Pintu Kudus Belas Kasihan terakhir dibuka di Keuskupan Keningau

Upacara Pemberkatan Pintu Kudus Tahun Belas Kasihan dan Misa Kudus Pelancaran Pusat Ziarah Jubli Tahun Belas Kasihan di Paroki Membakut telah berlangsung pada 22 Januari 2016 yang baru lalu tepat pada jam 6.00 petang.

Feb 05, 2016

MEMBAKUT: Upacara Pemberkatan Pintu Kudus Tahun Belas Kasihan dan Misa Kudus Pelancaran Pusat Ziarah Jubli Tahun Belas Kasihan di Paroki Membakut telah berlangsung pada 22 Januari 2016 yang baru lalu tepat pada jam 6.00 petang.

Upacara pemberkatan dan pelancaran ini dimulakan dengan doa Rosario diikuti penyampaian katekesis tentang Tahun Belas Kasihan oleh Fr Dr Charles Chiew, di Dewan Paroki.

Bersama 17 orang Paderi dari Keuskupan Keningau dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Uskup Cornelius Piong berarak ke Pintu Suci yang disaksikan lebih 1000 umat. Pelancaran ini menandakan bahawa Paroki St. Patrick Membakut dengan rasminya akan menjadi pusat ziarah bagi Keuskupan Keningau sepanjang Tahun Belas Kasihan.

Sebagai persediaan bagi upacara pemberkatan dan pelancaran ini, umat katolik Paroki St.Patrick Membakut telah dipersiapkan dengan katekesis pertama yang telah disampaikan oleh Fr. Dr. Charles Chiew pada 17 Januari 2016 dan katekesis kedua pada 22 Januari 2016. Katekesis ini memberi pengertian tentang makna Pintu Kudus, serta simbolik kewujudan Pintu Kudus melalui sejarah-sejarah yang tercatat di dalam Alkitab dan juga bagaimana sikap berbelas kasihan menjadi pintu utama seorang Katolik untuk mendekati Kristus.

Didalam homilinya pula, Bapa Uskup Cornelius Piong mengatakan bahawa, Pintu Kudus adalah simbolik kepada relasi antara manusia dan Tuhan, di mana setiap kali kita melalui Pintu Kudus dengan sikap yang rendah diri dan keterbukaan, kita akan dapat melihat orang lain dengan penuh belas kasih, serta berupaya untuk memperbaiki hubungan dengan Kristus melalui sikap belas kasihan terhadap orang lain yang memerlukan.

Prelatus itu juga mengingatkan setiap umat bahawa, perjalanan iman seseorang itu bukan setakat sehingga menerima Sakramen Pembaptisan sahaja kerana dengan sikap demikian, ia tidak membantu dalam pertumbuhan peribadi seseorang umat untuk membangun relasi atau kesatuan dengan Tuhan dan seterusnya tidak dapat merasai kehadiran Tuhan di dalam hidupnya.

Di dalam Misa kudus ini juga, Majlis Pastoral Paroki (MPP) St. Patrick Membakut melalui Pengerusinya, Sdra Osmund Osmin Benati meyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius kerana telah memilih Paroki St. Patrick Membakut sebagai pusat ziarah iman bagi Jubli Tahun Belas Kasihan dan berharap melalui peristiwa ini, umat Katolik di Paroki ini dapat menggunakan peluang ini untuk berziarah, melakukan karya-karya amal jasmani dan rohani belas kasihan serta berusaha menjadi ‘wajah’ belaskasihan Bapa kepada sesama.

Beliau juga menyampaikan cenderahati kenangan kepada semua Ahli Jawatankuasa MPP dari paroki di seluruh Keuskupan Keningau.

Selepas upacara Pemberkatan Pintu Kudus Belas Kasihan dan Misa Pelancaran Pusat Ziarah Jubli Tahun Belas Kasihan, semua umat telah dijemput bersama untuk acara makan malam bersama Bapa Uskup, para paderi, religius dan Ahli Jawatankuasa MPP dari paroki lain yang hadir sambil menyaksikan persembahanpersembahan yang disediakan oleh Komiti Kerasulan Belia Katolik (KBK) dengan kerjasama Komiti Liturgi Sabda Kanakkanak, serta Komiti Pelayan Altari dan Komiti Umat Katolik (KUK) dari stesen luar Paroki St. Patrick Membakut. -- KOMSOS Paroki St. Patrick Membakut

Total Comments:0

Name
Email
Comments