Raja yang mengorbankan hidup-Nya

Bagi kita umat Kristian, Yesus Kristus adalah Raja kita dan seluruh alam semesta.

Nov 20, 2020

HARI MINGGU KRISTUS RAJA
Yehezkiel 34:11-12, 15-17 1
Korintus 15:20-26, 28
Injil Matius 25:31-46

Bagi kita umat Kristian, Yesus Kristus adalah Raja kita dan seluruh alam semesta.

Yesus Kristus adalah raja yang menyelamat dan memberi kita kehidupan dengan mengorbankan seluruh hidupnya untuk keselamatan dunia. Marilah kita mengagungkan dan memuliakan Dia dalam hidup kita setiap hari.

Pada zaman dahulu raja-raja di seluruh dunia sungguh berkuasa sekali memerintah negeri mereka. Mereka dapat melakukan apa sahaja yang mereka mahu dan inginkan untuk memuaskan kepentingan diri sendiri.

Mereka dianggap sebagai yang mahakuasa atau tuhan oleh rakyat mereka. Jutaan orang telah menderita dan mati terkorban berperang demi menyelamatkan raja mereka supaya dia terus dapat berkuasa.

Tetapi pada zaman sekarang kebanyakan raja tidak lagi mempunyai kuasa untuk memerintah negara mereka.

Mereka hanya menjadi simbol perpaduan dan pemimpin agama negara mereka. Raja-raja dunia dahulu kala menjadi bahan sejarah  untuk muzium negara mereka pada masa kini.

Hari ini merupakan minggu terakhir dalam kalendar liturgi kita di mana kita merayakan Minggu Kristus Raja. Dalam perayaan hari ini, kita mengakui bahawa Yesus Kristus adalah raja kita yang berkuasa untuk selama-lamanya.

Firman Tuhan pada hari ini mengajak kita untuk merenung secara mendalam maksud sebenar pengakuan kita bahawa Yesus adalah raja alam semesta dan apa ertinya bagi kita berada di dalam kerajaanNya.

Bacaan pertama hari ini mengatakan bahawa Tuhan adalah gembala umat Israel. Raja-raja orang Israel dianggap sebagai wakil Tuhan dan mereka telah diberi kuasa Ilahi sebagai penggembala umat Tuhan. Tetapi malangnya ramai di antara mereka tidak taat melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang diharapkan oleh Tuhan.

Cara mereka memerintah tidak bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Mereka tidak memerintah dengan adil. Mereka tidak prihatin  terhadap rakyat yang lemah dan yang memerlukan. Maka Tuhan berjanji kepada umat Israel bahawa dia sendiri yang akan menggembalakan mereka dengan keadilan.

Dia akan menyelamatkan mereka yang tersesat dan hilang.

Bagi kita umat Kristian, apa yang dijanjikan oleh Tuhan itu telah menjadi kenyataan dalam diri Yesus Kristus, Raja Semesta Alam seperti yang dinyatakan dalam bacaan Injil hari ini.

Dia adalah raja atas segala raja yang akan datang untuk mengadili semua orang pada hari pengadilan pada akhir zaman.

Pada waktu itu, dia akan duduk di takhta pengadilan dan mengadili siapa semua orang yang akan layak memasuki kerajaannya. Dinyatakan dengan jelas dalam Injil bahawa tahu memanggil nama Tuhan bukanlah jaminan untuk memasuki kerajaan syurga. Setia melakukan kehendak Tuhan iaitu mengasihi dan melayani sesama terutama sekali mereka yang memerlukan adalah jaminan untuk memasuki kerajaan syurga.

Sebab dengan mengasihi dan  melayani mereka yang miskin dan kelaparan, mereka yang sakit dan menderita, mereka yang dipenjara dan yang disisih oleh masyarakat adalah mengasihi dan melayani Tuhan.

Mengasihi dan prihatin terhadap mereka yang memerlukan merupakan tanggungjawab utama umat Kristian. Mari kita bertanya pada diri sendiri, bilakah kita pernah melakukan sesuatu atau membantu orang yang memerlukan bantuan?

Pernahkah kita melayani Kristus Raja melalui peribadi saudarasaudari kita yang miskin, yang dipandang hina dan disisih oleh masyarakat kita?

Sikap mementingkan keperluan diri sendiri membuatkan kita buta dan tidak dapat melihat orang memerlukan bantuan di sekeliling  kita termasuk ahli keluarga kita sendiri.

Khabar gembira yang kita rayakan hari ini adalah bahawa kita mempunyai Raja yang tidak seperti dengan raja-raja di dunia ini. Dia adalah Raja yang sungguh prihatin terhadap keperluan kita dan menguatkan kita sewaktu kita lemah.

Santo Paulus dalam bacaan kedua menyatakan bahawa Kristus adalah yang telah berkorban menderita dan mati untuk menyelamatkan semua orang di dalam dunia ini. Melalui Dia, kerajaan Tuhan telah menjadi kenyataan bagi kita dan Dia akan datang kembali pada akhir zaman untuk mengumpulkan semua orang yang berkenan kepadanya memasuki kerajaan abadi di syurga. — Santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments