Pertemuan bakal guru Katolik di Bingkor

Kumpulan pelajar Katolik Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (CSG IPG Kampus Keningau) telah mengadakan perhimpunan yang pertama bagi semester pertama tahun 2014.

May 29, 2014

KENINGAU: Kumpulan pelajar Katolik Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (CSG IPG Kampus Keningau) telah mengadakan perhimpunan yang pertama bagi semester pertama tahun 2014.

Program ini diadakan di Gereja St Mary Bingkor pada Mei 15, 2014 sempena menyambut perayaan Paskah dan persiapan menduduki peperiksaan akhir semester satu. Ia disertai oleh rakan CSG Keningau yang terdiri daripada guruguru pelatih Katolik PPISMP semester satu hingga PISMP semester tujuh.

Ia diadakan bagi pengisian iman para guru pelatih Katolik. Antara program yang dijalankan adalah pujian dan penyembahan, Bible Sharing , sesi pengisian daripada Katekis Donald, sesi Doa bagi menduduki peperiksaan akhir semester dan akhir sekali adalah jamuan persaudaraan sempena menyambut perayaan Paskah.

Tema program ini ialah Perintah mengasihi yang diambil daripada pembacaan Injil Yohanes 15:9-17 iaitu bacaan harian pada hari tersebut.

Semasa sesi Bible Sharing kami telah menjawab soalan renungan seperti berikut, “Siapakah sahabat kamu? Pernahkah anda mendoakan bagi mereka yang bukan sahabat kamu”? “Adakah anda telah mengongsikan kasih Yesus dengan sesama supaya mereka juga mengenal Yesus?”, “Sejak dibaptis, apakah "buah" yang telah anda hasilkan?”

Sambutan program ini sangat menggalakkan kerana ramai ahli yang mempunyai kerinduan akan Yesus Kristus untuk memuji dan memuliakan-Nya dalam pujian dan program-program seperti ini.

Para rakan CSG berharap agar program- program seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membentuk peribadi bukan sahaja sebagai bakal guru bahkan sebagai seorang guru yang mempunyai iman seperti Yesus Kristus.

Pihak penganjur berterima kasih kepada pihak gereja St Mary Bingkor kerana telah membenarkan kami menggunakan tempat, peralatan muzik dan LCD. Tidak lupa juga kepada pihak Kerasulan Wanita Katolik(KWK) yang sudi memberikan bantuan menyediakan jamuan fellowship tersebut.

Jasa dan sokongan daripada semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung sangat kami hargai, semoga Tuhan Yesus Kristus terus memberkati kita semua. -- Amodd Deal Tingadon

Total Comments:0

Name
Email
Comments