Perginya pejuang keharmonian antara agama — Adenan Satem

Keharmonian antara kaum dan agama di Sarawak sentiasa menjadi kebanggaan warganya dan sering dikagumi oleh masyarakat luar.

Jan 20, 2017

KUCHING, Sarawak: Keharmonian antara kaum dan agama di Sarawak sentiasa menjadi kebanggaan warganya dan sering dikagumi oleh masyarakat luar.

Sarawak merupakan sebuah negeri di mana masjid dan Gereja dibina bersebelahan, berkongsi tempat letak kereta dan kawasan.

Keharmonian antara agama ini juga tidak dibuat-buat malah bukti nyatanya ialah semasa musim perayaan atau di restoran mahupun di gerai, rakan taulan yang berlainan kaum dan agama, duduk bersama, berbual santai dan bergembira tanpa wujud perasaan prejudis.

Namun, keharmonian kaum dan agama ini begitu amat rapuh dan boleh musnah disebabkan oleh pengaruh- pengaruh luar.

Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sangat prihatin dan menyedari akan bahaya yang dibawa oleh pengaruh luar yang cuba mengganggu keharmonian masyarakat Sarawak.

Salah satu langkah tegas Adenan untuk mengekalkan keamanan antara kaum di Sarawak ialah mengisytiharkan polisi keharmonian negeri Sarawak semasa beliau dilantik sebagai Ketua Menteri.

Adenan menekankan pelaksanaan polisi ini semasa menyatakan ucapan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2015 di mana beliau mengingatkan rakyat Sarawak untuk menjaga kesatuan kaum dan menghormati agama lain yang menjadi tunjang keamanan di negeri tersebut.

Ketua Menteri itu menegaskan bahawa masyarakat yang berpecah belah, dan mengutamakan satu kaum sahaja akan memusnahkan gaya hidup aman damai warga Sarawak selama ini.

Peringatan Adenan ini seiring dengan masa kini di mana wujud bahaya daripada pengaruh luar yang cuba menabur benih-benih ketegangan kaum dan agama.

Oleh itu, pada 21 Mac, 2014, Adenan melarang kemasukan orangorang yang boleh memecah belahkan kesatuan pelbagai kaum daripada memasuki Sarawak. Dan mana-mana orang luar yang didapati cuba menyemai ketegangan kaum dan agama akan segera dihantar balik ke tempat asal.

Ramai orang yang berasa ragu akan Adenan, takut beliau hanya banyak bercakap sahaja. Namun dalam tempoh sebulan memegang jawatan Ketua Menteri, dengan menggunakan Seksyen 66 Akta Imigresen 1963, beliau menghalang kemasukan tiga pemimpin tertinggi PKR iaitu Naib Presiden PKR, Tian Chua, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nastion Ismail dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli menjelang pilihan raya kecil Balingian pada 22 Mac, 2014.

Namun, pemimpin utama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibenarkan untuk berada di Sarawak. Larangan ini hanya dikenakan kepada orang-orang di mana rakyat Sarawak merasakan kehadiran mereka tidak diingini dan orang-orang itu mempunyai mewujudkan ketidakharmonian antara kaum.

Ini diikuti dengan larangan ketua pertubuhan Perkasa, Datuk Ibrahim Ali daripada memasuki Sarawak. Pensyarah kontroversi, Ridhuan Tee Abdullah, yang dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah acara keagamaan di Lundu, turut dihantar kembali ke Semenanjung setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 26 Disember 2014.

Kontroversi kata “Allah”
Ketika kontroversi penggunaan kata “Allah” di kalangan bukan Islam di Semenanjung menimbulkan kemarahan penganut Islam di Semenanjung, Adenan berpegang teguh bahawa kata itu boleh digunakan oleh umat Kristian di Sarawak dan tidak ada sekatan atau larangan penggunaan kata itu di dalam Alkitab Kristian di Sarawak.

Adenan yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah St Joseph, telah berjanji kepada penganut Kristian di Sarawak bahawa mereka boleh menggunakan kata itu dalam upacara agama dan kitab mereka.

Apabila Kelantan meluluskan rang undang-undang Hudud dan cuba membentangkannya di Parlimen, Adenan sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan di Sarawak.

Beliau meyakinkan rakyat Sarawak bahawa apa-apa cadangan untuk mengubah atau menghapuskan mana-mana perlindungan perlembagaan akan dibawa oleh kerajaan negeri kepada perhatian Dewan ini, untuk perbincangan dan pengesahannya akan dicari, demikian janji Adenan dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri pada Mei 2014 Dewan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia pada 11 Januari 2017 akibat sakit jantung.

Adenan sah menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas menerima surat pelantikan daripada Tun Salahuddin dalam majlis penuh istiadat di Astana Negeri pada 28 Februari 2014.

Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.

Memulakan kariernya sebagai majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.

Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu disegani.--Sumber The Borneo Post

Total Comments:0

Name
Email
Comments