Sambutan ulang tahun imamat untuk dua paderi muda

Sambutan ulang tahun imamat untuk dua paderi muda

Jan 18, 2019

SANDAKAN: 30 Disember 2018 merupakan hari bahagia buat dua orang paderi muda, Father Dvid A Garaman dan Father Christopher Ireneus, Kedua-dua paderi ini merayakan ulang tahun pentahbisan imamat mereka. Fr David merayakan ulang tahun kepaderiannya yang ke lapan manakala Fr Chris, kali yang kedua.

Mereka diraikan dalam sebuah majlis makan malam di sebuah restoran tempatan yang turut dihadiri oleh para paderi, religius dan umat paroki. Majlis makan malam tersebut dianjurkan oleh Majlis Pastoral Paroki (MPP).

Dalam ucapan alu-aluannya, Sdra Pilis Malim menyatakan bahawa Fr David merupakan seminarian pertama ketika Keuskupan Sandakan baru ditubuhkan. Fr David ditahbis sebagai Diakon pada 19 Mac, 2010 di Katedral St Mary dan ditahbis sebagai Paderi pada tahun yang sama, 31 Disember di Gereja St Dominic, Lahad Datu. Manakala, Fr Christipher yang berasal dari Telupid, ditahbis sebagai Diakon pada 18 Julai 2016 dan menerima Sakramen Imamat pada 28 Disember 2016 di Gereja St Martin, Telupid. Sdra Pilis juga amat berterima kasih kepada kedua-dua paderi itu yang komited dalam melawat orang sakit, orang miskin dan yang memerlukan dalam komuniti.

Uskup Julius Dusin Gitom pula mengatakan dengan bantuan dan sokongan komuniti, adalah tonggak bagi para paderi untuk melayani dengan taat dalam paroki dan Gereja. Sokongan dan doa daripada komuniti juga dapat “melebatkan” panggilan dan memperkukuh pelayanan para paderi secara berterusan di dalam dan di luar paroki.

Fr David dalam ucapan kesyukurannya berterima kasih kepada komuniti Katedral St Mary kerana memberikan sokongan padu buat beliau dan Fr Chris dalam meneruskan misi Kristus. Menurut Fr David, lapan tahun melayani sebagai paderi, masa berlalu dengan pantas dan ia merupakan rahmat sukacita yang amat menggembirakan.

Fr David bersyukur kepada Tuhan kerana sepanjang pelayanan imamatnya, beliau diteguhkan melalui keluarga yang baik, Bapa Uskup yang baik serta memahami dan umat paroki yang sentiasa memberi sokongan.

Fr David juga memuji usaha dan kerjasama setiap komuniti yang bertambah baik dari tahun ke tahun. Dengan Misi dan Visi Keuskupan yang baru, Fr David berharap agar komuniti umat Katolik dapat terus berganding bahu dan melakukan sedaya upaya mereka dalam membantu Gereja mencapai matlamatnya.

Dalam perkongsiannya, Fr Chris menceritakan bahawa selama dua tahun dalam pelayanan di ladang Tuhan ini, beliau amat gembira melayani umat daripada pelbagai usia dan lapisan komuniti.

Dorongan dan penghormatan umat terhadap paderi membuatkan beliau tabah menghadapi pelbagai cabaran. Fr Chris yakin bahawa pada masa hadapan, pasti pelbagai cabaran baru yang akan dihadapinya.

Oleh itu, mewakili rakan-rakan paderinya yang lain, Fr Chris memohon para umat untuk gigih berdoa, menyokong dan menegur mereka dengan baik, agar pada paderi dilindungi ancaman kuasa jahat dan bekerjasama dalam membina paroki.

Total Comments:0

Name
Email
Comments