Perbuatan baik seperti ubat yang menyembuhkan luka

Seramai 12 orang belia Katolik St. Mark Batu 12 dan St. Peter, Sg. Manila telah mengadakan program pendedahan lawatan sambil belajar serta membuat kerjakerja amal kebajikan di Rumah Amal Cheshire, Batu 5, Sandakan, pada Oktober 4, yang lalu.

Oct 24, 2014

SANDAKAN (Herald Malaysia): Seramai 12 orang belia Katolik St. Mark Batu 12 dan St. Peter, Sg. Manila telah mengadakan program pendedahan lawatan sambil belajar serta membuat kerjakerja amal kebajikan di Rumah Amal Cheshire, Batu 5, Sandakan, pada Oktober 4, yang lalu.

Aktiviti tersebut merupakan sahutan peserta-peserta Unite Camp dari St Mark dan St Peter untuk menjangkau orang yang kurang bernasib baik.

Unite Camp yang baru saja dianjurkan pada bulan lalu di Katedral St. Mary Sandakan bertemakan “..berbahagialah mereka yang murah hatinya, kerana mereka akan beroleh kemurahan..” (Mat 5:7) telah mendorong segolongan belia untuk menghiburkan serta memberi kasih sayang kepada mereka yang kurang upaya.

Ketibaan para belia itu disambut dengan mesra oleh salah seorang petugas Cheshire Home, Sdri Cecilia Kimin dan penghuni-penghuni Cheshire Home. Sambil berkenalan dengan penghuni di pusat itu, Sdri Cecilia memperkenalkan dan menerangkan latar belakang Chesire Home.

Cheshire Home adalah rumah Amal pertama di Malaysia ditubuhkan pada Julai 16, 1974.



Ia merupakan pusat amal yang menjaga orang kurang upaya.

Di Sabah, Cheshire Home yang pertama dibuka di Kota Kinabalu pada Januari 29, 1983. Kini ia telah pun berusia 31 tahun.

Manakala di Sandakan , pusat ini ditubuhkan pada April 8, 2000 iaitu 14 tahun yang lalu. Kini ia mempunyai 19 orang penghuni kurang upaya yang mendiami sepenuh masa di pusat tersebut. Selain beramah mesra dengan para penghuni, para belia turut membantu membersihkan persekitaran rumah seperti memotong rumput, menyapu, membersih bilik air, dapur dan sebagainya.

Melihat senyuman dan tawa riang penghuni Cheshire Home , jelas bahawa mereka amat gembira dengan kunjungan para belia tersebut. Salah seorang belia menyatakan bahawa beliau gembira dapat menyumbangkan sedikit tenaga untuk pusat tersebut.

Sesungguhnya melalui perbuatan yang baik akan menyenangkan hati orang lain dan Tuhan. “Hendaknya terangmu bercahaya di depan orang, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memuliakan Bapa mu yang di syurga (Matius 5:16). -- Eman Lee

Total Comments:0

Name
Email
Comments