Rasisme, virus “roh” yang harus dihapuskan

Sama seperti pandemik coronavirus, rasisme atau perkauman adalah virus “spiritual” yang telah menyebar ke seluruh dunia dan mesti dibanteras, kata Uskup Agung untuk Dewan Kepausan Akademik Kehidupan, Vincenzo Paglia.

Jun 06, 2020

KOTA VATIKAN: Sama seperti pandemik coronavirus, rasisme atau perkauman adalah virus “spiritual” yang telah menyebar ke seluruh dunia dan mesti dibanteras, kata Uskup Agung untuk Dewan Kepausan Akademik Kehidupan, Vincenzo Paglia.

"Saya membandingkan (rasisme) dengan COVID-19, perkauman adalah virus “roh”, virus budaya yang jika tidak dikekang, menyebar dengan cepat," kata Uskup Agung Paglia kepada akhbar Catholic News Service, pada 1 Jun lalu.

Uskup Agung Itali itu mengulas kematian George Floyd pada 25 Mei semasa ditahan oleh polis di Minneapolis dan telah mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh Amerika Syarikat.

Floyd, 46, ditangkap oleh polis kerana disyaki melakukan pemalsuan. Setelah dia digari, seorang pegawai kulit putih menindihnya di jalanan dengan menekan lututnya pada leher Floyd selama lapan minit. Seorang individu yang melintasi kawasan itu telah berjaya merakam peristiwa itu dan video itu menjadi tular. Dalam video itu, Floyd berulang kali mengatakan, “Saya tidak dapat bernafas.” Floyd akhirnya pengsan di mana kemudiannya diisytiharkan mati di hospital.

Uskup Agung Paglia menyatakan perkau man hanya dapat dikalahkan apabila manusia saling peduli dengan sesama.

“Hari ini kita mesti memulakan revolusi persaudaraan. Kita semua adalah saudara dan saudari. Persaudaraan adalah janji yang kurang diperhatikan pada zaman moden,”

Tambahnya laginya, “Pada pendapat saya, kekuatan yang oleh menumpaskan kelemahan kita adalah persaudaraan dan perpaduan. Dan sama seperti mengalahkan coronavirus,  persaudaraan mengalahkan perkauman! Perjuangan menentang perkauman, bukan dengan kekerasan sebaliknya dengan meneladani cara Martin Luther King, Jr: dengan kata-kata semangat, dengan budaya, dengan iman, dengan rasa kemanusiaan — ini semua diperjuangkan dengan cara yang sama kita melawan coronavirus.”

Uskup Paglis menegaskan, “Kita tidak boleh berdiam diri. Untuk  mencegah virus  perkauman membiak, mereka (yang menentang perkauman) juga harus bersatu dan semkin bertambah ramai.” Prelatus itu  mengatakan Amerika Syarikat mempunyai tugas untuk menolong orang lain namun mereka telah "kehilangan" panggilan itu. Uskup Agung Paglia mengatakan Sri Paus Fransiskus harus mempertimbangkan untuk menulis dokumen yang membahas masalah perkauman — masalah yang semakin tersebar di seluruh dunia.

Beliau menambah, surat Sri Paus pada tahun 2019 yang menandai ulang tahun ke25 Dewan Kepausan Akademik Kehidupan  mencerminkan sudah banyak tragedi perkauman di dunia sekarang ini.

Dalam surat itu, yang berjudul Komuniti Manusia, Sri Paus mengatakan rasa persaudaraan di kalangan manusia dan negara menjadi lemah akibat sikap tidak percaya dan gagal menunaikan janji-janji untuk berlaku adil pada zaman moden ini.

Ketidakpercayaan dan syak wasangka tercetus dalam masyarakat dan di antara individu disebabkan sikap mementingkan diri serta persaingan tidak sihat yang boleh bertukar menjadi ganas. Jurang antara sikap mementingkan keselesaan diri dan kesejahteraan sejagat sangat besar dan semakin meningkat sehingga mencapai titik perpecahan.

Uskup Agung Paglia menyatakan bahawa persaudaraan sesama manusia hanya mungkin terjadi “jika manusia mula berbincang bahawa kita adalah sebuah keluarga yang terdiri daripada tujuh bilion orang.” --CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments