Salib mengingatkan kita keagungan kasih Tuhan

Salib mengingatkan kita keagungan kasih Tuhan

Nov 09, 2018

SANDAKAN: Seramai 31 kakitangan pejabat dan luar pejabat Pusat Pastoral Keuskupan serta lima orang kakitangan dari seluruh Keuskupan Sandakan telah menghadiri rekoleksi selama tiga hari dua malam di Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan pada 14-16 Sept lalu.

Tema bagi rekoleksi kali keempat ini adalah “Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataan-Mu” (Lukas 1:8).

Fasilitator utamanya ialah Sdra. Daniel Kong, salah seorang ahli Light of Jesus Christ Covenant Community (LJCCC), Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Objektif rekoleksi ini adalah untuk mempelajari dan meneladani Bonda Maria sebagai seorang yang beriman dan merendahkan hati.

Selain itu, rekoleksi juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan saling menghargai antara sesama dan menguatkan lagi iman mereka agar hubungan dengan Tuhan lebih dekat dan teguh.

Pada hari pertama rekoleksi, 14 Sept, program dimulakan dengan Misa yang dipimpin oleh Paderi Paroki Katedral St. Mary Sandakan, Father David A. Garaman.

Fr. David dalam homilinya telah menyemarakkan semangat para staf yang bekerja sepenuh masa di Gereja untuk menjadi seorang Kristian yang benar.

Pada hari itu juga merupakan Pesta Salib Suci di mana Fr David menjelaskan bahawa penterjemahan yang tepat bagi Pesta Salib berdasarkan Bahasa Yunani atau Greek ialah meninggikan Salib yang mulia serta memberi kehidupan itu.

Ini membawa makna bahawa Yesus Kristus memberi kehidupan kerana Dia di salibkan demi menebus dosadosa manusia.

Pada zaman dahulu, hukuman penyaliban itu adalah hukuman paling hina sehinggakan seluruh ahli keluarga para pesalah juga turut dianggap sebagai yang tidak baik atau penjahat.

Fr. David menambah, menurut sejarah Gereja, salib sejati telah ditemui oleh Santa Helena iaitu ibu kepada Constantine yang menjadi penguasa Kekaisaran Romawi. Helena hidup dari pertengahan abad ketiga hingga awal tahun 300an. Helena mengembara ke seluruh empayar untuk berbuat baik.

Helena menjadi seorang Kristian ketika dia berusia 63 tahun. Kemudian, dia pergi ke Palestin untuk melihat di mana Yesus berjalan, berbicara dan wafat.

Sementara di Palestin, Helena menyuruh para pekerja menggali tanah. Mereka menemui sebuah salib. Helena percaya bahawa Yesus telah mati di salib itu, dan membawa sebahagian besar salib kembali ke Roma. Di tapak itu juga, di Yerusalem, telah didirikan Gereja Makam Suci.

Fr. David menjelaskan bahawa kerana salib itu, Yesus sendiri ditinggikan. Kini, Salib menjadi lambang bagi orang Kristian kerana Salib itu bukan lagi tanda penghinaan namun telah menjadi tanda kekuatan, kebangkitan, penebusan serta kemenangan kerana Tuhan Yesus mati di kayu Salib demi menyelamatkan umat manusia

Maka dengan ini, Fr. David mengingatkan kepada semua agar jangan malu atau takut memakai salib apabila berada di mana-mana, untuk menunjukkan bahawa kita adalah orang Kristian yang beriman dan yakin bahawa Kristus adalah Juruselamat.

Salib Yesus itu telah mengubah manusia menjadi alat penginjilan kepada orang lain yang melihat cara hidup orang Kristian benar yang sentiasa mulia, mencontohi Yesus yang telah bangkit dari kematian.

Dengan ini, iman Kristian adalah iman yang bangkit.

Total Comments:0

Name
Email
Comments