta kasih. Maka dia juga sangat dikasihi oleh penganut Kristian dan Islam di sana,” kata Paus Fransiskus pada April 9 semasa audiensi mingguannya bersama umat beriman. Menurut Bapa Suci, Fr Frans menolak untuk meninggalkan Syria, sebaliknya tinggal di Hom bagi terus membantu orang miskin dan tidak berumah.

Pada April 7 lalu, Paderi itu dipukul oleh beberapa lelaki bersenjata tidak dikenali serta ditembak di kepalanya. “Dari dalam hati saya yang terdalam, saya memohon anda semua agar menyertai saya dalam doa demi keamanan di Syria. Kepada para pemimpin Syria dan komuniti antarabangsa, berhentilah menggunakan senjata! Hentikanlah keganasan! Jangan lagi ada peperangan! Jangan lagi ada pembunuhan!” laung Paus Fransiskus.

Fr Frans, seorang psikoterapis bekerja di Syria sejak tahun 1966 dan mendirikan rumah perlindungan dalam biaranya, untuk orang Islam dan Kristian yang tidak berumah akibat perang sejak Mac 2011.

Di dalam sebuah kenyataan media, Fr Adolfo Nicolas, superior general bagi Yesuit, menyatakan dukacitanya bahawa, “pembunuhan kejam terhadap seorang yang mendedikasikan hidupnya bagi golongan miskin serta memerlukan khususnya di Homs, dan seorang yang tidak mahu meninggalkan ‘rakan- rakan’ pada detik bahaya adalah amat menyedihkan.”

“Fr Frans sentiasa bercakap dan berjuang demi keamanan serta perdamaian. Dia membukakan pintu kepada mereka yang memerlukan bantuannya tanpa memandang agama atau bangsa. Dia selalu mengatakan, ‘Saya tidak melihat mereka itu beragama Kristian atau Islam melainkan mereka adalah manusia biasa. Saya hanyalah seorang Paderi dan pendatang di tempat ini tetapi saya tidak merasakan bahawa saya orang asing.” Para paderi Yesuit berdoa agar “pengorbanan Fr Frans dapat membawa hasil keamanan dan menghentikan penggunaan senjata serta kebencian.” — CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments