Perayaan tradisi berupaya kuatkan perpaduan

“Peranan Gereja untuk memelihara setiap budaya dan tradisi yang baik adalah sangat penting. Kita percaya budaya dan tradisi yang baik adalah anugerah dan datang daripada Tuhan. Jika budaya tidak dipelihara maka hilanglah identiti sesebuah bangsa,” ujar Paderi Paroki St Dominic Lahad Datu, Fr Simon Kuntou.

Jun 23, 2017

LAHAD DATU: “Peranan Gereja untuk memelihara setiap budaya dan tradisi yang baik adalah sangat penting. Kita percaya budaya dan tradisi yang baik adalah anugerah dan datang daripada Tuhan. Jika budaya tidak dipelihara maka hilanglah identiti sesebuah bangsa,” ujar Paderi Paroki St Dominic Lahad Datu, Fr Simon Kuntou.

Pada 21 Mei lalu, para Paderi Lahad Datu iaitu Fr. Simon Kontou dan Fr. Marcelinus Pongking bersama umat dari pelbagai bangsa di paroki St Dominic, merayakan Pesta Kaamatan dan Gawai sebagai ungkapan syukur kepada Tuhan yang tidak pernah meninggalkan umat- Nya.

“Dalam konteks Gereja, perayaan Kaamatan dan Gawai dirayakan oleh semua warga gereja St. Dominic tanpa mengira suku kaum. Oleh yang demikian, diharap agar perayaan ini dapat menyatukan kita dan mengeratkan ikatan kasih sesama kita di paroki ini,” ujar Fr Simon Kuntou dalam uacapannya.

Paderi itu menyatakan harapannya agar perayaan tradisi itu dapat membantu menyatukan umat berbilang suku kaum di paroki St Dominic, “Agar kita hidup sebagai satu gereja yang teguh dan saling bekerjasama dalam karya pelayanan serta dapat mempromosikan anak-anak Katolik untuk hidup bersatu padu tanpa ada unsur perkauman. Sesungguhnya di dalam Kristus kita adalah satu!”

Pengerusi Penganjur Perayaan Kaamatan dan Hari Gawai 2017, Patrick Chong berkata “Syukur kepada Tuhan atas anugerah-Nya kerana kita dapat merayakan misa kesyukuran Kaamatan dan Gawai pada tahun ini. Pesta gabungan ini adalah inisiatif yang diambil oleh Paderi Paroki sendiri iaitu Fr. Simon Kontou kerana ia merupakan satu keperluan dan tindakan yang wajar agar perayaan ini menjadi satu landasan untuk mengenali antara sesama. Perayaan Kaamatan dan Gawai dalam konteks gereja merupakan perayaan kesyukuran dan berterima kasih kepada Tuhan atas karunia-Nya di atas sumber makanan dan rezeki yang kita perolehi. Walaupun Kaamatan dan Gawai mempunyai lagenda serta mitos yang tersendiri, namun kita seharusnya tidak melupakan Tuhan yang merupakan kunci kepada segala nikmat yang kita perolehi”. Selesai Misa Kudus, acara diteruskan dengan perasmian perayaan dengan pukulan gong oleh Paderi Paroki diikuti acara pentas iaitu Pertandingan Sugandoi dan Sukan Tradisi.--Farnandes

Total Comments:0

Name
Email
Comments