Pesta KAGAPE di Keuskupan Melaka-Johor

Uskup Melaka-Johor, Bernard Paul bersukacita menyambut perayaan Ekaristi sempena Pesta Menuai pada 22 Jun lalu.

Jul 18, 2019

MAJODI, Johor Bahru: Uskup Melaka-Johor, Bernard Paul bersukacita menyambut perayaan Ekaristi sempena Pesta Menuai pada 22 Jun lalu.

Dengan tema, “Perpaduan Budaya Berpusatkan Kristus", perayaan kesyukuran itu diadakan di Dewan Besar MAJODI.

Perayaan Gawai (masyarakat asal Sarawak), Kaamatan (masyarakat asal Sabah) dan Panen (Indonesia) dirayakan serentak dengan perayaan Tubuh dan Darah Kristus.

Semasa menyampaikan khutbahnya, Bapa Uskup menyeru umat agar, “Mengucapkan syukur kepada Sang Pencipta, yang telah memberikan segala sesuatu kepada kita semua.”

Prelatus itu juga menekankan empat erti berterima kasih atau bersyukur, dengan istilah yang sering digunakan dalam perayaan Misa, AMBIL, BERKAT, PECAH dan BERI.

Katanya, “Semua yang kita terima adalah daripada Bapa di Syurga, kita harus ada masa untuk mengucapkan rasa syukur. Bersikap rendah hati kerana kita hanya pelayan dan mempunyai peranan di dalam ladang Tuhan. Bersikap sederhana, jangan tamak dan boros untuk menjaga bumi yang disediakan.”

Beberapa orang paderi juga turut hadir dalam dua perayaan besar yang diraikan iaitu Pesta Tubuh dan Darah Yesus serta Pesta Gawai, Kaamatan dan Panen. Ribuan umat dari pelbagai keturunan dan bahasa telah menambahkan lagi seri pada perayaan hari tersebut.

Masing-masing bangga memperagakan pakaian tradisi yang unik dan berwarna warni dan semoga perayaan Ekaristi telah memperkayakan serta meneguhkan keharmonian antara budaya di Keuskupan Melaka-Johor.

Total Comments:0

Name
Email
Comments