Pembukaan kembali Gereja harus teliti dan waspada

Kementerian Perpaduan Negara telah mengadakan pertemuan dalam talian dengan wakil-wakil badan agama pada 16 Mei.

May 23, 2020

KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara telah mengadakan pertemuan dalam talian dengan wakil-wakil badan agama pada 16 Mei. Ia dipengerusikan oleh menterinya, Halimah Mohamed Sadique.

Mesyuarat itu adalah untuk membincangkan, mengumpulkan maklum balas dan mencadangkan rumah-rumah ibadat terpilih di zon hijau COVID-19 yang mungkin dibuka semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa. SOP untuk pembukaan semula masjid dan surau terpilih telah dikeluarkan sebelumnya.

Antara yang mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut ialah wakil dari Federasi Kristian Malaysia, Majlis Gurdwara Malaysia, Persatuan Buddha Malaysia, Persatuan Buddha Muda Malaysia dan Federation of Taoist Associations Malaysia.

Turut diwakili ialah Persatuan Pemuda Kristian Malaysia, Fo Guang Shan Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia, National Evangelical Christian Fellowship Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Buddhist Missionaries Malaysia Society dan Majlis Gereja-gereja Ma laysia.

Uskup Agung Katolik Simon Poh, selaku Ketua Persatuan Gereja-gereja di Sarawak, dalam kenyataan akhbar pada 17 Mei mengatakan: “Orang Kristian di Sarawak sentiasa menyokong  kerajaan dalam membendung COVID-19. Kami  telah menghentikan Misa hari Ahad bermula 15 Mac di Kuching dan kemudian di seluruh  negeri, bahkah lebih awal dari tarikh PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Berita mengenai kemungkinan membuka kembali rumah ibadat sudah pasti menggembirakan namun prelatus itu juga mengingatkan kita perlu untuk terus fokus khususnya dalam membendung penularan COVID-19.

Sejak 12 Mei, sesuai dengan Undangundang Persekutuan, Kerajaan mengizinkan pembukaan beberapa sektor perniagaan dan pejabat. Begitu juga, UNIFOR Sarawak juga telah mengeluarkan kebenaran untuk pejabat paroki Gereja di seluruh Sarawak dibuka. Uskup Simon menjelaskan, pejabat-pejabat paroki beroperasi dengan hati-hati dan tidak tergesa-gesa.

“Apabila saya mengira 14 hari biasa sebagai tempoh inkubasi jangkitan COVID-19 dari tarikh 12 Mei dan seterusnya, ini akan berlaku sekitar 26 Mei yang bertepatan dengan hari-hari sekitar Hari Raya, diikuti Gawai seminggu kemudian iaitu pada 1 Jun. Saya  berdoa agar tidak ada kluster baharu dalam minggu tersebut dan semoga kita bebas dari gelombang kedua COVID-19."

"Walaupun saya gembira mahu membuka kembali Gereja, saya berpendapat bahawa kita di Sarawak, tidak boleh terburu-buru. Kita perlu menganalisis statistik tempatan COVID-19 dengan teliti. Pada waktu yang sama, ada baiknya memulai persiapan pembukaan Gereja dan rumah-rumah ibadat dengan mengusahakan SOP dan protokol masing-masing. Saya sendiri sudah mengemukakan salinan draf kepada UNIFOR,” jelasnya.

Uskup Agung Simon mendorong warga tua dan mereka yang mempunyai sejarah kesihatan agar tetap berada di rumah dan terus mengikuti Misa dalam talian .

Uskup Agung Poh meminta “pengertian" dan bersabar dengan situasi semasa demi memutuskan rantaian wabak COVID-19. "Inilah pengorbanan, yang dibuat oleh semua orang dari pelbagai agama yang pasti dapat menjamin masyarakat kita, terutama Gereja-gereja kita akan menjadi persekitaran yang aman untuk beribadat dalam waktu terdekat ini.

“Sementara itu, saya mendorong semua orang untuk mengamalkan norma sosial pasca-COVID-19 yang baharu iaitu menjaga jarak pada minggu-minggu kritikal PKPB khususnya semasa perayaan Hari Raya dan Gawai. Semoga setiap tradisi agama berdoa untuk campur tangan ilahi Tuhan, agar tidak ada lagi jangkitan dan wabak di negeri dan negara kita. Kita perlu berdiri bersama sebagai satu keluarga di Sarawak dan di Malaysia kerana COVID-19 tidak membezakan antara status kaum, agama atau sosial, ” kata Uskup Agung Simon Poh. -- sumber Today Catholic

Total Comments:0

Name
Email
Comments