Politik, ekonomi yang berlandaskan cinta kasih Tuhan

Negara kita Malaysia memang diakui oleh negara luar sebagai negara yang aman damai, makmur dan berteraskan demokrasi.

Oct 16, 2020

HARI MINGGU BIASA KE-29 TAHUN A
YESAYA 45:1.4-6; 1TESALONIKA 1:1-5B;
INJIL MATIUS 22:15-21

Negara kita Malaysia memang diakui oleh negara luar sebagai negara yang aman damai, makmur dan berteraskan demokrasi. Namun ketika ini juga agama dan politik seakanakan bercampur aduk di negara kita di mana dengan mudah menyemarakkan sentimen agama dan pelampau agama.

Agama dijadikan alat politik untuk merebut kuasa dan simpati daripada rakyat yang mengundi calon-calon parti tertentu. Kita sendiri sudah dan mengalami akibatnya di mana kes-kes pembakaran gereja, pencerobohan masjid dan kuil terjadi silih berganti.

Mungkin inilah sebabnya mengapa terjadi demonstrasi jalanan dari semasa ke semasa kerana politik dicampur adukkan dengan agama. Ini semua berlaku di dalam negara kita, belum termasuk apa yang terjadi di luar sana — sungguh menakutkan!

Memang menyedihkan kerana seharusnya semua agama membawa keselamatan bagi seluruh umat manusia, bukan membawa bencana dan perpecahan yang membinasakan antara satu dengan yang lain. Bagi kita umat  Kristian, pada hari ini kita mendapat dua pesan yang penting dalam hal ini:

1. Agama dan politik jangan dicampuradukkan. Maskudnya, jangan menggunakan agama untuk kepentingan politik individu atau parti tertentu. Kita sebagai penganut agama Katolik yang juga adalah golongan minoriti di negara ini hendaknya memberi contoh yang baik dengan menjauhkan diri dari sikap pelampau agama yang merugikan itu.

2. Walaupun kita tidak boleh berpolitik dengan memperalatkan agama, tetapi kita tidak dilarang untuk berpolitik bersemangatkan agama, agama harus menjadi sumber dan pedoman bagi kita untuk berpolitik. Kita berpolitik berasaskan moral sebab kita tidak dapat berpolitik dengan baik tanpa moral agama. Dengan kata lain, agama meningkatkan mutu politik kita ke arah kebaikan bersama.

Menurut sejarah, tembok besar negara China dibina dengan harga yang tidak ternilai. Apabila selesai Ia dianggap sebagai penyelamat ancaman musuh.  Namun belum pun beberapa tahun, tembok tersebut sudah dibolosi oleh musuh sebanyak tiga kali bukan dengan merobohkan tembok tersebut tetapi dengan cara memberi sogokan kepada para penjaga pintu gerbang tembok tersebut.

Elemen-elemen kemanusiaan gagal dan sifat-sifat yang tidak amanah itulah yang membuat sistem yang terbaik ciptaan manusia itu sendiri akan hancur lebur. Demikian juga semua orang yang bergiat dalam politik akan menerima akibat yang sama jika mereka lupa terhadap asas kerohanian yang kukuh di dalam diri mereka masing-masing.

Dalam bidang politik dan ekonomi, Tuhan telah menegaskan kedudukan-Nya. Dia mahu sebuah masyarakat yang politik dan ekonominya berlandaskan kebenaran, keadilan, cinta kasih dan perdamaian. Tepatnya, politik dan ekonomi sebenarnya merupakan kepedulian Tuhan yang sangat penting.

Mengapa? Sebab jika politik itu merupakan sains dan seni memerintah rakyat jelata maka, oleh kerana manusia itu adalah milik Tuhan, Dia mengambil  berat tentang bagaimana rakyat itu diperintah oleh kerajaan yang sedang memerintah.

Demikian juga jika ekonomi itu merupakan suatu sains dan seni mengagih-agihkan harta duniawi secara adil dan saksama, maka oleh kerana dunia ini milik Tuhan, Dia mengambil berat agar semua harta duniawi ini dibagi sama rata kepada semua rakyat jelata.

Kesemua idea ini sebenarnya sudah lama dilaung-laungkan oleh Gereja melalui ajaran-ajaran-Nya di dalam pelbagai dokumen Gereja sejak dahulu sampai sekarang.

Oleh kerana politik dan ekonomi merupakan kepedulian Tuhan kita, maka kita sebagai pengikutNya harus menganggapnya sebagai tanggungjawab kita. Kita harus mempedulikan sesama kita  yang kurang bernasib baik dalam pelbagai hal – jasmani dan rohani, minda dan emosi. Maka kita harus terlibat juga dalam politik dan ekonomi demi sesama kita yang memerlukan berlandaskan cinta kasih Tuhan.

Andai kata Gereja gagal melaksanakan ini semua, maka Gereja mengagalkan usaha Tuhan yang datang ke dunia ini untuk mendirikan kerajaan kebenaran, keadilan, cinta kasih dan perdamaian di dunia.

Namun kita pasti bahawa ini semua tidak akan berlaku sebab kekuatan-Nya yang boleh merubah segala sesuatu itu masih tetap berserta kita serta mempercayakan kita untuk pembawa: “Kasih karunia dan damai sejahtera-Nya” (1Tes 1:1) demi pemulihan dunia ini. —santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments