Pecahkan cermin narsisisme, fokus terhadap orang lain

Pada hari 4 Sept, Paus Fransiskus memberitahu para pemuda untuk menghindari kecenderungan masyarakat moden masa sekarang iaitu bersikap mengagumi diri, di mana prelatus itu menyebutnya sebagai “penyakit” kesombongan yang sia-sia.

Sep 09, 2017

KOTA VATIKAN: Pada hari 4 Sept, Paus Fransiskus memberitahu para pemuda untuk menghindari kecenderungan masyarakat moden masa sekarang iaitu bersikap mengagumi diri, di mana prelatus itu menyebutnya sebagai “penyakit” kesombongan yang sia-sia.

Bapa Suci mengatakan bahawa kaum muda seharusnya menumpukan usaha untuk membantu orang lain dan mengembangkan kemampuan yang sihat untuk tidak terlalu sensitif terhadap diri sendiri.

“Budaya di mana kita hidup pada masa sekarang, adalah sangat mementingkan diri sendiri (sentiasa) memandang diri sendiri, mempunyai dos yang sangat kuat terhadap narsisisme, selalu mengutamakan diri sendiri dan mengabaikan orang lain,” kata Sri Paus.

Oleh itu, narsisisme atau sikap mengagumi diri sendiri melahirkan kesedihan kerana anda hidup dalam dunia yang penuh kekhuatiran tentang bagaimana harus ‘menggayakan’ jiwa anda setiap hari agar kelihatan lebih baik daripada orang lain serta mahu menyerlahkan kecantikan anda atau mahu menjadi lebih cantik daripada orang lain.

Ini dipanggil “penyakit cermin” lalu menegaskan kepada kaum muda agar “memecahkan cermin itu; jangan melihat cermin itu kerana cermin itu menipu!”

Sebaliknya, “lihat ke luar, lihat orang lain. Dan jika pada suatu hari anda mahu melihat diri anda di cermin, saya akan memberi anda sebuah cermin: melihat pada cermin yang tidak mementingkan diri. Dengan melakukan ini, ia akan menyegarkan jiwa anda,” ujar Sangti Papa Fransisksus.

Tahu ketawa, tidak terlalu sensitif terhadap diri sendiri, menurut Sri Paus, memberikan kita kegembiraan dan menyelamatkan kita dari godaan narsisisme.

Sri Paus berkata demikian kepada ahli-ahli Komuniti Shalom Sepanyol semasa bertemu dengan kumpulan ini di Dewan Paul VI di Vatikan.

Komuniti ini merupakan sebuah pergerakan gereja yang diasaskan pada tahun 1982 dengan karisma yang menumpukan kepada kontemplasi, kesatuan dan penginjilan. Kumpulan tersebut sedang berziarah ke Roma pada 3-9 Sept untuk merayakan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-35.

Seperti biasa, semasa tiga orang belia daripada kumpulan itu membahagikan perkongsian mereka, Paus Fransiskus mendengar dengan tekun. Tiga orang belia tersebut bercakap tentang pengalaman mereka berhadapan dengan kesepian, dadah, pencarian mereka akan Tuhan dan proses pertaubatan mereka.

Juan, 26, dari Santiago, Chile, mengongsikan kisahnya bagaimana beliau hidup ketika belum mengenal Tuhan dan tanpa harapan sebagai seorang belia, namun setelah menerima Tuhan dalam kehidupannya, dia mulai memahami erti kehidupan melalui doa, penginjilan dan kasih sayang daripada komuniti. Juan juga sempat bertanya kepada Sri Paus bagaimana belia dapat memperlihatkan belas kasihan kepada dunia yang bersikap acuh tak acuh dan murung.

Belia kedua, Justine, 25, dari Sepanyol menceritakan bahawa beliau dibaptis semasa Tahun Belas Kasihan. Beliau mengongsikan akan komitmennya pada masa itu iaitu mahu membaktikan hidupnya kepada orang lain. Justine juga bertanya kepada Fransiskus apa peranan dan misi kaum muda dalam Gereja.

Matheus dari Brazil, 22, merupakan belia terakhir yang mengongsikan pengalamannya. Matheus merupakan bekas penagih dadah dan mula mengenal Tuhan melalui misionari dan pusat pemulihan.

Selesai menceritakan kisahnya, belia itu bertanya kepada Bapa Suci Fransiskus, bagaimana dia dapat menemui panggilannya agar dapat menyahut kepada penyelamatan yang ditawarkan kepadanya.

Kepada Juan, Sri Paus menyatakan bahawa kata-kata Joan “berdoa, berbahagi dan menginjil” adalah kata-kata aktif, bergerak, menjangkau dan melangkaui diri sendiri.

“Anda keluar daripada zon selesa anda untuk berdoa dan bertemu dengan Tuhan, anda keluar daripada diri sendiri untuk bertemu dengan saudara dan saudari anda dan anda keluar untuk menginjil, memberikan Berita Baik,” kata Sri Paus seraya menambah bahawa inilah yang harus diperlihatkan dan diberitahu kepada masyarakat yang dicengkam dengan sikap acuh tak acuh dan kemurungan.

Tetapi, bercakap tentang belas kasihan sahaja tidak memadai, kita harus menjadi saksi, berbahagi dan mengajar dengan keluar dari zon selesa kita dan menjangkau serta mendekati orangorang yang sangat memerlukan khususnya mereka yang terpinggir, yang dilayan secara tidak adil, yang sakit dan yang berdukacita.

“Kesaksian seperti ini, yang bukan berpusat kepada diri sendiri, yang bukan sekadar minat atau suka-suka sebaliknya keluar, menghulurkan tangan, berbahagi dengan orang lain bahawa Tuhan itu sangat Baik dan sentiasa hadir di tengah-tengah kita lebih-lebih lagi pada masa yang sukar. Inilah pesan belas kasihan yang sangat baik untuk kita tawarkan kepada orang lain.”--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments