SHBDR dorong umat berubah, berharap dan berbuah

SHBDR dorong umat berubah, berharap dan berbuah

Oct 12, 2018

KAJANG: Komuniti Umat Berbahasa Malaysia (KUBM) paroki Holy Family Kajang (HFK) bersama KUBM paroki St. Francis of Asisi Cheras (SFA) telah berganding bahu untuk menjayakan Seminar Hidup Baru Dalam Roh yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Paroki Holy Family Kajang buat julung kalinya pada 14-16 September yang lalu.

Seminar yang bertema, “Berubah, Diperbaharui, dan Berbuah” ini, telah disampaikan oleh dua orang penceramah dari Keuskupan Keningau, Sabah iaitu Dr. Jerome Jolly dan Sdr. Jika George.

Seminar ini mengandungi lapan sesi ceramah, antaranya, “Cintakasih Tuhan”, “Penyelamatan”, “Hidup Baru”, “Menerima Karunia Tuhan” dan “Diubah Menjadi Serupa Kristus.”

Setiap sesi ceramah, diselitkan sesi puji sembah yang dikendalikan oleh gabungan tim pelayan puji sembah KUBM SFA Cheras dan KUBM Holy Family Kajang serta disusuli dengan perkongsian berkumpulan.

Pada hari kedua seminar, sebelum acara kemuncak, diadakan terlebih dahulu sesi kaunseling dan sketsa singkat bertajuk, “Anak Yang Hilang” oleh ahli tim dari KUBM Holy Family Kajang sebagai persiapan sesi penyembuhan batin.

Acara kemuncak pada sebelah malam hari kedua ialah sesi “Penyembuhan Batin” di mana ramai peserta telah merasakan kesembuhan dalaman melalui jamahan Roh Kudus.

Pada hari terakhir seminar, semasa sesi “Pencurahan Roh Kudus”, ramai peserta dikaruniai talenta “berbahasa roh” dan pelbagai pengalaman sukacita yang lain.

Melalui perkongsian beberapa orang peserta pada penghujung seminar, mereka menyatakan bahawa mereka mengalami pengalaman menakjubkan, malah ada di antara mereka yang menerima kesembuhan batin, dapat memaafkan seseorang yang sukar dimaafkan selama ini, mendapat karunia nubuat tentang kesembuhan yang dialami oleh peserta lain, dibebaskan dari genggaman kuasa kegelapan akibat lawatan ke beberapa bomoh/dukun dan banyak lagi.

Seminar ini diakhiri dengan ucapan penghargaan dan penyampaian cederahati kepada kedua-dua penceramah.

Sebagai penutup tirai, lagu tema seminar berjudul “Bersatu Melayani Melalui Gereja” telah dinyanyikan beramai-ramai dengan penuh semangat, dan mereka pulang dengan harapan agar terus “berbuah, berubah dan diperbaharui” dalam pelayanan dan kehidupan mereka. — Elya George

Total Comments:0

Name
Email
Comments