Penziarah muda WYD melipat ganda harapan, iman dan kasih sayang

Penziarah muda WYD melipat ganda harapan, iman dan kasih sayang

Feb 01, 2019

KOTA PANAMA: Salah seorang sukarelawan WYD Panama melihat para penziarah begitu tenang dan bersungguh-sungguh mencari Tuhan khususnya di “Taman Pengampunan”.

Ileana Madrid dari Kota Panama, yang menjadi sukarelawan sempena WYD 2019, mengatakan, “taman pengampunan” itu merupakan peluang untuk memohon maaf, memperbaiki kesilapan diri dan merenung betapa Tuhan mengasihi kita.”

“Yesus mati di kayu salib kerana Dia mengasihi kita. Kurnia paling agung daripada Dia ialah Dia mengampuni dosa-dosa kita,” ujar Ileana.

Dalam sesi “Renew Me” para penziarah dibimbing melalui sebuah perjalanan sambil merenung, mengaku dosa dan perayaan.

Ketika para penziarah melintasi seksyen “Draw Near” di mana mereka disambut oleh para sukarelawan pada 25 Januari, mereka terlebih dahulu berhenti sejenak di seksyen “Review” untuk memeriksa batin mereka di hadapan patung Maria, di mana seorang sukarelawan memainkan gitar dan menyanyi dalam bahasa Sepanyol.

Apabila para penziarah bersiap sedia untuk mengaku dosa, para sukarelawan akan membawa mereka kepada paderi yang boleh berbahasa dalam bahasa mereka. Pada tahap ini, fasa ini diberi nama “open” kerana “Tuhan berjalan dengan kita sambil mencurahkan belas kasihan kepada mereka yang berseru kepada-Nya, lebih-lebih lagi kepada kaum muda yang benar-benar membukakan hatinya dan mahu Tuhan menyentuh jiwanya.”

Ileana mengatakan sungguh gembira melihat semua orang yang meskipun berlainan bahasa, tetapi mereka cuba untuk bergaul, membuat pelbagai isyarat tangan, agar dapat berkomukasi antara satu dengan yang lain.

Kirsten Rotz, seorang pelayan kampus yang datang dengan sekumpulan belia dari Universiti St Mary, Winona, Minnesota, mengatakan pengalaman mereka di WYD Panama adalah salah satu peringatan kepada mereka dan untuk belia di paroki asal mereka, untuk meneruskan misi Kristus di dunia.

Daisy Aviles, 20 dari Houston mengatakan, selepas membuat pengakuan, dia berasa amat lega. Selepas menerima absolusi dariapda paderi, mereka yang telah mengaku dosa, melalui seksyen “Rejoice” di mana para sukarelawan memberikan ucapan tahniah, malah ada yang memberi pelukan dan mengambil gambar bersama.

Miriam Nieto, seorang sukarelawan dari Kota Panama mengatakan, “Ada orang yang datang dengan hati yang berat tetapi selepas pengakuan, mereka menjadi orang baru. Kami juga memberikan pelukan bagi mereka yang ceria dan kebanyakan mereka, membalas pelukan kasih kami.”

Sementara itu, di pintu masuk taman tersebut, Komuniti Hindu Kota Panama dilihat turut menawarkan amal kasih. Mereka memberikan sebotol air sejuk secara percuma di tengah-tengah kepanasan 90 darjah itu.

“Kami turut mahu menjadi sebahagian perkara menarik untuk dikenang dalam WYD ini. “Kami amat menghormati Sri Paus Fransiskus yang sangat menghargai perbezaan , yang selalu menyerukan keharmonian, keamanan dan cinta kasih. Dalam agama Hindu juga begitu. Kami memberikan para peserta air kerana kami tahu Panama sangat panas!”

Bagi Martinez, seorang guru yang datang ke Panama bersama dengan kenalannya dari seluruh dunia, di mana beberapa orang antara sahabatnya itu mempunyai praktik agama berbeza tetapi mereka berkongsi iman. Martinez mengatakan beliau mahu mengeratkan hubungan dengan Tuhan di mana beliau merasai pengalaman luar biasa, unik dan sukar untuk dilafazkan dengan kata-kata ketika menyertai pelbagai aktiviti dan berjumpa dengan pelbagai orang dalam WYD.

Bagi para sukarelawan yang bertungkus lumus demi memastikan perjalanan WYD lancar, mereka mendapat ucapan tahniah dan terima kasih daripada Sri Paus Fransikus.

Sebelum meninggalkan Panama pada 27 Januari, Paus Fransiskus singgah di Stadium Rommel Fernandez untuk bertemu dengan ribuan para sukarelawan rasmi WYD.

“Anda bukan sahaja telah melipat gandakan makanan. Anda telah melipat ganda harapan, persahabatan dan kasih sayang!

“Terima kasih kepada anda semua,” kata Sri Paus yang amat berbesar hati melihat komitmen para sukarelawan yang mengorbankan masa dan waktu untuk membantu perjalanan WY di Panama.

Uskup Roma itu kemudiannya menyeru agar para sukarelawan meneruskan misi dan komitmen untuk “melipat ganda” sukacita Injil di kalangan kaum muda di tempat masing-masing. — CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments