Pesta Kaamatan dalam era pandemik ingatkan umat jangan terlalu selesa

Bulan Mei amat sinonim dengan pesta Kaamatan atau pesta Menuai di Sabah. Namun disebabkan oleh pandemik coronavirus, kerajaan telah memutuskan untuk melarang atau menyekat sebarang perhimpunan yang melibatkan ramai orang.

May 16, 2020

RANAU: Bulan Mei amat sinonim dengan pesta Kaamatan atau pesta Menuai di Sabah. Namun disebabkan oleh pandemik coronavirus, kerajaan telah memutuskan untuk melarang atau menyekat sebarang perhimpunan yang melibatkan ramai orang.

Oleh itu, Pesta Kaamatan tidak diadakan pada tahun ini. Namun, bagi Gereja, ia tetap dirayakan dalam Ekaristi. Kaamatan dalam sambutan norma baharu ini tetap membawa unsur bersyukur dan mengajak semula umat agar menghormati alam serta menghargai usaha para petani.

Di Paroki St Peter Claver, Misa Kudus Kaamatan disiarkan dalam talian pada 7 Mei lalu. Ia dipimpin oleh Father Nicholas Stephen dan Father Francis Tsen. Pada pembukaan Misa, Fr Nick mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Menuai dan mengajak umat bersyukur kerana masih dapat merayakan kaamatan walaupun berlainan susasana.

“Sudah tentu ramai yang berasa sedih kerana pesta Kaamatan ditiadakan pada tahun ini.

Tetapi Gereja tetap merayakan pesta Kaamatan sebagai ungkapan kesyukuran.Pandemik Covid-19 sesungguhnya menyedarkan kita untuk menghargai Kaamatan, menghargai apa yang kita ada, kerana mungkin, selama  ini kita terlalu senang dan leka,” kata Fr Nick.

Dalam homilinya pula, Fr Nick mengatakan, meskipun dalam era covid-19 yang merisaukan ramai orang, ia tetap membawa beberapa kebaikan misalnya orang ramai mulai menghargai alam. Setelah beberapa ketika lockdown, langit mulai cerah dan udara semakin baik.

Fr Nick juga memberikan penghargaannya kepada para petani yang membanting tulang demi menghasilkan beras. Beras, merupakan makanan ruji di negara ini.

“Ramai di antara kita yang tidak pernah merasai bagaimana sukarnya proses menanam padi. Selain beberapa proses yang rumit, bekerja di bawah panas matahari, para petani juga tabah menghadapi pelbagai rintangan lain misalnya haiwan perosak, masalah cuaca dan sebagainya.

“Selain itu, pesta Kaamatan juga mengingatkan kita tentang pentingnya semangat perpaduan, kesatuan dan kekitaan. Padi tidak akan dapat dihasilkan tanpa semangat kekitaan dan kesatuan. Petani pada zaman dahulu meskipun penat menanam padi, tetapi disebabkan oleh semangat kekitaan, mereka sentiasa gembira, tidak mementingkan diri dan saling bantu membantu.

"Mengapa kesatuan dan keharmonian pada  zaman dahulu sangat erat? Ini adalah mereka kreatif mencipta suasana gembira. Sambil bekerja mereka berteka-teki, bergurau dan bercerita. Secara tidak langsung, sikap tidak mementingkan diri, sikap kekitaan itu telah memperkasa semangat kesatuan mereka."

Oleh itu, pada musim Kaamatan ini, Fr Nick menggalakkan umat, dalam kumpulan kecil, melawat beberapa sawah padi untuk melihat sendiri bagaimana ‘makanan’ kita dihasilkan.

Beliau juga memuji usaha ramai umat yang mula “kembali kepada tanah” misalnya  berkebun dan menanam pokok.

Mengulas mengenai pembacaan Injil pada hari itu, imam Katolik itu mahu umat sedar bahawa Tuhan yang mencipta segala-galanya di dunia ini adalah Tuhan yang memberi keselamatan.

“Carilah dahulu kerajaan Tuhan. Wang tidak memberikan kita hidup selamanya. Tidak ada yang kekal kecuali kasih Tuhan.

Selepas homili, Fr Nick memberkati biji benih dan berdoa agar Tuhan menumbuhkan biji benih yang subur agar dapat memberi makanan kepada semua orang.

Total Comments:0

Name
Email
Comments