Pemimpin pelbagai agama komited kekal keamanan di Assisi

Para pemimpin Islam, Yahudi, Kristian dan Buddha menyanjung "Semangat Assisi" dalam sebuah pertemuan antara agama yang dimulakan suatu ketika dahulu oleh Paus Sto Yohanes Paulus II di sebuah bandar berbukit Itali.

Sep 30, 2016

KOTA VATIKAN: Para pemimpin Islam, Yahudi, Kristian dan Buddha menyanjung "Semangat Assisi" dalam sebuah pertemuan antara agama yang dimulakan suatu ketika dahulu oleh Paus Sto Yohanes Paulus II di sebuah bandar berbukit Itali.

Pada akhir kemuncak pertemuan para pemimpin pelbagai agama di Assisi itu, dua orang perwakilan beragama Islam dari Indonesia, sempena sesi ucapan, berterima kasih kepada Paus Fransiskus kerana usahanya dalam mewujudkan keamanan tidak pernah berkesudahan.

Paus Fransiskus tiba di Assisi pada 20 September di Assisi untuk menghadiri hari terakhir pertemuan yang dianjurkan oleh komuniti Awam Saint Egidio.

Din Syamsuddin, Pengerusi Majlis Penasihat Majlis Ulama Indonesia menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Komuniti Umat Awam St Egidio kerana menghidupkan semangat Asissi dengan menganjurkan perhimpunan itu setiap tahun.

Menyedari bahawa Indonesia merupakan negara berpopulasi Islam terbesar di dunia, Syamsuddin mengatakan bahawa kerjasama kerana 'semangat Asissi' telah membawa hasil konkrit perdamaian dalam dialog antara agama, pendidikan keamanan di kalangan belia dan penyelesaian konflik di Mindanao, Selatan Filipina.

Menurut Syamsuddin lagi, setiap tahun, pertemuan Semangat Assisi "telah membantu menjadi kenyataan cita-cita bersama kita untuk kehidupan yang aman dan kerjasama. Untuk mengatakan, dan untuk menunjukkan, dengan tindakan konkrit, bahawa keganasan atas nama agama memang penyalahgunaan agama. Jangan sekali-kali keganasan menggunakan nama agama!”

Beliau menegaskan bahawa Semangat Assisi adalah dialog sebenar kehidupan yang perlu diteruskan demi dunia kita. Tegasnya lagi, “kami mahu mengukuhkan komitmen kami untuk tujuan murni ini. Mari kita berjalan bersama-sama dalam perpaduan dan kemajmukan di atas jalan kepada keamanan.”

Sementara itu, Ketua Rabbi di Savyon, Israel, Rabbi Brodman di dalam ucapannya menceritakan pengalaman zaman kanak-kanak beliau di kem tahanan Nazi, dan kini, beliau kerap mengatakan kepada anak-anak muda yang tidak tahu sejarah, agar jangan mengulangi peristiwa kejam itu.

Semangat Assisi, jelasnya, “adalah contoh terbaik bahawa kerendahan hati dan kekudusan adalah jawapan bagi penyelesaian semua peperangan dan serta konflik.”

Dalam sebuah majlis doa ekumenikal di Assisi, Ketua Uskup Canterbury, Justin Welby memberi renungan tentang tanggapan dunia yang salah bahawa wang menjadikan seseorang itu kaya. “Kita merasa diri kita kaya. Wang dan kemewahan bagaikan alat permainan bagi kanakkanak. Ia mungkin boleh membeli barang-barang dalam ekonomi manusia tetapi dalam ekonomi Tuhan, ia tidak bernilai. Kita hanya benarbenar kaya apabila kita menerima rahmat daripada Tuhan, melalui Kristus, Penyelamat kita.”

Ketua Uskup itu menambah, “Tuhan menawarkan kekayaan yang benar-benar sejati dan akan membawa kepuasan.” Dalam usaha untuk mendapat rahmat Tuhan, seseorang itu perlu mendengar "mereka yang paling tidak berdaya dan termiskin;" makan makanan terpenting dalam perjamuan Ekaristi dan berkongsi tubuh dan darah Kristus serta datang kepada Tuhan dan percaya akan rahmat- Nya. “Apabila kita mendapat rahmat dan keamanan,” katanya, “kita menjadi pembawa rahmat dan kedamaian.”--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments