Pembaharuan Karismatik Katolik sambut Jubli Emas

Lebih seribu anggota kumpulan pembaharuan karismatik membanjiri Dewan Paroki Katedral Hati Kudus sempena perayaan jubli emas Pembaharuan Karismatik Katolik atau CCR pada 21 Mei lalu.

Jun 02, 2017

KOTA KINABALU: Lebih seribu anggota kumpulan pembaharuan karismatik membanjiri Dewan Paroki Katedral Hati Kudus sempena perayaan jubli emas Pembaharuan Karismatik Katolik atau CCR pada 21 Mei lalu.

Dianjurkan oleh Tim Pelayanan Keuskupan Agung (ADST), rali besarbesaran itu dibahagikan dalam empat bahagian.

Bahagian pertama ialah sesi pujian dan syukur yang meriah dengan tiupan shofar, lagu-lagu rohani, tambourin dan kibaran bendera.

Malah setiap perwakilan CCR juga diperkenalkan dengan klip video oleh Hector Jintoni, Pengerusi ADST. Para peserta datang dari Labuan, Kinuta, Inobong, Kolopis, Penampang, Dontozidon, Kobusak, Kopungit, Tanjung Aru, Kepayan, KK, Inanam, Kokol, Menggatal, Telipok, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Ranau dan Covenant Communities dari Papar.

Dalam bahagian kedua, para peserta memuji-muji dan memuliakan Tuhan atas rahmat 50 tahun CCR melayani di gereja sejagat melalui lagu-lagu. Mereka juga menonton perkongsian iman melalui video daripada Leonard Tham dari Kota Kinabalu (Mandarin), Ambroese Stephen dari Labuan (BM) dan Paulus Jouil dari Dontozidon (Kadazan). Bahagian kedua ini diakhiri dengan sejarah CCR di Sabah yang disampaikan oleh Daniel Kong.

Kemudian para peserta, dalam bahagian tiga, memperbaharui komitmen mereka masing-masing dalam pelayanan CCR . Mereka merenung dan mengenali kelemahan serta keterbatasan mereka melalui sambil menyanyikan lagu Renew Me, O Lord.

Fr Paul Lo, Pembimbing Rohani Pergerakan Kaum Awam, bersama dengan semua penyelaras CCR, naik ke pentas untuk membuka Altar of Renewal and Recommitment yang diperbuat daripada batu seperti dalam Perjanjian Lama. Fr Lo kemudiannya mengetuai Doa Pembaharuan dan Penyegaran Komitmen.

Selepas tiupan shofar, dalam bahagian empat, semua yang hadir melalui “wave cloths” yang menandakan cabaran dan rintangan, dan melangkah melaluinya sebagai simbol semangat kekuatan dan keberanian yang telah diperbaharui untuk terus melayani dalam CCR dan terus membawa kemuliaan Tuhan.

Selepas rali, semua peserta mempersiapkan diri untuk perayaan Ekarisi dalam Katedral Hati Kudus. Pemimpin Misa ialah Uskup Agung John Wong. Beliau dibantu oleh Uskup Emeritus John Lee dan enam orang Paderi. Selepas Misa, dalam ucapannya, Uskup John Wong menyeru para peserta untuk terus bertekun dalam doa, khususnya doa kepada Roh Kudus agar dapat dikurniakan roh kebijaksanaan dan keberanian khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran yang boleh mengikis keimanan misalnya sekularisme dan pengIslaman.

Beliau juga mengatakan bahawa semasa permulaan CCR di Sabah pada pertengahan tahun 70-an, peserta yang datang amat ramai. Namun kini, seminar dan aktiviti-aktiviti CCR semakin kurang dihadiri maka, prelatus itu meminta para ahli CCR mencari punca dan penyelesaian dalam hal ini. Perayaan Jubli Emas CCR ini diakhiri dengan majlis persaudaraan di dewan paroki.--Ayong Ilas

Total Comments:0

Name
Email
Comments